“My zombies will never take over the world because I need the humans. The humans are the ones I dislike the most, and they’re where the trouble really lies.” George Romero.

Zombi merupakan subjek boleh jual. Nama zombi itu sendiri sudah menimbulkan perasaan ‘debar’ dan ‘mahu tahu’ yang amat tinggi perihal bagaimana, apa dan kenapa pada asbab kewujudan zombi itu sendiri.

Menariknya, tanpa mengira apa formulasi yang mewujudkan zombi itu sendiri sama ada dari sebaran fenomena virus seperti di dalam filem moden The Girl with All the Gifts (2016) mahupun lagenda Dawn of the Dead (1978).

Dan juga hasil kuasa mistik dan paranormal seperti di dalam filem Pengabdi Setan (1980) atau White Zombie (1932) ataupun zombi hasil ancaman makhluk asing seperti di dalam Plan 9 from Outer Space (1959).

Semuanya itu mewujudkan dan meletakkan jenama ‘mayat hidup’ itu pada kelasnya yang tersendiri walaupun berada di dalam budaya dan zaman berbeza.

Sinopsis I Am A Hero (2016)

Hideo merupakan seorang pelukis komik yang gemar berhalunisasi. Ketika sedang dilanda masalah yang bertimpa-timpa, dia melihat ada perubahan berlaku pada teman wanitanya, Tekko.

Tanpa diduga, Tekko bertindak agresif dan tanpa sengaja Hideo telah membunuh teman wanitanya. Dalam buntu rasa mencari jawapan apa yang sebenarnya berlaku pada Tekko, dia melihat hampir seluruh penduduk bandar bertindak seagresif teman wanitanya itu.

Hideo masih sangsi sama ada dia sedang berhalunisasi atau tidak.

Dua Perkara Menarik Zombie

Baik. Jika diimbau pada tahun lalu, negara seolah dilanda wabak Train to Busan (2016) sehingga menjadi bualan hangat peminat drama rantaian jam tujuh hinggalah peminat Lucio Fulci sendiri.

Diakui kekuatan filem itu ialah pada aspek kasih sayang, kemanusiaan di samping unsur melodrama pop cara Korea yang mudah menyemai benih keserasian (chemistry).

Tetapi secara peribadi, bagi saya filem I Am a Hero ini lebih mencuri tumpuan (walaupun tidak ditayangkan di Malaysia). Ada dua perkara yang saya gemari perihal filem ini.

Pertama, motivasi.

Kita bukan pertama kali menonton filem yang mengangkat loser menjadi hero sama ada filem berelemen zombi atau tidak (lihat watak Peter Parker di dalam Spiderman, Neo di dalam The Matrix mahupun Po di dalam Kungfu Panda).

Mengambil seseorang yang kelihatan tidak memberi nilai pada masyarakat dan kemudian mentransformasikannya kepada insan berjasa merupakan satu formula motivasi segera yang mampu mengikat penonton pada sejarah karekter itu.

Menariknya pada filem ini, karekter Hideo walau dalam realitinya perlu berhadapan dengan ratusan ‘mayat hidup’, dia sebenarnya sebelum itu telah menjadi ‘mayat hidup’ di dalam komunitinya.

Salah satu motivasi ‘eskapisme’ di dalam hidupnya, dia berhalunisasi yang dia sebenarnya ‘seseorang’ di dalam komuniti yang tidak melihatnya begitu.

Maka apabila dia perlu berlawan dengan realiti lambakan zombi, dia sebenarnya perlu melawan halunisasi minda yang memerangkap jati diri heronya di dalam khayal dunianya.

Anda boleh rujuk babak sangsi dan was-was Hideo ketika menyorok di dalam loker untuk mengelak dari ancaman zombi. Melalui sisi ini, ia seperti satu motivasi sinis yang mahukan kita berhadapan realiti dan bukan mengangankan realiti.

Keduanya, perangkap memori.

Jika diamati, filem zombi moden mula menjadikan zombi sebagai subjek apocalypse yang berat dan mengancam populasi manusia berasbab dari pelbagai sebab sama ada dari bahana senjata kimia sehingga ke ujikaji gagal manusia.

Filem ini walau kelihatan seperti menuju ke arah itu, namun ia sebenarnya berada di dalam satu ruang litup cara fikir komuniti yang kecil. Saya katakan begini kerana karekter zombi itu sendiri seolah parodi pada kelompok yang mewakili masyarakat setempat.

Jika dilihat, zombi di dalam filem ini tidak sepantas zombi super human di dalam World Warz Z atau selambat zombi di dalam Shaun of the Dead (2004).

Namun apa yang menariknya ialah setiap zombi yang melalui transformasi berada di dalam memori akhir seorang manusia.

Justeru itu, dapat dilihat bagaimana ada zombi yang masih berfikir perihal shopping, perihal tekanan kerja malah ada zombi yang fokus dalam memecahkan rekod lompat tinggi!

Bagi saya, mungkin ia agak sinis pada kita yang sebenarnya telah menjadi zombi di dalam kitaran kontaminasi sistem. Secara tidak sedar ia telah mengubah manusia menjadi hamba pada apa yang dia fikirkan.

Meskipun begitu, secara hiburannya, karekter zombi begini bagi saya sesuatu yang menarik seperti mana zombi bercinta di dalam Warm Bodies (2013) di mana ada watak separa zombi yang bagi saya juga menarik.

Adaptasi Komik Manga

Saya menonton filem ini tanpa mengetahui yang filem ini merupakan adaptasi dari komik manga di Jepun nukilan Kengo Hanazawa. Walaupun begitu, ia memberi kepuasan yang bagi saya maksimum sebagai seorang peminat filem bergenre begini.

Lambakkan darah, kemudian selang seli komedi bersama thrill dalam acuan dramanya bagi saya agak baik di samping gerak rasa sinematografi yang gemar bercerita pada penontonnya.

Saya tak akan sesekali memperbandingkannya dengan filem Train to Busan kerana selera terletak di dada masing-masing, namun jika mahu mencuba zombi dalam selera asia, saya gemar menyarankan filem ini.

Dan jika mahu sesemangat Azizulhasni Awang yang menjadi ‘hero’ dalam acara keirin baru-baru ini, mungkin watak Hideo boleh membikin anda menjadi hero di dalam dunia nyata dan bukan angan semata!

Skor filem: 8/10

Artikel di atas disumbangkan oleh Hatta Midy. Beliau penulis novel Hadi Mengejar Pencuri. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤