Sebelum nota ini dipanjangkan lagi, ingin aku kongsikan statistik ini. Hasil carian maklumat Wikipedia, pada tahun 2009 di Korea Selatan, kes yang melibatkan kesalahan serangan seksual ialah 195 kes. Kemudian pada tahun 2010, ia meningkat kepada 746 kes dan pada tahun 2011 ia terus meningkat kepada 765 kes.

Buat pengetahuan anda jika pelaku kes sebegini ialah pelajar sekolah, kebanyakkan hukuman yang diterima oleh sang pelaku jenayah seksual ini ialah digantung sekolah dan diletakkan di bawah pengawasan untuk beberapa tahun, atas alasan, mereka masih di bawah umur.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Don’t Cry, Mommy (2012)

Don’t Cry, Mommy (DCM) menceritakan kisah bagaimana seorang gadis berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol dan ugut oleh mereka yang juga di bawah umur. Lantaran kejadian itu, sang ibu kepada mangsa cuba untuk mencari keadilan demi anaknya selain mencari cara dan jalan untuk memulihkan emosi anaknya.

Kuasa Perfileman

Apabila aku kongsikan statistik di atas, ia tidak sama sekali memaksudkan kritikan pada sistem kehakiman atau perundangan di sana. Bagi aku, badan pemerintah dan penguasa keadilan lebih faham perihal suasana dan iklim jenayah di sana. Namun, aku lebih gemar ingin menulis pada hal kuasa perfileman.

Sesuatu yang aku gemar perihal perfileman Korea ialah mereka punya ‘suara’ untuk menyuarakan ketidakpuasan hati melalui filem. Hal ini juga aku telah lihat berlaku juga di negara lain seperti Indonesia melalui beberapa filemnya seperti Alangkah Lucunya Negeri Ini (2010) ataupun Doa Yang Mengancam (2008).

Begitu juga filem dari hit Bollywood seperti PK (2014) ataupun filem dari Amerika sendiri seperti Goodbye America (2009). Malah pada 2014 juga Malaysia muncul dengan filem kritikan jelas melalui filem CEO yang diarahkan oleh Razaisham Rashid dan dilakonkan oleh Remy Ishak, Beto Kusyairy dan Cristina Suzanne.

Adakah penterjemahan suara ketidakpuashatian melalui filem ini sesuatu yang baik dan sihat untuk industri khususnya dan masyarakat amnya?

Kesan Filem Ke Atas Realiti

Melalui skop dan ruang litup industri perfileman di Malaysia khususnya, sememangnya ada beberapa ketika negara kita perlukan ‘keterbukaan’ itu selagi ia atas dasar intelek dan hujah.

Namun faktor kekondusifan waktu dan masa dalam iklim perfileman mahupun iklim ‘keamananan’ di Malaysia terkadang tidak memungkinkan itu berlaku.

Dan apabila aku kongsikan statistik kes jenayah seksual bawah umur Korea Selatan di atas, secara peribadi aku sememangnya yakin yang memang sepatutnya filem seperti DCM dihasilkan.

Bagi aku ia perlu demi untuk mengingatkan kepada ‘mereka’ yang mengendalikan dan berkuasa terhadap undang-undang itu agar melihat, mengkaji dan memperhalusi kembali aspek yang mungkin dianggap ‘tak ada benda’, ‘hal kecil’, atau mungkin terlepas pandang.

Ini kerana hal-hal kecil sebenarnya amat mampu memberi impak yang amat dahsyat pada mereka yang terlibat dan itulah yang dilakukan oleh filem DCM ini.

Secara jelasnya ia ingin menyampaikan betapa hentakan emosi, birat perit murung dan kecewa, gelen-gelen airmata, semua itu bukan mudah dan enteng untuk dilalui, bukan sahaja pada mangsa tetapi pada insan di sekitarnya.

Melalui filem ini, setiap jiwa itu cuba dipaparkan secara jelas agar ia mampu diserap oleh penontonnya dan seterusnya menjana akal fikir, bagaimana jika ini berlaku pada keluarga aku?

Secara filemnya, ada rakan yang juga telah menonton filem ini berkata kepada aku, “Okay, inikan filem revenge. I Saw the Devil-kan lagi best.”

Ya. Aku amat akui, I Saw the Devil atau Bedevilled lebih bagus sebagai sebuah filem. Tetapi sebagai sebuah maksud penyampaian kritikan pada sesuatu yang orang awam rasakan sebagai ‘mustahil’ untuk disentuh apatah lagi dicapai, maka DCM bagi aku punya rempah manis untuk ditelan sebagai makanan rejuvenasi.

Filem ini bukan hanya mahu menggambarkan ‘adakah ini solusi?’ tetapi lebih kepada ‘adakah ini yang anda mahukan terjadi?’ Ada beberapa ketika aku seperti ingin bersetuju jika filem ini menjadi salah satu rujukan dalam sukatan pelajaran tingkatan tiga selepas matapelajaran sains bab pembiakan seks dan aseks.

Dari aspek sebuah filem, filem ini agak berada pada kelas yang boleh aku puji terutama pada watak Eun-ah lakonan Nam Bo-ra sebagai mangsa rogol. Walaupun punya beberapa hole yang aku rasa agak menjadikan perjalanan naratifnya kurang mencengkam, namun ia tetap tidak menganggu langkah filem ini yang mahu bergerak laju untuk membangkit mood revenge-nya.

Sebagai akhirnya, pada tahun 1988 di Jepun, seorang gadis bernama Junko Furuta menjadi mangsa penderaan seksual sehingga mati ketika dia berusia 17 tahun. Melalui kesnya, ada yang mengatakan hukuman yang diberikan kepada pesalah adalah amat tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan. Malah, kisah penderaan Junko Furuta telah difilemkan untuk membayangkan betapa deritanya gadis itu sebelum mati.

Namun apa yang amat menarik perhatian aku ialah, seorang penulis Jepun telah menulis novel perihal kes Junko Furuta. Dan lebih menarik lagi, di akhir novel itu Junko Furuta diceritakan masih hidup dan para penculiknya telah dijatuhkan hukuman penjara untuk jangkamasa yang lama.

Sekurang-kurangnya masih ada yang mahukan penghujung gembira walau realitinya terlalu pahit untuk ditelan bukan?

Skor filem: 7.5/10