Mohd Faiz Subri. Ya. Rakyat Malaysia malah mungkin masyarakat dunia pasti sibuk menjadikan beliau sebagai modal bualan sembang kata soal tendangan hingga penampilan. Manakan tidak, pemenang Anugerah Puskas 2016 hasil gol beliau yang diiktiraf terbaik itu bukan sahaja mengangkat nama Asia di persada dunia malah nama Malaysia khususnya. Atas faktor itu, beliau merupakan seorang lagi bintang sukan kebanggaan buat negara selepas kecemerlangan atlit paralimpik kita tahun lalu.

Namun di sebalik kecemerlangan sudah pasti akan ada cerita dibelakangnya. Ya, mungkin ia episod duka lara penuh air mata, atau latihan menggila yang tidak kenal putus asa, atau segala sememangnya serba sempurna, semua itu pasti tetap sebuah cerita tersirat sebuah kejayaan, dan mungkin tidak terkecuali insan yang benar-benar menjadi pendorong ampuh untuk beliau. Dan sudah pasti ia akan memberi satu motivasi baharu pada dunia sukan tanahair.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tersorot dari itu, aku memilih untuk kembali menonton sebuah filem juga mengenai seorang atlet sukan yang bagi aku cukup menginspirasikan malah memotivasikan. Bukan hanya kerana atas faktor siapa dia sebelum menjadi atlet semata-mata tetapi juga, siapa sebenarnya insan yang menjadi penggerak untuk segalanya berubah. Filem itu berjudul The Blind Side (TBS) tahun 2009.

Sinopsis

TBS berkisar mengenai Michael Oher atau Big Mike (lakonan hebat Quinton Aaron) seorang remaja kulit hitam bertubuh besar, mempunyai rekod akademik yang teruk dan berasal dari sebuah keluarga yang bermasalah.

Dalam kehidupan ‘terbuang’ dari keluarga dan masyarakatnya, seorang wanita berkulit putih bernama Leigh Ann Tuohy (lakonan cemerlang Sandra Bullock) telah mengambil Big Mike sebagai anak angkat. Dari situlah kehidupan Big Mike mula berubah.

Perasaan Pertama Kali Menontonnya

Diarahkan oleh John Lee Hancock yang juga pengarah filem baseball The Rookie (2002), sedikit pun tidak terdetik yang filem ini sebuah filem yang cukup menginspirasi atau memotivasikan waktu pertama kali menontonnya dahulu.

Bagi aku yang bukan penggemar filem sukan (walaupun ia filem based on book), aku anggap ia mungkin cuma sebuah filem tipikal drama konflik biasa yang mungkin mampu memberi sisi motivasi, tetapi tidak menjelmakan rasa ‘termotivasi’.

Apatah lagi dengan kakak ‘Miss Cogeniality’ selaku teraju, aku gusar jika naskah ini di’komedi’kan dan tidak memotivasikan. Namun, aku cuba membawa jiwa Crash (2006) (yang juga lakonan Sandra Bullock) tatkala menontonnya. Dan, aku kagum.

Kagum Dua Faktor Dalam Filem Ini

Aku sangat gemar akan dua faktor filem ini. Pertama, positif. Jika filem ini bergerak melalui lensa hidup Big Mike, filem ini pasti kurang mengesankan.

Ya, mungkin ia sekadar filem yang mengisahkan betapa sukar menjadi seorang Big Mike dan kita terseret dengan simpati rasa kasihan dan akhirnya tersenyum atas kesuksesan Big Mike. Namun ia tidak berlaku pada filem ini.

Fokus filem ini ialah pada tenaga positif pendorong Big Mike iaitu watak Leigh Anne lakonan hebat Sandra Bullock. Jika dilihat pada karekter Leigh Anne secara zahirnya, ia merupakan satu watak dasar yang sudah acapkali kita lihat di layar.

Ya, sang ibu yang punya kerjaya hebat, keluarga yang serba sempurna dan hidup dalam kehidupan kelas menengah yang serba selesa. Ini merupakan watak ulangan tipikaliti Hollywood.

Jadi apa istimewanya watak ini? Di sini aku rasakan, naratif dan gerak rasa cerita yang menyeret Leigh Anne ke alam Big Mike adalah keistimewaannya. Ia seolah mengajak audien supaya:

“Tengok apa aku buat pada Big Mike! Budak gelandangan yang tak tahu asal usul dan tengok cara aku sayangkan Big Mike!”

Melaluinya, sesuatu yang agak menarik, automatik secara manusiawinya kita akan terheret dengan motivasi positif cara Leigh Anne pada Big Mike, bukan atas dasar simpati kita pada Big Mike dan kehidupan lampaunya.

Cara Leigh Anne memahami Big Mike, cara dia mencari solusi untuk permasalahan Big Mike malah cara Leigh Anne membina chemistry antara Big Mike dengan keluarga serba sempurna Leigh Anne.

Semua itu antara cara motivasi yang aku rasakan merupakan kekuatan dan kehebatan watak Leigh Anne yang berjaya disampaikan cantik dengan lakon cara Sandra Bullock (hingga melayakkannya memenangi anugerah Oscar melalui watak ini). Ia merupakan satu kisar resepi menarik yang memaniskan hubungan antara Leigh Anne, Big Mike dan kehidupan di sekelilingnya.

Keduanya, kemanusiaan. Aku akui, dalam kehidupan sebenar, watak Leigh Ann Tuohy (atau keluarga Tuohy) ialah satu dalam sepuluh.

Ya, di dunia ini masih ramai manusia baik, tetapi yang terlalu baik bagi aku amat sukar dicari. Bukan kerana manusia enggan menjadi baik, tetapi kerana manusia sendiri mula hilang rasa percaya pada ‘balasan’ kebaikkan yang bakal ditabur.

Kerana itu, aku amat gemar dengan mesej humanis melalui beza warna kulit antara Big Mike dan Leigh Anne. Mesej humanis dan sejagat itu bagi aku amat sampai tatkala ada sisi dunia yang masih berperang dan ditindas atas asbab beza kasta, bangsa, warna kulit dan agama.

Dan kemuncak mesej itu amat manis pada adegan tatkala Leigh Anne memberi amaran pada kumpulan samseng (yang berkulit sama seperti Big Mike):

“You threaten my son, you threaten me.”

Leigh Anne yang ‘lupa’ akan siapa dia dan siapa Big Mike, cuma berkata atas dasar rasa seorang ibu pada anaknya bagi aku cukup menggugah. Ia seolah kemuncak pada mesej seolah tiada dinding khilaf untuk rasa ihsan, sayang dan simpati walau siapa pun insan itu. Dan lagi, aku agak ‘tertampar’ kerana mesej itu manis disampaikan oleh produk bukan Muslim.

Untuk sisi lakon, Tim McGraw yang melakonkan watak Sean Tuohy, suami pada Leigh Anne dilihat menjadi pelengkap hebat pada kesempurnaan watak Leigh Anne. Menariknya pula, boleh dikatakan walau sekecil manapun watak yang ada di dalam filem ini, bagi aku ia tetap dianggap sebagai penggerak penting untuk filem ini walaupun mungkin ada beberapa watak yang muncul hanya satu dua babak sahaja.

Kesimpulan

Ringkasnya, ini bukan sekadar filem biografi sukan biasa. Ia juga amat manis sebagai sebuah naskah motivasi. Mungkin untuk wanita yang masih terkial-kial mencari rasa kasih atau ihsan dan sedang berkira-kira untuk meninggalkan bayi anda di tangga masjid atau berhobi gemar memukul budak kecil, ini filem yang cukup sesuai untuk membangkitkan naluri ‘ibu’ itu.

Dan juga untuk yang masih geli merapatkan kaki ketika merapatkan saf solat kerana jemaah di sebelah anda bukan sebangsa anda, filem bukan Islam ini pula membuktikan sebaliknya. Dan (maaf), mungkin filem Non-Muslim ini sesuai menjadi rujukan pengkarya kita yang sedang lemas dengan kiblat ‘sayang’ yang semakin sempit.

Oh ya. Sekali lagi. Ucapan tahniah untuk Faiz Subri. Dan moga dia ada cerita menarik yang mampu memotivasikan seperti kisah Big Mike.

Skor: 8.5/10