Seorang penghantar makanan maut, manakala seorang penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat. Kejadian tersebut berpunca daripada dua buah Nissan X-Trail terbabas selepas berlaku perlanggaran antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua buah motosikal kira-kira jam 2.30 petang.

Baca Juga:

https://twitter.com/nanmanjoi8715/status/1573228208618897408?s=20&t=irlpSYOkDJMgeMj76CK0KQ

“Hasil siasatan awal mendapati, persimpangan berkenaan mempunyai empat lorong di mana dua lorong jalan terus dan dua lorong untuk membelok ke kanan. Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di dua lorong kanan untuk membelok ke Jalan Haji Sirat.

“Sebuah kenderaan jenis Nissan X-trail yang memandu di lorong kiri hendak membelok ke kanan, tiba-tiba kenderaan jenis sama di lorong kanan hendak jalan terus dan berlaku perlanggaran.

“Kedua-dua kenderaan itu terbabas di mana Nissan X-trail yang berada di lorong kanan melanggar sebuah motosikal yang berada di arah bertentangan. Manakala Nissan X-trail yang berada di lorong kiri melanggar sebuah motosikal GrabFood dan kereta Proton Wira yang juga berada di arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penunggang motosikal GrabFood iaitu seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala penunggang motosikal berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital.

Kedua-dua pemandu kereta Nissan X-trail berumur 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Sekysen 41(1) APJ 1987. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohd Fadli bin Ismail di talian 017-2131318.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, sentiasa peka dengan keadaan jalan ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya,” terang Ketua Polis Daerah Klang Utara itu lagi.

https://twitter.com/nanmanjoi8715/status/1573245791552303104?s=20&t=tQpdd_CcGiw4DW_M9OEzXg