Menjadi petugas barisan hadapan di musim penularan COVID-19 ketika ini bukanlah tanggungjawab yang ringan untuk digalas oleh seseorang individu. Malah ada ketikanya tanggungjawab mereka ini juga bertukar menjadi satu cabaran besar ketika bertugas.

Paling menyedihkan cabaran itu bukannya hadir melalui kekurangan kemudahan perubatan atau fasiliti seperti yang dihadapi sesetengah negara lain, tetapi kerana sikap segelintir  ahli masyarakat di negara ini yang masih ‘degil’.

Jika sebelum ini kita melihat perkongsian video-video yang menunjukkan pihak penguatkuasa terpaksa bersabar menasihati mereka yang enggan mematuhi perintah kawalan pergerakan, kali ini kita dikejutkan pula dengan satu demi satu pendedahan cabaran yang dihadapi petugas kesihatan dalam merawat pesakit berkait COVID-19 ini.

Sejak beberapa hari kebelakangan, tular hantaran-hantaran di Facebook oleh petugas kesihatan di hospital-hospital yang berkongsi pengalaman peribadi mereka dalam menguruskan pesakit dan mereka yang disyaki dijangkiti wabak ini.

Bagaimanapun, perkongsian daripada mereka ini bukanlah mengatakan semua yang hadir ke hospital ketika ini degil dan besar kepala, namun apabila diperhatikan wujud persamaan pendapat mereka mengenai perbezaan menjaga pesakit daripada kluster tabligh sebelum ini dan golongan mereka yang baru pulang dari luar negara ketika ini atau dalam penulisan ini digambarkan sebagai ‘kluster kayangan’.

Dipanggil anjing, pencacai najis

Menurut kiriman yang dibuat Sakinah Sulong, beliau menceritakan perbezaan besar antara dua kluster tersebut di mana rata-rata jemaah tabligh sangat mudah memberikan kerjasama dan petugas tidak menghadapi masalah membuat pensampelan terhadap mereka.

“Tapi bila ada golongan yang baru turun dari kayangan ini, (yang baru pulang dari luar negara) macam-macam kerenah terpaksa dihadapi.

“Tak nak dikuarantin, marah-marah. Panggil staf kami dog (anjing) dan pencacai najis. Memang sangat kurang ajar!” kongsinya di Facebook.

Manakala seorang lagi pengamal perubatan Dr Mohd Afiq yang bertugas di wad sementara Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh juga dilihat turut senada dengan pendapat mengenai perbezaan dua kluster tersebut.

Menurutnya, pesakit daripada kluster tabligh sangat mudah memberikan kerjasama kepada petugas-petugas berbeza dengan kluster kayangan yang disifatkannya sebagai ‘kluster JENGKEL.

“Kluster ni lebih banyak demand. Bila nak hantar ke wad macam wad kusta ataupun institut latihan, mereka demand tak nak pergi sebab panas, tidak selesa dan macam-macam lagi.

“Itu tak termasuk yang  persoal kenapa nak amik darah la, kenapa tak amik swab awal la dan bila kita masuk untuk periksa diorang masing-masing sibuk dengan gajet. Kita ni macam endah tak endah je,” kongsinya di Facebook.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bukanlah semua pesakit daripada kluster ini berperangai sedemikian terutama mereka yang baru pulang dari luar negara atas urusan yang tidak dapat dielakkan seperti belajar.

“Tetapi setakat ini yang dapat sebab pergi melancong ini memang sangat menjengkelkan.

“[…] nak buat macam mana.. kena hadap juga la untuk berapa bulan yang mendatang.

“Kita ni pekerja kesihatan berapa ramai yang dah tak dapat jumpa mak ayah sebab kerja kita berisiko. Diorang ni pula datang dan tambah masa kita berjauhan. selamatlah bekerja semua.

Rindu geng tabligh,” kongsinya di Facebook.

Baca kisah-kisah dan pengalaman berkait COVID-19 yang kami kongsikan sebelum ini. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Kenapa Kita Harus Bersyukur Dengan Cara Pengendalian COVID-19 Di Malaysia

Kenapa Angka Kematian Wabak COVID-19 Di Itali Paling Banyak Ketika Ini

Berbekalkan Semangat Yang Tinggi, Wanita Hamil 3 Bulan Ini Kongsi Pengalaman Bebas COVID-19