Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ada ke lagi orang yang nak baca kalau aku tulis pasal Ringgit? Hehe.

Aku yang nak tulis ni pun rasa dah boring topik ini, korang yang nak baca tu lagilah, ye tak?

Tak apa. Oleh kerana ada yang minta, di sini aku cuba kongsi sikit.

Ringgit mengukuh

Kalau ada yang tak perasan lagi, Ringgit sudah semakin mengukuh. Daripada jatuh teruk sebelum ini sampai 4.49 (4 Jan 2017), semalam sudah berjaya pulih dan tutup pada 4.34! Maknanya nilai Ringgit sudah meningkat sebanyak 3.3%.

Tapi biasalah, benda macam ini tak sensasi sangat. Boring.

Siapa yang syok nak sembang pasal Ringgit kukuh, berbanding dengan sembang topik Ringgit jatuh, kan? Hehe.

Peningkatan Ringgit paling ketara sekali dalam minggu ni.

Kenapa?

Haa.

Antara sebabnya, ada perubahan sentimen di Amerika Syarikat sana. Kita di sini tak banyak sangat pun berubah.

Mai nak flashback sikit.

Donald Trump

Tahun lepas, semasa Trump sibuk berkempen nak jadi Presiden Amerika Syarikat, dia tabur janji macam-macam. Biasalah, ahli politik.

Antara yang paling dia hingaq, dia nak buang dan gantikan program kesihatan yang sedia ada (ObamaCare), dia nak naikkan perbelanjaan infrastruktur (buat hospital, lebuhraya dll), dia janji nak buat pembaharuan cukai yang ‘luar biasa’, macam-macam lagilah janji manis dia sebelum menang.

3 bulan kemudian, Presiden Trump masih gagal untuk memansuhkan ObamaCare yang dia dok hingaq dulu. Tak lepas sebab tak cukup sokongan.

Bila jadi macam tu, pelabur mula ada rasa ragu dengan Trump ni. Dulu masa berkempen, bukan main kencang lagi sembang bab nak tolak ObamaCare. Tetapi bila menang, tak boleh buat apa sangat pun.

Jadi, apa nasib janji-janji dia yang lain?

Contohnya pembaharuan cukai. Dia janji kalau menang, kedua-dua cukai individu dan korporat dia akan turunkan kaw-kaw punya. ‘Major reform’ katanya.

Orang bila dengar kata nak kurangkan cukai, haa mulalah dan-dan tu kata Trump inilah paling baguih kalau jadi Presiden. Tak macam Hillary (yang besar kemungkinan akan teruskan sahaja agenda Obama oleh kerana mereka daripada parti Demokrat).

Tetapi apabila sudah jadi Presiden, tunggu punya tunggu, akhirnya Trump bawa keluar satu muka surat bullet point sahaja kenyataan tentang pembaharuan cukai ini.

Tak ada benda sangat pun dalam tu. Orang nak analisis pun tak boleh, sebab maklumat sikit sangat.

Haritu yo yo oo ja janji ‘phenomenal’ tax cut, konon. Ini, dahlah ObamaCare pun tak boleh mansuhkan, janji nak turunkan cukai pun entah ke mana.

Sebenarnya Trump mengharap kalau dapat buang ObamaCare, adalah duit lebih untuk dia tampung balik kutipan cukai yang rendah (sebabkan dah janji nak potong cukai?).

Tetapi apabila ObamaCare pun dia tak dapat dimansuhkan, kacau habis perancangan dia yang lain.

Dan orang mula rasa macam tak best. Apa ni.

Masa kempen dulu janji bulan bintang bagai. Tapi bila dah dapat undi, dah menang, hang tak ubah apa sangat pun banding dengan Obama yang hang dok serang sangat dulu.

Ringgit kita

Ok, habis cerita pasal US.

Ni baru nak kait balik dengan Ringgit kita.

One man’s meat is another man’s poison. Tak baik buat mereka di sana, mungkin baik buat kita di sini.

Bila Trump menang bulan November tahun lepas, berbondong-bondong pelabur Amerika Syarikat membawa balik pelaburan mereka untuk balik ke Amerika (ingat tak Ringgit kita teruk kena belasah masa tu? Sebab mereka inilah. Mereka jual atau ambil untung apa yang ada, bawa balik duit ke negara sendiri).

Trump janji untuk turunkan cukai. Untuk korporat, dia kata hendak turunkan daripada 35% jadi 15%. Maknanya duit yang sepatutnya bayar cukai, pemegang saham akan dapat balik. Itu yang depa berebut nak balik kampung (US) tu.

Tetapi selepas 3 bulan jadi Presiden, tengok tiada apa pun mamat ni boleh buat, pelabur mula susun balik strategi pelaburan mereka. Itulah sebabnya kita boleh nampak dana mula mengalir masuk balik ke tempat yang boleh tawarkan pulangan lebih baik.

Dan antara tempat yang pelabur tengok, Malaysialah.

Malaysia

Untuk pengetahuan, indeks Bursa Malaysia sekarang pada paras tertinggi sejak Mei tahun lepas.

Bermula dari hujung tahun lepas, sampai sekarang, asyik naik saja (YTD return: 7.7%). Tak turun-turun.

Tak percaya pergi tengok carta dia rupa macamana. Gayat weh. Haha.

Dan dalam seminggu dua ni, inflows tu bukan sahaja masuk ke dalam pasaran saham saja, tetapi dah mula turut masuk semula ke dalam pasaran bon.

Antara faktor utama yang mencetuskan aliran masuk yang baru ini adalah apabila Bank Negara umumkan beberapa inisiatif untuk merangsang pasaran bon Malaysia dua minggu sudah.

Antaranya Bank Negara dah liberalisasikan short selling untuk MGS dan GII, tambah fleksibiliti untuk hedging (sekarang sudah boleh hedge up sehingga 100%), dan ada lagi beberapa benda. Yang tu dah jadi teknikal. Kita tak payah sembang sampai situ.

Cuma yang aku nak tekankan, inisiatif Bank Negara inilah antara sebab utama kenapa orang asing mula datang dan beli Ringgit balik.

Dalam kita dok pumpang-pumpang kutuk sana sini di FB, ada kawan-kawan kita (seperti Bank Negara) yang tak tidur malam fikir cara untuk selesaikan masalah yang ada. Tapi depa tak hingaq pun.

Bak kata Altimet, “Usaha yang aku bubuh semua petir tiada guruh.”

Eh, melalut. Hehe.

Ok, berbalik semula kepada Ringgit.

Jadi, ya. Secara ringkasnya, pelabur luar kembali semula ke Malaysia oleh kerana Ringgit kita agak murah, pasaran bon kita menawarkan pulangan menarik, dan secara asas sebenarnya kita masih kuat dan tiada apa sangat yang berubah di Malaysia ini.

Cuma sentimen kita sahaja yang mungkin terpengaruh dengan pihak yang suka membesar-besarkan sesetengah isu untuk kepentingan sendiri.

Sampai di sini sahaja.

Enjoy your day!

Sebelum ini penulis ada menulis tentang mengapa RM jatuh di sini: Nilai Ringgit Jatuh Hari Ini, Kenapa Ia Berlaku