Sambung Bayar kenderaan; fakta atau auta? “Aku dah tak mampu nak bayar ansuran bulanan kereta aku, jadi aku jual kereta itu kat Fahmi. Dia sambung bayar pinjaman bank dan aku pun bagi kereta itu kepada dia dan dia bagi aku duit sebanyak RM20,000.00 sebagai balasan.”

Situasi di atas merupakan antara salah satu di antara banyak sebab mengapa berlakunya transaksi jualan sambung bayar kenderaan ini. Saya tidak mahu menilai asbab orang buat benda ini sebab setiap orang mempunyai alasan dan justifikasi masing-masing bila mereka hendak buat urusan ini.

our_business_resize
HYPE
TNB Fokus Bantu 7.6 Juta Pelanggan Dengan Bantuan Prihatin Elektrik
Baca lagi →

Cuma jom kita ambil tahu apakah implikasi dan kesan yang mungkin/akan timbul jika kita terlibat dalam urusan sambung bayar kenderaan ini.

1.RISIKO KEPADA PENJUAL

Sekiranya kenderaan tersebut digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah, anda sudah pasti akan disiasat oleh pihak berkuasa/dipanggil untuk memberikan keterangan. (Mungkin dituduh sebagai bersubahat?)

Jika pembeli tidak membuat bayaran ansuran bulanan, pihak bank akan mengejar anda dan bukannya pembeli tersebut malahan tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas anda oleh pihak bank bagi menuntut kembali jumlah hutang yang tertunggak.

Apabila berlakunya kemalangan jalanraya namun cukai jalan dan insurans telah luput/tidak diperbaharui, kemungkinan untuk anda disaman atas kapasiti individu adalah tinggi memandangkan tiada tuntutan insurans dapat dibuat.

Anda akan disaman atas kesalahan jalanraya yang dilakukan oleh orang lain (pembeli kenderaan anda).

2.RISIKO KEPADA PEMBELI

Anda berisiko tinggi untuk menjadi mangsa penipuan. Ini kerana tiada sebarang perlindungan mahupun jaminan bahawa kenderaan tersebut akan dipindahmilik kepada anda walaupun bayaran telah dibuat.

Sekiranya penjual meninggal dunia, kenderaan tersebut kebiasaannya akan dipindahmilik kepada waris penjual melalui proses bicara kuasa/probet tak kiralah berapa banyak bayaran bulanan pun yang telah anda buat. Waris yang tidak boleh dibawa berbincang berhak untuk tidak meneruskan urusan dan anda hanya akan dapat ‘cekelat angin’ sahaja.

Telah ada kes yang dilaporkan; sudah habis bayar semua tiba-tiba Owner datang bawak geng Kapak hendak ambil balik Kenderaan. Macam mana mahu settle?

Jika sekalipun anda mempunyai surat perjanjian/laporan polis dan lain-lain, urusan jual beli secara sambung bayar ini adalah ternyata salah di sudut undang-undang negara kita, Malaysia.

Akta Sewa Beli 1967 mempunyai peruntukan yang jelas menyatakan seperti berikut:

a) Seksyen 38
Sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya adalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

b) Seksyen 46
Sesiapa yang melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulannya, apabila kita membeli kenderaan dengan menggunakan kemudahan pembiayaan dari pihak Bank, maka secara hukumnya kita bukanlah pemilik (yet) kepada kenderaan tersebut selagi mana pembiayaan tersebut tidak dilunaskan secara total.

Kita hanyalah penyewa & pihak bank merupakan pemunya kepada kenderaan tersebut. Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai hak untuk menjual kenderaan tersebut kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan pengetahuan daripada mereka.

Apa-apa pun sebelum hendak buat keputusan, berbincanglah dulu dan minta pandangan daripada beberapa orang yang kita percaya yang pandangan serta pendapat mereka boleh diterima akal. Wallahu a’lam.

Ashraf Sohaimi
LLB Hons Malaya
Partner, Fahmi Zhafri Ashraf & Co

Ini pula beberapa tip serta info lain berkaitan kenderaan yang anda boleh baca. Klik pada pautan di bawah.

16 Langkah Buat Tuntutan Insuran Bila Kereta Anda Kemalangan

Sebelum Beli Kereta Di Jepun, Ini 6 Perkara Anda Wajib Tahu

8 Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Memandu Sendiri Di Thailand

Artikel di atas disumbangkan oleh Ashraf Sohaimi. Beliau merupakan rakan kongsi di firma Fahmi Zhafri Ashraf & Co. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka