Acara RIUH yang dinanti-nantikan kembali dengan kerjasama rakan media, Tonton dengan tema RITMA RAYA, “Serentak Beraya, Senada Membeli” dari 8 hingga 9 April 2023 di Sentul Depot, Sentul.

Acara RIUH, RITMA RAYA akan berlangsung dari pukul tiga petang hingga 12 malam dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dan bakal menampilkan 100 jenama kreatif tempatan untuk mempromosikan perniagaan mereka khas sempena hari raya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sebagai sebuah platform yang mendekatkan seni dengan masyarakat, acara RIUH yang diterajui Kementerian Komunikasi Digital (KKD) melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative) membuka peluang kepada usahawan kreatif tempatan mempromosikan jenama mereka sekaligus memperkukuh kedudukan pengkomersilan mereka dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Encik Junady Nawawi berkata, “Kami berusaha untuk memberikan pengalaman yang lebih menarik dan berimpak untuk para pengunjung serta penggiat seni dan kreatif. RIUH kali ini menjadi lebih istimewa dengan kerjasama daripada Tonton yang mempunyai jangkauan pengguna yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Encik Junady Nawawi

“Kerjasama ini membolehkan kami menarik lebih 100 jenama kreatif tempatan dari seluruh Malaysia, dengan harapan dapat membantu memperkenalkan jenama-jenama ini kepada masyarakat tempatan serta di peringkat global. Kami percaya bahawa kerjasama ini juga dapat memperkukuhkan kedudukan industri seni dan kreatif Malaysia dalam pasaran global yang semakin sengit, serta memberikan lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan kreatif untuk berkembang dalam bidang mereka.”

Berlatarkan hab kereta api yang telah diperbaharui menjadi destinasi gaya hidup oleh YTL Land & Development, suasana Sentul Depot bertepatan dengan konsep pasar tani yang ingin diketengahkan acara RIUH, RITMA RAYA.

Sepanjang acara dua hari tersebut, pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah, malah mereka juga berpeluang menderma melalui program sumbangan amal digital, “Membeli untuk Memberi” anjuran rakan NGO Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction.

https://www.instagram.com/p/CqXMFstLCb0/

Manakala Tonton, sebuah anak syarikat Media Prima juga hadir sebagai rakan media bagi memeriahkan lagi RITMA RAYA. Ia membawa persembahan langsung dari beberapa artis terkemuka Malaysia termasuk seperti Bil Musa, Aqmal Ramdan, Asyraf Nasir, Jetcetera, Ainina Hasnul, Crinkle Cut, SATWO, Brendan De Cruz dan persembahan tarian tradisional termasuk joget lambak oleh LOCCO, dan banyak lagi.

Bersesuaian dengan slogan, RITMA RAYA turut menampilkan Malaysia Forest Fund (MFF), sebuah organisasi yang diamanatkan untuk menjana pembiayaan pembangunan untuk sektor perhutanan di Malaysia dan LOOOP – sebuah kedai konsainan barangan terpilih di TTDI, Kuala Lumpur.

RIUH dan MFF bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran awam tentang pelepasan dan jejak karbon dengan pendekatan ‘Play and Learn’ melalui beberapa permainan interaktif, manakala LOOOP menyediakan peluang kepada pengunjung untuk membeli baju raya terpakai, atau dermakan baju raya kepada pelarian Islam melalui usaha sama mereka dengan Refuge For The Refugees.

MyCreative menerusi RIUH menjemput dan mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari seluruh pelosok negara untuk membeli-belah, bergembira, serta memberi bersama yang tersayang di RITMA RAYA. Marilah sama-sama kita menyokong usahawan kreatif tempatan untuk membangunkan kebolehpasaran, meningkatkan nilai komersial, dan mengembangkan perniagaan mereka.