Pada Februari tahun lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Tindakan ini diambil selepas agensi terbabit memulakan siasatan di atas dakwaan pemilikan rumah oleh Tim Leissner yang dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Awani.

Baca Juga:

Terbaharu, Harian Metro melaporkan beliau sudah pun memulangkan wang AS$10 juta (RM44.26 juta) dan aset dikaitkan dengan dana 1MDB kepada SPRM. Menurut sumber, semua wang termasuk aset itu dipulangkan kepada kerajaan tahun lalu iaitu selepas siasatan SPRM selesai.

Bagaimanapun, sumber itu memaklumkan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai cara dan prosedur pemulangan wang berkenaan.

“Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian disalurkan kepada kerajaan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui sama ada Rohana sudah mengembalikan wang dan aset itu.

Tahun lalu, Rohana menyatakan persetujuan untuk menyerahkan semula AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner kepadanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Pejabat Peguam Negara tiada pengetahuan berkenaan perkara ini.

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Rohana sudah mengembalikan wang AS$10 juta kepada kerajaan.

Sebelum ini, Leissner memberitahu Mahkamah New York bahawa beliau memberikan Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta (RM30.98 juta) di Montpelier Street, London.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs Roger Ng yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.