Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Masa aku di tingkatan 4, aku pernah kena gantung sekolah sebab dicekup oleh warden asrama ketika galak menjual rokok. Setelah hukuman dijatuhkan, maka bapa aku perlu ambil aku untuk pulang. Aku punya takut nak berhadapan dengan bapa aku, sampai 4-5 kali pergi tandas. Sampai dah tak ada air kencing nak keluar.

Bila bapa aku sampai, aku naik kereta dan membatukan diri. Jantung aku berdegup seolah ia menendang-nendang dinding dada aku.

“Banyak untung?” soal bapa aku. Suara dia serius. Aku jeling padanya sekilas pandang. Mata dia tertancap pada jalan raya, tapi rasakan seolah-olah mata dia terjegil pandang aku.

“Tak berapa.” jawab aku.

“Kalau tak berapa untung, buat apa jual?”

“Sebab benda tu je yang ada market.”

Selepas itu, perbualan kami dah kurang tegang. Bapa aku cerita pasal bagaimana susah dia nak mulakan bisnes. Kongsi cara simpan duit. Cara tambat hati klien. Cerita tentang visi dia. Perancang masa depan. A-Z tentang bisnes.

Sepanjang perjalanan ke rumah yang mengambil masa 1 jam lebih itu. Sedikit pun bapa aku tak sentuh tentang keburukan rokok atau kebodohan tindakan aku.

Aku tahu bapa aku tak suka aku jual rokok, tapi dia lebih tumpukan perbualan kami kepada perkara yang kami berdua suka, iaitu bisnes. Dia lebih memberi perhatian kepada perkara positif yang dia lihat ada dalam diri aku.

Dia sokong. Dia puji. Dia beri galakan. Akhir sekali baru dia kata “Ayah tak kisah kau nak meniaga, tapi jual benda lainlah.”

Lepas naik sekolah semula. Kau tahu apa aku jual? Zaman tu pelajar tak mampu beli telefon bimbit. Jadi kena guna telefon awam. Masalahnya, kena tunggu giliran nak guna telefon awam sangat panjang. Jadi aku sediakan servis untuk menelefon awek di asrama puteri.

Gunakan duit untung jual rokok, aku beli 2 buah telefon bimbit. Satu aku pegang, satu lagi aku suruh ejen aku di asrama puteri pegang. Kalau ada pelajar lelaki nak telefon awek, aku call ejen aku, suruh dia sampaikan pada penerima call.
Panggilan aku caj per minit.

Tak lama lepas tu aku jual telefon bimbit terpakai pula. Lepas tu jadi tauke prepaid pula. Bisnes aku berkembang sampai aku ada 4 biji telefon. Zaman tu, kau ada sebuah telefon bimbit pun dah kira boleh bongkak. Hahaha.

Malangnya, akhirnya 3 daripada 4 telefon bimbit aku kena rampas semasa spot check besar-besaran dibuat. Dulu, memiliki telefon bimbit di asrama adalah satu kesalahan. Maka berakhirlah zaman kegemilangan aku sebagai kartel telefon bimbit.

Apapun, aku sebenarnya kongsi cerita ini untuk beritahu cara bapa aku tangani masalah aku itu adalah cara yang aku rasa sangat bagus.

Fokus pada bina kekuatan anak. Beri perhatian. Pupuk kekuatan itu sehingga ia jadi pendorong ia untuk terus maju. Apabila anak mendapat perhatian pada sesuatu positif yang dia lakukan, lama-lama dia akan tinggalkan perkara negatif.

Kebanyakan ibubapa sekarang beri lebih perhatian pada anak apabila mereka melakukan kesalahan. Lagi seronoklah budak itu buat kesalahan, sebab dia tahu dia akan dapat perhatian. Tak boleh salahkan anak. Memang naluri mereka untuk mendapat perhatian ibubapa.

Maka, berilah perhatian kepada pencapaian positif anak-anak. Tumpukan pada kekuatan mereka. InsyaAllah mereka akan menjadi insan-insan yang cemerlang di masa hadapan.

Nak tahu betapa berkesannya cara ini membentuk anak-anak?

3 daripada 4 adik beradik aku, kini adalah doktor. Seorang lagi tu sedang menyusul, kini pelajar perubatan. Ketiga-tiga menantu mak bapa aku juga doktor.

Siapa nak jadi menantu bapa aku? Ada satu lagi tempat kosong.

Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor/Penulis/Usahawan

Artikel di atas disumbangkan oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan. Beliau ialah doktor perubatan dan penulis buku. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka