Di usia 33 tahun, perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus dianggap membazir. Juventus sanggup membayar 100 juta Euro bagi menerbangkan Ronaldo dari Madrid ke Turin.

Tetapi setiap tohmahan ditepis satu persatu oleh Ronaldo. Mulanya Juventus berjaya menjual 520,000 jersi Juventus dalam masa 24 jam. Kini timbul pula tentang keadaan fizikal sebenar Ronaldo.

Setiap pemain pastinya akan diuji kadar kecerdasannya sebelum layak untuk berpindah ke kelab baharu. Namun, pihak pengurusan di Juventus sangat terkejut dengan laporan medikal yang dikeluarkan untuk Ronaldo.

Seperti yang dilaporkan laman Diario AS, keadaan fizikal Ronaldo tidak ubah seperti pemain berusia 20an. Dalam laporannya, Ronaldo cuma mempunyai kadar 7 peratus lemak di badannya dan beliau masih mampu mencatat larian 33km/j pada kejohanan Piala Dunia 2018 yang lalu.

Keadaan fizikal Ronaldo lebih baik berbanding pemain bola yang lain di mana secara puratanya mempunyai sekitar 9-10 peratus lemak pada badan. “Saya berpindah kerana saya mahukan cabaran baharu dalam karier saya. Pada usia begini biasanya pemain akan ke liga China, tetapi saya berbeza dengan pemain-pemain di usia saya dan saya masih mampu memberi saingan di liga yang kompetitif,” kata Ronaldo.

Ronaldo sememangnya dikenali sebagai salah seorang atlet yang sangat mementingkan isu pemakanan dan menjaga berat badan. Dengan kontrak 4 tahun di Juventus, tiada masalah untuk Ronaldo terus menempa nama di kelab baharu.