Selepas Sony mengumumkan pelancaran Play Station 5 (PS5) beberapa hari lalu, ramai yang sudah mula berkira-kira untuk mendapatkannya walaupun masih belum dijual secara rasmi.

Tampil dengan reka bentuk yang berbeza daripada siri PlayStation seperti sebelum ini, PS5 pantas menjadi bahan troll atau meme para netizen di Internet dengan ada yang menyamakannya dengan bentuk penapis udara dan  tidak kurang juga ada yang mengambil peluang yang dinanti-nanti untuk memanggilnya dengan nama Plash Speed.

meme-ps5-featured
Antara meme yang dihasilkan selepas pelancaran PS5

Buat anda yang tidak tahu (terutama golongan isteri dan ibu di luar sana), terma Plash Speed sebelum ini digunakan dalam salah satu animasi Korea di mana si suami terpaksa menipu dengan mengatakan konsol permainan itu sebagai router berjenama Plash Speed bagi mengelakkan daripada dimarahi isterinya selepas membeli PlayStation 4.

Video animasi pendek si suami yang mengelak daripada ditangkap kerana membeli konsol permainan itu tular di seluruh dunia dan ramai yang mula berkira-kira untuk menggunakan terma Plash Speed jika membeli konsol permainan selepas ini bagi mengelak diketahui isteri dan keluarga mereka.

Hati-hati jika suami minta tukar router baru

Dan kini selepas beberapa hari ia dilancarkan secara rasmi, ‘router’ terbaru yang menjadi kegilaan para suami  ini akhirnya ditawarkan secara dalam talian di Shopee dengan menggunakan gambar PS5 yang dinamakan sebagai Plash Speed.

Ditawarkan dengan harga RM1,1999, Plash Speed berwarna putih hadir ini datang lengkap bersama ‘WiFi Adjuster’ – yang sudah semestinya bukanlah sebuah ‘controller’  dan penjual turut memberitahu ianya adalah router terbaru yang anda perlukan.

shopee

Kepada para suami atau gamers di luar sana, kami bagaimanapun tidak mengesyorkan anda membeli Plash Speed ini walaupun ia dijual oleh penjual yang legit dan mempunyai label Preferred atau Pilihan kerana ia kelihatan sedikit ‘mengelirukan’ memandangkan ianya masih belum berada di pasaran.

Bagaimanapun, kepada anda yang berkira-kira untuk mendapatkan PS5 tidak lama lagi kami menyarankan anda agar menyimpan gambar Plash Speed ini beserta deskripsi yang diberikan penjual.

Siapa tahu ianya boleh menjadi rujukan untuk diberikan kepada isteri dan keluarga bila router di rumah anda rosak atau setidak-tidaknya bila PS5 mula dijual dan sudah semestinya Plash Speed ini perlu menjadi pilihan seterusnya keluarga anda untuk kehidupan yang lebih bahagia dan harmoni.

*Kepada anda yang masih keliru, iklan Plash Speed ini difahamkan lebih bertujuan kepada parody atau pun troll yang merujuk kepada video animasi Korea yang tular sebelum ini. Jadi jika suami anda memberitahu router WiFi di rumah anda rosak, mungkin ia benar-benar berlaku dan bukannya alasan untuk beliau membeli PS5. . 

Selepas lama menjadi tanda tanya, Sony akhirnya muncul dengan konsol terbaru mereka bagi menggantikan PlayStation4 yang telah berada di pasaran sejak 2013 lalu. Baca lebih lanjut mengenai PS5 di pautan di bawah. 

Sony Kongsi Rekaan Rasmi PS5, Harga Kekal Jadi Tanda Tanya

CEO Sony Sahkan PS5 Tidak Akan Ditawarkan Dengan Harga Yang Murah

Sony Sahkan PS5 100 Kali Lebih Pantas Berbanding PS4