Pada tahun 2020 lalu, wabak pandemik COVID-19 telah menyebabkan beberapa buah hotel dan resort milik Genting Bhd di seluruh Malaysia ditutup sehingga menyebabkan syarikat berdepan dengan kerugian.

Terbaharu, Genting kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 dengan keuntungan bersih berjumlah RM128.02 juta berbanding kerugian bersih RM344.55 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2021, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu menjelaskan prestasi kembali mencatatkan keuntungan itu didorong oleh perolehan lebih tinggi terutama daripada bahagian kegiatan masa senggang dan hospitaliti susulan pembukaan pasaran pelancongan serantau dan peningkatan semula perolehan perjudian.

Perolehan melonjak sebanyak 75 peratus kepada RM6.12 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM3.5 bilion pada suku sama tahun kewangan 2021.

Menurut Genting, pemulihan Resorts World Sentosa (RWS) masih berterusan pada suku ketiga itu. Pihak syarikat juga akan terus memantau rapat risiko dan permintaan serta akan bertindak sewajarnya mengikut pelbagai kemungkinan cabaran dalam persekitaran operasi.

“Keseluruhan prestasi operasi RWS yang lebih baik mencerminkan pemulihan pasaran pelancongan serantau yang berterusan, namun pemulihan sedemikian masih belum mendorong keadaan kembali kepada tahap sebelum pandemik.

“Peningkatan semula perolehan perjudian telah dipacu oleh pelanggan lebih mewah dan premium yang menginap bagi tempoh yang lebih lama sedikit,” tambahnya.

Selain itu, pembukaan Genting SkyWorlds pada Februari 2022 juga telah menyumbang kepada peningkatan perolehan hasil bukan perjudian pada suku ketiga.

Harga saham Genting Bhd di Bursa Malaysia melonjak 27 sen untuk ditutup pada RM4.48 dengan 30.08 juta saham didagangkan.

Sumber