Tular sebuah hantaran daripada butik Vintage Sac MY yang mendakwa bahawa barangan tempahan pelanggan yang berbentuk Louis Vuitton Locky BB Parcel in Blue Jean telah ‘dibawa lari’ oleh pemandu penghantaran Lalamove sehingga mengakibatkan kerugian sehingga RM6,500.

Hantaran yang dimuat naik di laman Facebook mereka pada hari Khamis itu menyatakan bahawa mereka naif kerana terlalu percayakan Lalamove akan bertanggungjawab setelah insiden kehilangan barang tempahan pelanggan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Kami adalah pelanggan setia Lalamove yang menyokong mereka sejak hari pertama perniagaan kami. Bagaimanapun, insiden baru-baru ini telah membuktikan kami salah, dan kami mengalami kerugian RM6500 kerana mempercayai Lalamove,” katanya.

Difahamkan bahawa kejadian ini terjadi pada 26 Mac 2022 yang lalu, di mana satu penghantaran tempahan beg berjenama LV dibuat kepada pelanggan. Lalamove yang dipilih sebagai wakil penghantaran telah menugaskan seorang pemandu kepada Vintage Sac MY.

Bagaimanapun, butik tersebut mendakwa bahawa barang tempahan itu tidak pernah sampai kepada pelanggan mereka dan dipercayai telah dibawa lari oleh pemandu Lalamove.

“Sama seperti setiap perjalanan Lalamove yang lain, pemandu menghantar mesej kepada kami untuk memaklumkan bahawa dia telah sampai kepada kami, dan kami menyerahkan Bungkusan kepada pemandu, dengan percaya bahawa dia akan menghantar Bungkusan ke depan pintu pelanggan kami. Kami juga menjalankan usaha wajar kami dengan mengambil gambarnya.

“Namun, apa yang kami takutkan, Bungkusan itu tidak pernah dihantar dan pemandunya telah hilang,” tulis akaun itu di laman Facebook.

Setelah kejadian, pihak kedai telah membuat aduan rasmi kepada pihak Lalamove bagi mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada barangan mereka. Namun emel balas yang diberikan oleh Lalamove didakwa tidak masuk akal dan bersikap seperti lepas tangan.

“Pada ketika itu, kami masih berfikir secara naif bahawa Lalamove akan menepati janji mereka untuk membayar pampasan kepada kami.

“Selepas 3 hari dan banyak (emel) susulan daripada kami, Lalamove akhirnya menghantar e-mel kepada kami. Walau bagaimanapun, e-mel mereka tidak masuk akal.

“Kami terkejut dengan jawapan mereka, terutamanya menyebut tentang perlindungan insurans. Kami menyemak semula aplikasi Lalamove dengan teliti dan tidak menemui sebarang pilihan untuk membeli perlindungan insurans,” tambah mereka lagi.

Pihak kedai pula hanya diberi pampasan dalam bentuk kredit sebanyak RM400. Bayaran pampasan itu dikatakan hanya merangkumi 10% daripada kerugian mereka.

Disebabkan kejadian tersebut, pihak Vintage Sac MY terpaksa memulangkan RM6,500 kepada pelanggan mereka pada hari kejadian dan meminta maaf di atas apa yang berlaku. Satu laporan polis juga telah dibuat dan pihak kedai juga meminta kepada peniaga di luar sana untuk lebih berhati-hati selepas ini jika menggunakan perkhidmatan penghantaran Lalamove.

Lelaki ini kongsi kisah cabaran dan halangan dalam membina perniagaan sendiri. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Lelaki Ini Kongsi Kisah Cabaran Dan Halangan Dalam Membina Perniagaan Sendiri

Gagal Terima Tempahan Hari Yang Sama, Pelanggan Ini ‘Disekolahkan’ Penjual Shopee

Dari Awan Turun Ke Jalanan, Lelaki Ini Kongsi Persamaan Jadi ‘Rider’ E-Hailing Dan Juruterbang