June 8, 2015 5:50 AM

Teletubbies, satu rancangan TV bersiri yang menjadikan kanak-kanak sebagai penonton utama turut mendapat peminat daripada golongan dewasa terutama pelajar universiti dan kolej. 4 watak utama Teletubbies iaitu Tinky Winky, Dipsy, Laa-Laa dan Po akan muncul di celah-celah bukit kecil yang ada rumah berbentuk dome. Rumah dome itu dipanggil sebagai “Tubbytronic Superdome”.

Fullscreen capture 08062015 35803.bmp

Itu cerita tentang “Tubbytronic Superdome” yang hanya wujud di dalam televisyen. Pastinya kita tidak boleh menjejaki rumah dome Teletubbies melainkan jika kita ke Dusun Ngelepen, Prambanan, Jogjakarta di Indonesia. Tapi rumahnya tidak dilitupi rumput hijau, ia berwarna putih dan berdinding lebih tinggi berbanding rumah Teletubbies. Namun, sekali pandang, pasti orang akan teringat akan Teletubbies sehingga kawasan perumahan tersebut dipanggil sebagai Desa Teletubbies.

Sebenarnya, rumah berbentuk dome ini dibina untuk mangsa-mangsa bencana gempa bumi yang pernah melanda Jogjakarta pada tahun 2006 dengan kekuatan 5 skala richter. Kesan gempa bumi itu menyebabkan penduduk di Desa Ngelepen tidak berumah dan kawasan itu tidak sesuai didiami lagi. Maka, organisasi bukan kerajaan iaitu World Association of Non-Governmental Organization dan Domes for The World Foundation telah berkerjasama membangunkan rumah-rumah di satu kawasan baru yang dinamakan New Nglepen. Projek ini turut mendapat derma daripada pemilik Emaar Property Dubai. Kos pembinaan bagi sebuah rumah dome ialah Rp40juta.

rumah-dome-hawa-1

Bentuk dome dipilih kerana ia kalis gempa bumi kerana tidak mempunyai struktur bertiang atau sambungan membuatkan ia lebih stabil apabila menghadapi gegaran. Rumah ini juga kalis angin selaju 450 km/j dan dijangkakan jangka hayat rumah ini lebih panjang berbanding rumah biasa.

Dari luar ia kelihatan seperti satu tingkat sahaja. Sebenarnya ada satu ruangan di atas yang boleh dijadikan ruang simpanan barang atau bilik.

dome2

Rumah dome Teletubbies ini mempunyai satu ruang tamu, satu dapur, dua bilik tidur, satu bilik mandi, dan satu ruang simpanan di atas. Rumah dome berdiameter 7 meter dan tinggi 4.6 meter ini dilengkapi 2 pintu dan 4 tingkap.

dome-5

Ruangan tengah di bahagian paling atas dome boleh diletakkan alat kitar udara supaya pengaliran udara di dalam rumah menjadi lebih baik.

pelan lantai dome

Kawasan perumahan ini berubah apabila tersebarnya keunikan bentuk rumah ala Teletubbies sehingga ia bertukar menjadi kawasan pelancongan. Maka, pelancong berpeluang tinggal di rumah dome ini dan merasai kehidupan di sini. Pelancong juga berpeluang bergambar dengan Teletubbies di hujung minggu. Tiket masuk Rp1500 seorang dan jika mahu ikuti pakej lawatan, Rp6000 seorang. Turut disediakan pakej penginapan yang berharga Rp30,000.

Di New Nglepen ini terdapat 80 buah rumah dome yang terdiri daripada 71 buah rumah penduduk, 6 buah bilik air komuniti (berkongsi), dan 3 buah untuk kegunaan awam (masjid, klinik dan auditorium).

dome public

Kini, sudah hampir 8 tahun semenjak penempatan ini dibuka pada tahun 2007. Banyak perubahan berlaku terutama dari segi bentuk rumah apabila ada sesetengah penduduk melakukan renovasi. Malah, ada juga rumah dome yang mengalami keretakan. Penduduk percaya ia berkaitan dengan iklim setempat yang berbeza dengan negara asal idea rumah dome ini dicipta.

Sumber: Wisata Melayu, Balistarisland-Indonesia, Pacar Kecilku, Jogja Trip, Jember Traveler

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram