Sejak di zaman purba lagi, seorang arkitek mempunyai peranan yang penting di dalam pembangunan sesebuah negara dan tamadun.

Begitu jugalah tamadun Islam yang mempunyai pelbagai tokoh pada setiap bidang.

Kali ini, saya ingin bercerita tentang satu tokoh arkitek terkemuka di zaman pemerintahan Daulah Uthmaniyyah iaitu Mimar Sinan.

Mimar-Sinan

Mimar Sinan merupakan antara arkitek agung dan paling berpengaruh di sepanjang zaman. Beliau hidup ketika Daulah Uthmaniyyah berada di puncak kegemilangan khilafah iaitu di zaman pemerintahan Sultan Selim I , Sultan Süleyman I sehinggalah ke Sultan Selim II dan Sultan Murad III.

Nama sebenar beliau adalah Sinan bin Abdulmennan bin Doğan Yusuf (14989-1588).

Beliau berasal dari kawasan Anatolia di Ağırnas, Kayseri yang berlatarbelakangkan dari keluarga Turki Kristian.

Sewaktu remajanya, beliau datang ke Istanbul untuk menyertai pasukan Janissari dan melalui pelbagai ujian saringan.

Akhirnya beliau diterima sebagai ahli pasukan Devşirme (salah satu sistem merekrut tentera) ketika pemerintahan Yavuz Sultan Selim (1512-1520) dan telah berjaya melayakkan diri secara rasminya sebagai ahli pasukan elit Uthmaniyyah, Janissari semasa pemerintahan Sultan Suleyman Al-Kanuni (1520-1566).

Semasa menyertai pasukan Janissari, Sinan menunujukkan bakatnya di dalam bidang kejuruteraan.

Hari demi hari bakatnya semakin menyerlah sehingga beliau dinaikkan pangkat sebagai pegawai di dalam angkatan tentera setelah banyak menyertai kempen peperangan dalam pemerintahan Sultan Selim I dan Sultan Süleyman I.

Di dalam kempen peperangan di Moldavia bersama Sultan Süleyman pada 1538, Sinan telah menunjukkan kemahirannya dalam membina jambatan menyeberangi Sungai Prut dengan masa yang singkat iaitu 13 hari sahaja bagi kemudahan orang ramai.

Perkara ini telah menarik perhatian Sultan Süleyman Al-Kanuni sehingga baginda memuji Sinan atas kecekapannya dalam bidang tersebut.

Tanpa diduga Sultan telah menganugerahkan Sinan pangkat sebagai Ketua Arkitek Uthmaniyyah pada 1539. Sehubungan itu, beliau digelar sebagai Mimar Sinan yang bermaksud Arkitek Sinan.

mimar-sinan-2
Hagia Sophia

Selepas Hagia Sophia dijadikan sebagai masjid, para arkitek Uthmaniyyah sering menjadikan Masjid Aya Sofya sebagai kayu ukur bagi mereka bentuk masjid-masjid yang lain.

Disebabkan itulah, kita lihat kebanyakan masjid di Turki mempunyai reka bentuk yang hampir sama.

Reka bentuk asas bagi sesebuah masjid di zaman Daulah Uthmaniyyah adalah kubah utama yang berada ditengah dan separuh kubah dibina di sekelilingnya bagi menyokong struktur kubah utama.

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi saiz masjid dan kapasiti jemaah yang ramai.

Walaupun beberapa dekad yang lalu, ramai arkitek Uthmaniyyah telah mencuba untuk membina masjid yang lebih hebat daripada Masjid Aya Sofya namun ia masih tidak dapat menandinginya sehinggalah Mimar Sinan berjaya mencetuskan fenomena dalam setiap reka bentuk binaannya yang mengkagumkan melebihi keindahan Masjid Aya Sofya.

mimar-sinan-3
Masjid Jalal Al-Din Al-Rumi di Konya
mimar-sinan-10
Masjid Khusruwiyyah di Aleppo, Syria

Mimar Sinan yang berpengalaman dalam mereka bentuk bangunan, telah memulakan kariernya dengan membina sebuah masjid di Aleppo, Syria, iaitu Masjid Khusruwiyyah pada 1547.

Beliau juga telah membaiki struktur Masjjid Abu Hanifah di Baghdad dan Masjid Jalal Al-Din Al-Rumi di Konya.

Pelbagai projek yang diamanahkan kepada beliau telah berjaya disiapkan dengan penuh teliti. Maka, ini telah menjadikan Mimar Sinan terkenal dan begitu mahir dalam bidang kejuruteraan dan arkitek.

Pada 1543, Allah S.W.T telah menjemput putera Sultan Süleyman iaitu Putera Mehmed yang meninggal dunia akibat penyakit cacar (smallpox) ketika anakandanya berumur 21 tahun.

Sultan Süleyman mengarahkan pembinaan masjid untuk putera kesayangannya itu sebagai bekalan dan sedekah bagi puteranya di akhirat sana.

Jadi, ini adalah peluang pertama bagi Mimar Sinan untuk membina bangunan dengan skala yang lebih besar berbanding biasa. Masjid ini siap dibina beserta binaan Külliye selepas 4 tahun pembinaan dan diberi nama Şehzade Cami (Masjid Putera).

Sultan Süleyman sangat berpuas hati dengan hasil kerja Sinan. Tetapi Sinan masih tidak berpuas hati dan mengakui bahawa beliau mampu membuat binaan yang lebih baik dari ini.

[Külliye bermaksud suatu kompleks yang berperanan memberi wakaf dan khidmat dari segi keagamaan dan keperluan umum di dalam masyarakat]

Baca: 12 Pakaian ‘Rare’ Dari Zaman Kegemilangan Uthmaniah, Turki

mimar-sinan-5
Lakaran yang dilukis oleh Mimar Sinan untuk pembinaan Masjid Süleymaniye

Tugas seterusnya, Sinan diamanahkan untuk membina sebuah masjid dan Külliye untuk Sultan Süleyman sendiri sebagai amal jariah bagi pihak dirinya juga untuk kemudahan rakyatnya. Masjid Süleymaniye dibina dalam masa 8 tahun lamanya (1550-1557).

Menurut lagenda, selepas tamatnya membina tapak struktur asas dan sebelum membina struktur reka bentuk seterusnya Sinan telah menghilangkan diri selama 5 tahun.

Akibat hilangnya arkitek kesayangan Sultan itu tanpa khabar berita, Sultan menjadi bimbang dan ingin mengetahui di manakah keberadaan Sinan sebenarnya.

Akhirnya selepas 5 tahun, Sinan kembali ke Istanbul dan menerangkan kepada Sultan yang mana tapak pembinaan masjid ini adalah sangat besar daripada biasa dan ia memerlukan masa selama 5 tahun untuk menjadikan tapak struktur asas lebih padat dan mampat ke bawah tanah sebelum dibinanya binaan di atasnya untuk menjadikan ia betul-betul kukuh.

mimar-sinan-6
Masjid Süleymaniye di Istanbul

Selepas selesai pembinaannya pada 1557M, binaan Masjid Süleymaniye dianggap oleh Sultan Süleyman sebagai karya agung yang telah dibina oleh Mimar Sinan tetapi sebaliknya Sinan masih tidak berpuas hati malah menganggap dirinya mampu membina bangunan dengan struktur yang lebih baik dari ini.

Selepas kemangkatan Sultan Süleyman Al-Kanuni yang dicintai rakyat pada 1566M, Sinan meneruskan khidmatnya di bawah pemerintahan Sultan Selim II.

Sepertimana ayahandanya Sultan Süleyman, baginda juga turut mahukan sebuah masjid yang dibina atas namanya sebagai satu sedekah yang berterusan walaupun beliau sudah kembali ke Rahmatullah.

Lalu, dimintanya kepada Mimar Sinan yang ketika itu sudah berumur sekitar 70 tahun untuk mereka bentuk sebuah masjid yang indah bagi dirinya di wilayah Edirne.

Sinan bercita-cita untuk mereka suatu binaan yang mampu mengatasi keindahan dan kemahiran seni bina Masjid Aya Sofya. Kesungguhan Sinan untuk menandingi Aya Sofya membuatkan beliau mengambil masa 8 tahun untuk melakar bentuk binaan masjid dengan penuh teliti dan 2 tahun untuk membina tapak permukaan binaan tersebut.

Baca: 6 Jenis Hotel Di Turki Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Tempahan Bilik

mimar-sinan-7
Masjid Selimiye di Edirne

Akhirnya Sinan berjaya mencapai salah satu sasarannya setelah memulakan pembinaannya pada 1568M dan selesai pembinaan pada 1574M dengan diberi nama Masjid Selimiye.

Menara Masjid Selimiye antara yang tertinggi pada zaman itu dengan mencapai 80 meter. Kubah utamanya yang berdiameter 31.5 meter dengan berbentuk oktagon (8 sisi) yang mana membenarkan ia dibina lebih tinggi berbanding Masjid Aya Sofya ketika itu.

Dalam beberapa bentuk binaan tersebut, ia menyerupai reka bentuk Masjid Süleymaniye yang pernah beliau bina.

Mimar Sinan begitu berpuas hati dengan hasil kerjanya sehingga beliau mengiktiraf bahawa Masjid Selimiye yang berada di Edirne itu adalah karya agung yang berjaya dibinanya.

Mimar Sinan cemerlang dalam melaksanakan amanahnya sebagai Ketua Arkitek Uthmaniyyah selama 35 tahun dan telah berjaya menyiapkan kerja-kerjanya dengan pantas dan cekap sekali sepanjang pemerintahan Daulah Uthmaniyyah.

Beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 1588 ketika berumur 98 tahun dengan pelbagai legasi kejayaannya seperti membina 80 buah masjid , 57 buah madrasah, 22 buah makam, 7 buah Dar Al-Qurra’,17 buah Imaret (Institusi Kebajikan & Kedermawanan) dan 3 buah Darüşşifa (Hospital), 7 buah saluran air, 8 buah jambatan , 35 buah istana, 20 buah rumah penginapan,6 buah tangki air dan 48 buah Hammam (Turkish Bath).

mimar-sinan-11
Makam Mimar Sinan

Mimar Sinan dianggap sebagai tokoh arkitek terulung muslim sepanjang zaman dan karya-karyanya adalah simbol kepada kesenian Islam sehingga sekarang. Beliau dimakamkan di luar tembok Masjid Süleymaniye di sebelah utara.

Rujukan: Bilinmeyen Osmanlı (Pof. Dr. Ahmed Akgündüz dan Prof. Dr. Said Öztürk)

Baca lagi: 22 Aktiviti Menarik Yang Boleh Anda Lakukan Bila Travel Ke Cappadocia Turki