Rusia telah mula menyerang Ukraine sejak minggu lalu. Kesan kemusnahan dan kematian dapat dilihat lebih besar dihadapi Ukraine berbanding Rusia. Bagaimanapun, negara yang dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin itu masih belum berjaya menawan ibu negara Ukraine, Kyiv. Putin turut memberi amaran kepada negara lain untuk tidak masuk campur urusan Rusia dan Ukraine.

Manakala Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sebelum ini menyatakan bahawa beliau adalah sasaran nombor 1 Rusia, manakala keluarganya pula menjadi sasaran nombor 2. Risiko yang dihadapinya tinggi, namun Zelensky telah berikrar untuk tidak sesekali meninggalkan negara itu, walaupun tentera Rusia semakin hampir mendapatkan Kyiv. Selain itu, Zelensky juga telah memberitahu pemimpin Eropah bahawa ini mungkin kali terakhir mereka melihat beliau hidup.

Zelensky juga bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Jumaat lalu mengenai beberapa sekatan yang boleh dilakukan terhadap Rusia dan langkah lain untuk membalas serangan Moscow ke atas Ukraine. Beberapa jam kemudian, pentadbiran Biden mengumumkan bahawa ia akan menyertai Kesatuan Eropah dalam mengenakan sekatan baharu terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan beberapa timbalannya.

Menurut South China Morning Post, perang yang dihadapi oleh kedua negara ini akan membawa kepada dua situasi jika Moscow berjaya menawan Kyiv.

Pertama, walaupun Zelensky telah berulang kali menyuarakan hasratnya untuk kekal dan mempertahankan Kyiv daripada jatuh ke tangan Rusia. Para pakar melihatnya sebagai misi berani mati. Jika kota dengan 3 juta penduduk itu jatuh ke tangan tentera Rusia, Zelensky sama ada akan dibunuh atau menjadi tawanan Rusia.

Kedua, jika dia berjaya melarikan diri, Zelensky boleh mengetuai operasi ketenteraan dan terus memimpin Ukraine dari barat negara tersebut atau menubuhkan sebuah kerajaan buangan. Kata pengarah kanan Pusat Eurasia untuk Majlis Atlantik dan bekas duta AS ke Ukraine dari 2003 hingga 2006, John Herbst, apa yang diperlukan Ukraine adalah komunikasi yang tepat dan penentangan yang berterusan daripada tentera Ukraine.

Bagi Mitchell Orenstein, profesor Pengajian Rusia dan Eropah Timur di Universiti Pennsylvania, dengan Zelensky keluar dari Kyiv, Putin mungkin akan meletakkan kerajaan pilihannya sendiri. Manakala Orenstein, pengarang The Lands in Between: Russia vs. the West and the New Politics of Hybrid War, berkata Putin akan meletakkan kerajaan yang akan memerintah dengan “cara yang kejam”.

Namun persoalan yang timbul jika Zelensky menubuhkan kerajaan dalam buangan ialah sama ada mereka akan dilayan sebagai sebuah kerajaan yang sah atas pentadbiran yang diletakkan di negara yang mereka wakili, kata Paul D’Anieri, profesor sains politik dan dasar awam di University of California.

Beliau mengambil contoh kerajaan Poland yang pernah mentadbir di London selepas pencerobohan oleh Nazi Jerman dan Kesatuan Soviet. Masalah yang timbul, katanya, adakah negara luar perlu berurusan dengan kerajaan buangan yang tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas negaranya berbanding dengan kerajaan yang diangkat melalui cara yang kejam seperti perang namun mempunyai kawalan penuh ke atas negara tersebut.

Bagi Herbst pula, jika Zelensky memimpin kerajaan dalam buangan, ia akan “menjadi kekalahan untuk Ukraine, tetapi tidak semestinya menamatkan perang.” Beliau percaya bahawa tentangan berterusan daripada Ukraine dan rakyatnya akan menjadi masalah besar Putin pada masa hadapan, tidak kira sama ada kerajaan Zelensky digulingkan atau beliau sendiri memutuskan untuk berundur.

Perang Rusia dan Ukraine, apa yang sebenarnya yang dimahukan Vladimir Putin? Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Perang Rusia Dan Ukraine, Apa Sebenarnya Yang Dimahukan Vladimir Putin?

Vladimir Putin Arah Pasukan Nuklear Rusia Bersiap Sedia, Berada Dalam Mod Tempur

Tentera Ukraine Beritahu Kapal Perang Rusia ‘Pergi Mampus’ Sebelum Dibunuh