Kehidupan di laut suatu impian yang dinanti-nanti? Bagaimana kehidupan mereka seharian?

Sejak cerita Deepwater Horizon ditayangkan, semakin ramai orang teruja dengan kehidupan pekerja-pekerja di laut. Umumnya, pekerjaan di laut dikaitkan dengan sumber pendapatan yang agak lumayan jika dibandingkan dengan pekerjaan-pekerjaan di darat.

BACA: Deepwater Horizon (2016) Filem yang Ditunggu-tunggu Oleh Orang Minyak

Namun, sebenarnya bukan semua mempunyai pendapatan yang lumayan kerana ada juga yang pendapatan bersih kurang daripada RM3000 sebulan dan bekerja secara shif. Contohnya, ada yang bekerja selama sebulan dan bercuti selama sebulan tanpa gaji. Kesimpulannya, dalam masa setahun sumber pendapatannya hanyalah 6 bulan.

Setinggi mana gaji seseorang yang bekerja di laut berdasarkan kepakaran dan skop kerjanya, tempoh kerja di laut, tempoh overtime atau kerja lebih masa dan juga bergantung kepada majikan masing-masing. Apa yang saya ingin sampaikan, bukan semua yang bekerja di laut gajinya lumayan walaupon risiko bekerja amatlah tinggi di samping kesukaran logistik jika sekirannya anda ada perkara kecemasan di darat.

Salah satu contoh apa yang saya pernah alami, salah seorang kontraktor saya mendapat berita kelahiran anak daripada orang lain, bukan daripada ahli keluarganya kerana kesukaran untuk berhubung pada ketika itu.

Baik, saya ingin kongsikan bagaimana umumnya suasana kehidupan seharian di pelantar minyak. Oleh kerana, pelantar minyak tidaklah seluas sebuah negeri, inilah yang akan anda hadapi hari-hari.

Perlu diingat, suasana kehidupan di drilling platform, FPSO (Floating production storage and offloading) atau FSO mungkin juga ada sedikit kelainan daripada kehidupan di pelantar minyak kerana berbeza dari sudut suasana kerja. Akan tetapi, lazimnya beginilah suasana seharian pekerja-pekerja.

Helideck

offshore-02

Sekiranya anda ke pelantar minyak, helikopter akan mendarat di sini dan akan ada petugas-petugas yang terlatih akan menyambut kedatangan anda.

Kadang-kadang, helideck juga dijadikan medan untuk bersukan memenuhi masa lapang atau menghilangkan rasa bosan. Ada yang bermain futsal (bola kertas), ada yang bermain golf, ada yang jogging dan sebagainya.

Bilik Tidur

offshore-03

Selalunya beginilah gambaran tempat penginapan atau living quarters sesebuah pelantar minyak. Mungkin nampak agak sempit, tetapi cukup selesa untuk merehatkan badan seusai penat bekerja seharian.

Bagi pelantar minyak yang agak besar saiznya, kadang-kadang biliknya agak luas dan selesa. Dan anda juga jangan terkejut jika sekiranya anda terjumpa design dalaman tempat penginapan ala-ala hotel 5 bintang. Ya, ianya wujud!

Kantin @ Galley

offshore-04

Selain daripada tempat menjamu selera, kebanyakan galley atau kantin pelantar-pelantar minyak yang pernah saya bekerja, ia juga dijadikan tempat rekreasi dan hiburan seperti pool, dart , mini theater dan sebagainya.

Di samping itu, galley juga lazimnya digabungkan dengan bilik mesyuarat yang akan digunakan setiap hari untuk mengumpulkan seluruh pekerja-pekerja pelantar minyak samada klien atau owner mahupun kontraktor.

Istimewa bekerja di pelantar minyak, anda dididik bangun awal pagi disebabkan mesyuarat yang wajib akan dimulakan seawal 630 pagi yang melibatkan semua pekerja. Saya belum pernah ada pengalaman bekerja di pelantar minyak luar negara Malaysia, maka saya tidak pasti bagaimana masa kerja mereka.

Control Room @ Bilik Kawalan Operasi

offshore-05

Lazimnya beginilah gambaran bilik kawalan operasi pelantar minyak. Ia di gunakan untuk mengawal selia seluruh operasi pelantar minyak oleh pekerja-pekerja terlatih.

Jika berlaku perkara-perkara yang luar daripada kawalan contohnya ada peningkatan tekanan tinggi di dalam sesuatu mesin, pusat kawalan akan memberikan amaran untuk pekerja-pekerja bertindak mengawal keadaan.

Keselamatan pekerja dan pelantar adalah perkara pertama dalam operasi di pelantar minyak. Kepada sesiapa yang pernah berkerja di pelantar minyak mesti sinonim dengan slogan “Safety First”.

Bilik Rekreasi

offshore-06

Antara bilik rekreasi yang ada adalah bilik gym. Bagi yang memilih untuk work out atau bersenam, di sinilah tempat mereka penuhkan aktiviti seharian di pelantar minyak.

Lazimnya jenis bilik rekreasi bergantung kepada kreativiti dan permintaaan kebanyakan pekerja. Ada yang memilih peralatan muzik, ada yang memilih ping pong, ada yang memilih bilik karaoke, bilik permainan games dan sebagainya. Tetapi ianya juga bergantung kepada kelulusan daripada pihak pengurusan untuk pilihan-pilihan bilik rekreasi.

Begitulah secara ringkas saya kongsikan kehidupan seharian pekerja-pekerja di pelantar minyak.

Ada yang seronok dan tidak kurang juga yang lama kelamaan akan merasa bosan kerana selama 24 jam seminggu mereka melihat benda yang sama.

Rindu kepada anak-anak dan keluarga kadang-kadang tidak boleh di ubati dengan pendapatan yang kononnya lumayan. Ditambah pula tekanan kerja dan masalah-masalah yang dihadapi setiap hari ketika bekerja.

BACA: Projek Pertama Di Dunia Milik Petronas Ini Bakal Jadi Kebanggaan Rakyat Malaysia

BACA JUGA: 15 Gambar Kesukaran Sebenar Mereka Yang Bekerja Di Lautan