Perangai atau jati diri ‘katak’ yang ada pada sesetengah ahli politik telah lama menjadi isu utama atau sudah menjadi sebahagian budaya di Malaysia. Ahli politik ini akan melompat dari satu parti ke parti yang lain, kononnya apa yang mereka lakukan itu demi rakyat. Namun rakyat Malaysia bukanlah bodoh, tindakan itu hanyalah sebuah ‘political survivor’ – antara untuk selamatkan perut nasi sendiri atau mahu selamatkan diri dari tindakan undang-undang.

Trend ini semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ramai ahli politik mengambil pendekatan lompat parti. Direkodkan, seramai 40 ahli parlimen bertukar pihak, yang memuncak kepada berlakunya ‘Sheraton Move’ pada awal tahun 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan berkuasa.

Bagaimanapun, semalam tercatat satu sejarah baharu dalam senario politik negara apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan. Melalui undian yang dibuat semalam, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju untuk menghentikan perangai ‘katak’ yang ada dalam diri sesetengah ahli politik di Malaysia.

Rang undang-undang ini pertama kali dibaca pada 11 April lalu. Ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut kerana tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terluas luas. Penggubalan undang-undang ini juga memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan daripada Ahli Parlimen atau dua pertiga bagi membolehkan ia diluluskan dan menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjangkakan bahawa undang-undang ini akan dilaksanakan bermula pada September ini. Beliau turut menyatakan bahawa RUU ini bukan penyelesaian 100% kepada semua permasalahan yang timbul, namun keputusan yang diperoleh Dewan Rakyat itu merupakan langkah pertama.

April lalu, Wan Junaidi memberitahu bahawa antara tiga kriteria yang dianggap sebagai lompat parti adalah apabila ahli parlimen mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan parti yang beliau wakili semasa pilihan raya untuk menjadi ahli bebas atau menyertai parti lain. Kedua ialah apabila ahli parlimen dipecat daripada parti politiknya dan menyertai parti lain dan ketiga ialah apabila ahli parlimen bebas menyertai mana-mana parti politik selepas menang dalam pilihan raya.

Undang-undang anti lompat parti ini penting kerana ia akan meningkatkan kepercayaan orang ramai kepada proses demokrasi dan memastikan keputusan yang dibuat pengundi dihormati. Selain itu, ia juga akan meningkatkan kestabilan politik dan menegakkan prinsip penting hak rakyat Malaysia dalam pilihan raya.

“Ia bagi memastikan kehendak pengundi tidak dihalang oleh wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab. Jika rang undang-undang itu tidak diluluskan dan tidak menjadi undang-undang, wakil parti politik yang tidak bermoral boleh terus mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, kewangan atau sebaliknya, dengan mengorbankan pengundi mereka. Ia juga membawa kepada ketidakstabilan politik,” kata peguam Bastian Pius Vendargon kepada FMT pada April tahun ini.

Ahli politik berbadan gemuk cenderung untuk rasuah, lapor kajian antarabangsa. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Ahli Politik Berbadan Gemuk Cenderung Untuk Rasuah, Lapor Kajian Antarabangsa

Kemelut Politik Di Malaysia, Bagaimana Dunia Luar Melihat Kita?

Agong Nasihat Ahli Politik Muhasabah Diri, Jangan Heret Negara Ke Kancah Politik