Sewaktu tingkatan tiga, ada guru yang mahu saya berhenti kerana saya selalu sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah.

Katanya dalam sejarah, tidak pernah ada seorang pun muridnya gagal SRP. Jadi, janganlah saya menjadi orang yang pertama mencipta sejarah kegagalan itu.

Saya tidak pasti, guru itu benar-benar maksudkan atau hanya sekadar mencabar saya. Lagipun guru itu mungkin tidak mengalami apa yang saya lalui. Tentu saja beliau tidak akan faham.

Namun, kata-kata beliau yang diterima disaat diri menerima pelbagai ujian kesihatan dalam kehidupan, memang memberi kesan yang sangat mendalam.

Kata-kata cikgu itu terpahat kemas dalam ingatan dan membuatkan saya percaya yang saya akan jadi orang pertama yang gagal, lalu saya tekad mahu menamatkan persekolahan.

Mujur ayah dan mak, guru pertama dalam hidup saya, tidak mahu berputus asa. Mereka mengambil keputusan untuk meminta khidmat nasihat guru di sekolah saya.

Dan hari itu, Ustazah Fatimah, bonda Nurussaadah Yasin datang dan memujuk saya supaya tidak berhenti sekolah.

“Mujaidah, saya tahu awak boleh buat. Awak kena kuatkan semangat. Saya yakin awak akan berjaya. Buktinya, walaupun berbulan-bulan awak tak dapat datang ke sekolah, bila awak periksa, tak ada satu pun subjek yang gagal kan?”

“Betul, ustazah.”

“Jadi, awak kena buktikan yang awak boleh berjaya. Saya sangat yakin dengan kebolehan awak.”

Allah ya Allah. Di saat saya sudah bersedia untuk tewas, Allah hantar guru berhati mulia ini memujuk saya.

Saya cuba bangun dan bangkit. Sakit, teman-teman. Sangat sakit. Antara mahu percaya kepada kata-kata bahawa saya pasti akan gagal atau mahu terus berusaha membuktikan bahawa saya akan berjaya jika saya mahu terus mencuba.

Perit dan sangat pahit, bila saya terpaksa belajar dan buat latihan sendiri sedang saat itu saya sedang terbaring di katil menahan kesakitan yang tidak mungkin akan difahami orang.

Bukan mudah teman-teman, bagi saya untuk akhirnya memilih mempercayai kebolehan diri sendiri.

Saya memilih untuk bersusah -susah kerana saya sangat yakin dengan janji Allah bahawa kesenangan itu akan datang selepas kesusahan. Malah, Allah mengulangi janjiNya sebanyak dua kali dalam surah Al Asr.

Sungguh. Janji Allah itu benar. Saat saya hadir ke sekolah mahu mengambil keputusan SRP, saya dipeluk erat guru-guru.

“Mujaidah, kita tak pernah ada pelajar yang dapat semua 8A dalam SRP. Ini kali pertama kita ada dua orang pelajar yang dapat semua A, tahun ini. Saya sangat bangga dengan mereka tetapi keputusan Agregat 8 yang awak dapat lebih membanggakan saya. Awak pejuang sejati.”

Itu kata-kata yang saya dengar dari mulut guru saya ketika pelukannya terasa lebih kuat dan seperti tidak mahu dilepaskan.

Saya hanya menyambutnya dengan airmata. Tapi kali ini, ia airmata yang lahir dari rasa yang berbeza.

Allah. Manisnya saat itu sangat sukar digambarkan dengan kata-kata.

Saya hanya mahu lulus tapi Allah berikan saya sesuatu yang lebih indah. Malah baiknya Allah kepada saya bila Allah hadiahkan pula saya tawaran ke SMAP Kajang selepas itu. Tawaran yang selayaknya untuk budak-budak pandai sahaja.

Hari ini, tatkala saya meraikan sambutan Hari Guru bersama teman-teman dan anak didik di sekolah, bayangan wajah dua guru ini bersilih ganti hadir di minda saya bersama wajah guru-guru yang lain.

Pendekatan mereka mungkin berbeza. Ada yang keras, sinis dan menyakitkan. Ada yang lembut dan sangat mendamaikan. Betapa tutur bicara guru itu begitu berpengaruh dalam kehidupan muridnya, kan teman-teman?

Ia boleh jadi kata-kata beracun yang memadamkan harapan. Ia juga boleh menjadi bara yang menyalakan api semangat perjuangan. Salah atau betul, saya sangat yakin, mereka semua mahu yang terbaik buat saya.

Justeru, jasa-jasa mereka tersimpan kemas di log budi. Kekal dan tersemat kemas dalam lipatan kenangan yang abadi.

Terima kasih mak dan ayah.
Terima kasih semua guruku.

Tiada hadiah indah buat kalian, hanya sekadar secebis doa agar Allah lapangkan kuburan kalian.

Doaku juga agar andai ada sedikit kebaikan yang daku lakukan, dapatlah ia menjadi sedikit tukaran matawang buat bekalan kalian di negeri abadi.

Terima kasih, Cikgu. Saya sayang Cikgu.

Selamat Hari Guru.

Normujaidah Osman.
Aku jadi aku kerana guru.