Beberapa hari lalu, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan kiriman bersama sebuah kereta mewah berjenama Porsche yang dibuat pemain Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid di laman Instagram-nya.

Muat naik yang dibuat bersama ucapan selamat hari raya itu mula menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat sama ada kereta tersebut milik beliau ataupun individu lain.

Kiriman itu juga mencuri tumpuan ramai apabila pemilik kelab bola sepak JDT yang diwakili Safawi ketika ini turut mengucapkan tahniah buat anak muda dari Terengganu itu di kiriman tersebut.

“Hebat Anak Terengganu. Sentiasa bersyukur dan kerja keras,” kata Tunku Ismail.

Tidak mahu perkara tersebut terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat, Berita Harian pada semalam akhirnya mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu adalah pemilik jentera mewah yang ditayangkan beliau sebelum ini.

“Sememangnya kereta berkenaan milik saya. Alhamdulillah impian memiliki kenderaan terbabit tercapai dalam usia muda.

“Terima kasih diucapkan kepada pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu memberi dorongan dan semangat untuk terus berjaya.

“Kejayaan yang dikecapi selama ini hasil sokongan semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa bersama saya,” katanya.

Walaupun tidak mendedahkan harga sebenar kereta Porsche Cayman miliknya itu, namun laporan tersebut membayangkan jentera milik Safawi itu berkemungkinan berharga sekitar RM103,000 sehingga RM320,000.

Ia dipercayai kerana jentera itu adalah daripada dua generasi terdahulu dan sudah mula memasuki pasaran Malaysia sejak 2009. Bagaimanapun, harganya ketika mula memasuki negara ini mencecah sekitar RM515,000 sehingga RM612,000 .

Pasukan JDT memang terkenal dengan gaya dan kelas mereka yang tersendiri sehinggakan jam berjenama G-Shock yang pernah dipakai pemilik mereka sebelum ini pun turut menjadi tumpuan peminat. Baca perkongsian kami di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

Nilai Dan Populariti G-Shock GA-2100 Ini Meningkat Selepas Disarung Oleh TMJ

TMJ Kurniakan Jam Tangan Rolex Buat Pemain Dan Staf JDT

Sumber