Air adalah keutamaan umat manusia. Tanpa air kita tidak boleh minum, memasak, mencuci pakaian mahupun membasuh bahagian sulit kita. Secara mudahnya, tanpa air kehidupan kita akan susah.

Sejak kebelakangan ini, isu air sering menjadi masalah di Malaysia. Negeri seperti Selangor umumnya, telah merekodkan masalah pencemaran air sehingga memberi kesan kepada penduduk di negeri terbabit.

Namun di Kelantan, isu ini bukan baharu dan ia telah mendapat perhatian seorang saintis di Amerika Syarikat, Raven Baxter yang berkongsi ciapannya mengenai masalah air di Malaysia.

“Kami meraikan air dijumpai di bulan, tetapi sebahagian besar ciapan balas ini berasal dari penduduk di Selangor (Malaysia) yang mengalami gangguan bekalan air kerana pencemaran sumber air mentah. Kita bahkan tidak memenuhi keperluan air asas di BUMI,” katanya pada ciapan pertama mengenai masalah air di Selangor.

Manakala ciapan kedua pula, Raven menulis, “Sedang saya meraikan penemuan air di bulan baru-baru ini oleh NASA, saya juga harus menekankan bahawa terdapat tempat di seluruh dunia dan bahkan di Amerika Syarikat sendiri yang mengalami masalah pencemaran air. @sengfoo88 telah berkongsi apa yang berlaku di Malaysia.”

Di dalam ciapan tersebut, dia turut berkongsi satu laporan yang dikeluarkan oleh laman World Of Buzz di mana seorang lelaki daripada Kelantan telah menunjukkan kualiti air di Kelantan yang dianggap seperti Teh Ais, ciapan lelaki tersebut tular di media sosial dan telah mendapat respon yang tinggi daripada netizen.

Ciapan Raven tersebut telah mendapat perhatian rakyat Malaysia. Sejak mula dimuat naik, ciapan pertama dan kedua telah mendapat perkongsian balas yang tinggi. Kebanyakan mereka yang memberi komen adalah rakyat Malaysia.

“Menteri Air dan Alam Sekitar Malaysia mengatakan masalah air di negeri ini akan diselesaikan dalam jangka waktu 30-40 tahun. Saya tidak tahu mahu menangis atau apa,” tulis Muzakkir Syah sebelum Raven membalas dengan reaksi terkejut.

Obaidiahabdull dalam ciapannya berterima kasih kepada Raven kerana mengetengahkan isu ini. Dia juga mengatakan bahawa secara realitinya, isu ini sudah lama diperdebatkan sehingga dia tidak tahu lagi apa yang dia perlu lakukan untuk mendapat bekalan air bersih.

“Saya dibesarkan di Kelantan selama 29 tahun. Kadang-kadang kami terpaksa mengumpulkan air hujan untuk mandi pada waktu pagi,” tulis Misscasiolrmy berkongsi pengalamannya di bahagian komen.

Raven dalam satu ciapannya menyatakan bahawa, “Saya cuba untuk tidak masuk campur kerana saya tidak tinggal di sana dan tidak memahami politik [di sana] tetapi saya TAHU bahawa setiap orang harus mempunyai air bersih,” katanya dalam satu respon kepada salah seorang netizen.

Untuk rekod, Raven atau lebih dikenali sebagai Raven the Science Maven adalah seorang adalah ahli biologi molekul Amerika dan komunikator sains. Dia turut dikenali selepas tersenarai dalam  “40 under 40 list” majalah Fortune untuk tahun 2020.

Terdahulu, kerajaan Selangor memperuntukkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mana-mana individu yang memberi maklumat berhubung pencemaran air sungai di Selangor. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Ganjaran RM20,000 Menanti Pemberi Maklumat Berhubung Pencemaran Air Sungai Selangor