Saka.

Walaupun saya gemar menonton, membaca serta menulis kisah-kisah mistik dan paranormal, saya sangat skeptikal tentang perubatan bomoh.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun telah dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan yang berpanjangan. Emaknya memberitahu saya bahawa anaknya sebulan 3-4 kali sawan. Kanak-kanak itu pertama kali sawan pada berumur 1 tahun lebih, dan selama ini mereka hanya membawanya untuk berubat dengan bomoh.

Menurut si emak lagi, bomoh mendakwa bahawa kanak-kanak tersebut telah mewarisi saka daripada leluhurnya, lantas menyebabkannya kerap kerasukan.

Saya setuju, tapi kami sebagai doktor perubatan namakan saka ini “epilepsi” dan kerasukan itu pula sebagai “sawan”. Saya juga setuju ianya boleh diwarisi melalui keturunan. Selebihnya, saya tak setuju.

“10 tahun puan bawa anak puan berubat dengan dia (bomoh berkenaan), kenapa agaknya kali ini puan terniat bawa jumpa doktor?” tanyaku curiga. Yalah, 10 tahun tu sangat lama. Pasti ada sebab kukuh kenapa tiba-tiba mereka ingin cuba perubatan moden.

Saya dengar berubat dengan bomoh kini sangat mahal.

Wanita itu hanya berdiam diri. Pandangannya direndahkan, dan mulutnya terkumat-kamit. Berdebar-debar jantung ini melihatnya. Dia jampi aku ke apa? Naya juga kalau begitu.

“Tak apalah, puan. Maafkan saya. Abaikan soalan saya tadi.”

Bersalah pula rasanya saya tanya soalan begitu padanya. Lagi-lagi pula ketika anaknya sedang separa sedar.

Sudah cukup baik akhirnya beliau ingin ikhtiar secara perubatan moden pula. Setelah saya memohon maaf, beliau mengangkat mukanya, melihat saya tepat di mata dan berkata:

“Saya putus harapan. Disebabkan bomoh tu, perkahwinan saya hampir tergadai tapi anak saya tetap macam ni,” katanya dengan tegas. Air matanya bergenang.

Tak lama selepas itu beliau menangis teresak-esak. Saya jadi tak keruan, tak tahu macam mana tenangkan beliau. Suruh pujuk bini sendiri pun saya tak berapa pandai, apatah lagi bini orang lain. Saya minta bantuan jururawat.

Setelah emosi si emak kembali tenang dan tangisannya mulai reda, beliau menceritakan hal sebenar.

“Bila bomoh tu kata anak kami ada mewarisi saka, suami saya tuduh keluarga saya amalkan amalan khurafat dan syirik. Suami saya beri amaran, kalau saya tak selesaikan masalah ni, dia akan ceraikan saya,” adunya dalam sedu dan sedan.

Beliau juga turut memberitahu suaminya tidak percayakan perubatan moden. Sudah beberapa kali beliau cuba untuk bawa anak mereka ke hospital tetapi ditegah oleh si suami. Suaminya kata, doktor adalah pengkhianat agama. Mengenepikan agama demi meraih keuntungan dan nama.

“Kali ini saya nekad, masa anak saya kena sawan, saya bawa anak saya ke KK (Klinik Kesihatan) secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suami. Kemudian KK rujuk ke hospital sebab sawannya berlarutan walaupun lepas bagi ubat punggung.”

Seminggu anak-beranak itu di wad pediatrik. Macam-macam siasatan dibuat, termasuk electroencephalogram(EEG), tapi saya tak ingat apakah diagnosis terakhirnya.

Yang pasti, kanak-kanak itu tidak menerima sebarang vaksin kerana dilarang oleh bapanya, dan sepanjang keberadaan mereka di wad, si bapa tak pernah datang melawat. Selepas menjalani rawatan, kanak-kanak itu akhirnya dibenarkan pulang dengan ubat anti-epileptik.

Bulan lepas saya terserempak dengan anak-beranak ini ketika di lot parkir hospital. Kanak-kanak itu sekarang sudah tingkatan 2, kelihatan sihat dan berisi. Sejak keluar wad 4 tahun lepas, hanya sawan dua kali. Jumlah yang amat kecil berbanding sebelum mendapat rawatan.

“Doktor, saya dah buang saka yang sepatutnya: iaitu suami saya. Taat pada suami, hanya jika perintahnya di landasan agama,” katanya sambil tersenyum sebelum kami bersurai. Saya tak tahu nak beri reaksi bagaimana.

Entahlah. Pernahkah si bomoh terfikir tentang impak daripada kata-katanya terhadap sosioekonomi, emosi serta psikologi pesakit dan warisnya? Saya rasa tidak.

Sesungguhnya ada keluarga musnah, muflis dan depresi kerana perbuatan tak bertanggungjawab mereka. Saya akui ada di kalangan doktor yang tidak amanah, namun begitu juga di kalangan pengamal perubatan alternatif. Cumanya, doktor dipantau, manakala bomoh tidak.

Jadi, bijaklah memilih.

Nota: Berkenaan tentang isu ketaatan isteri kepada suami, sila rujuk kepada ahli agamawan.

Dr Kamarul Ariffin selalu menulis kisah-kisah kesihatan dan kisah-kisah harian yang unik. Ikuti penulisan beliau di Facebook.