Lumrah apabila ke negara asing, keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu itu selalu ada. Baik dari segi tempat tinggal, aktiviti yang ditawarkan, sehinggalah ke bahagian makanan.

Tetapi tahukah anda bahawa ada sesetengah makanan yang mungkin dilihat enak, tetapi ianya sebenarnya kurang bersih. Ini melibatkan negara yang makanannya disediakan mentah-mentah.

Baca Juga:

Kebetulan baru-baru ini tular satu video di mana seorang pengguna media sosial memuat naik satu hidangan salad udang hidup yang ditawarkan di Thailand. Makanan ini dijual pada harga 60 baht atau bersamaan RM7.00 dan dihidangkan secara mentah kepada pelanggan.

Melalui video tersebut, kelihatan penjual tersebut mengambil sekumpulan udang hidup daripada bekas air. Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah adalah bekas air tersebut difahamkan penuh dengan tahi udang dan sebelum dihidangkan, udang tersebut tidak dibersihkan.

Kebersihan hidangan tersebut terus dipertikaikan oleh netizen. Ada yang beranggapan bahawa udang itu bersih, manakala sebahagian pula menganggap bahawa udang tersebut kotor kerana diambil terus daripada bekas air yang dipenuhi dengan tahi tersebut.

Kisah pelancong Singapura diserang sakit perut

Menurut laporan Asia One, seorang wanita Singapura, dengan nama User818391963 di TikTok, memuat naik satu video yang mendokumentasikan perjalanan beliau ke Thailand pada sekitar tahun 2021.

Semasa lawatan enam hari ke Phuket, beliau telah berkunjung ke Pasar Malam Chillva dan dihidangkan dengan makanan ‘udang menari’ – hidangan jalanan yang terdiri daripada udang hidup segar yang diperap dengan sos dan beberapa sayuran.

Di dalam video tersebut, wanita itu turut menyertakan swafoto yang diambilnya ketika dia sedang menikmati udang mentah tersebut. Bagaimanapun, nasib malang menimpa beliau dan temannya, makanan istimewa Thai itu sebenarnya tidak sesuai untuk tekak mereka.

“Malam selepas itu, kami mula muntah selama enam jam [dan mengalami] cirit-birit tanpa henti,” tulis User818391963 dalam videonya. “Saya rasa saya mempunyai perut yang lemah, beberapa makanan memang hanya untuk orang Thai makan sahaja,” katanya sebelum menambah bahawa beliau hampir dimasukkan ke hospital disebabkan makanan tersebut.

Seorang lagi pengguna TikTok, yang menggunakan nama Blooppbloop0, turut menceritakan pengalaman hitam beliau di bahagian komen. Beliau yang menikmati tiram mentah turut diserang sakit perut dan muntah yang teruk selama setengah hari selepas menikmati hidangan tersebut.

Tambah beliau lagi, akibat daripada kejadian tersebut. Beliau telah disuntik dengan empat jenis ubat yang berbeza dan menelan belanja sehingga 9,000 baht (RM1,117.00)

Menariknya, beberapa netizen mengulas video Blooppbloop0 mengatakan mereka juga mengalami keracunan makanan selepas mengambil makanan laut mentah di luar negara.