Pernahkah anda terfikir jika terdapat sebuah pelayar web yang sekaligus menghalang anda daripada terjebak dengan perkara yang melanggar syarak? Pembangun Salam Browser nampaknya peka dengan impian pengguna muslim apabila berjaya membangunkan sebuah pelayar web yang membolehkan anda melayari web sambil menghormati tuntutan agama.

The Blue Mosque -  (Sultan Ahmed Mosque) at sunset

Dengan misi yang dipetik daripada Saheeh, Sunnah ibn-Majah, Vol. 3, Book 12, Hadith iaitu “Bersederhana dalam mencari perkara-perkara duniawi, kerana semua orang akan dihisab berdasarkan sebab mereka diciptakan.”, pelayar web Salam Browser dilengkapi dengan beberapa ciri menarik buat pengguna khususnya Muslim.

Salam Browser yang dibina berasaskan Chromium berjaya untuk menghadkan hasil carian video dan visual berunsur maksiat serta keganasan. Salam browser mengesahkan hampir 1.4 juta laman web telah dihalang pada pelayar web ini selain pengguna turut boleh menghantar maklumat untuk menyenarai hitamkan laman web yang bermudarat melalui fungsi terbina pada pelayar web berkenaan.

Screen Shot 2016-05-19 at 6.56.03 PM

Dengan fungsi yang dinamakan sebagai Berbakti kepada Ummah, pengguna seolah-olah berada di dalam satu komuniti bagi melindung pengguna-pengguna lain daripada terjebak dengan laman web yang tidak berfaedah.

Salam Browser juga dilengkapi dengan integrasi VPN percuma untuk melindungi pemantauan data anda, selain membolehkan anda mengakses kandungan yang dihalang mengikut lokasi. Fungsi Data Saver turut disediakan untuk pengguna melayari web dengan pantas tanpa menggunakan data yang tinggi.

Screen Shot 2016-05-19 at 6.56.51 PM

Selain perlindungan daripada spam iklan, Salam Browser juga dilengkapi dengan hadis pada setiap halaman tab yang baru dibuka. Terbaik bukan?

Buat anda yang berminat dengan fungsi yang ditawarkan dan mahu mencuba Salam Browser, anda boleh muat turun Salam Browser di sini. Setakat ini Salam Browser cuma disediakan buat pengguna Windows dan dijangka akan berada pada platform lain pada masa akan datang.

Sumber