Semalam, waktu menanti giliran suami berjumpa doktor, kami duduk di kerusi di kawasan menunggu. Pesakit sudah tidak ramai kerana hari sudah menghampiri waktu tengah hari.

Tiba-tiba seorang uncle Cina di belakang kami menguap besar, siap dengan pakej bunyi “huwarrrghhhh” memecah kesunyian. Saya tergelak-gelak. Aunty berbangsa India di sebelah juga ketawa bersungguh hingga membongkok badannya. Hihi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lalu kami berpandangan dan tergelak bersama. Usianya dalam lingkungan akhir 50-an. Tapi wajahnya nampak segar dan ceria sekali. Dalam baki tawanya, aunty itu berkata kepada saya:

You tau aa, yang tinggal ini semua sudah tunggu dari pagi. Macam mana tak mengantuk? Saya tadi ambil nombor depan pukul 9 pagi. Sekarang sudah pukul 11.30.” Nadanya baik-baik sahaja. Tidak marah.

“Lamanya aunty. Sudah 3 jam lebih! Aunty sudah makan ke belum?” balas saya.

“Tapikan, saya tak apa tunggu lama. Sebab saya suka check up di sini (Hospital Selayang). Di sini aa, doktor cakap bagus. Nurse pun baik-baik. Selalu saya check sini aa, saya memang puas hati.

Sebab itu saya tak kisah tunggu lama. Saya sudah makan sarapan tadi. Lepas ini saya makan tengahari. Tunggu perut lapar nanti baru saya makan,” katanya lagi dengan senyum yang tidak lekang. Saya senang hati mendengarnya.

“Ya aunty. Saya pun setuju. Doktor dan nurse sini semua OK, sangat membantu. Tapi saya tak tunggu lama. Suami saya dapat laluan ekspres. Hehe…,” kata saya separuh bergurau.

Aunty itu mengangguk.

“Ya…mesti dapat laluan special sebab dia pakai kerusi roda. Tak boleh tunggu lama. Memang sepatutnya macam tu lah.”

Kemudian saya masuk dahulu setelah nombor dipanggil. Selesai urusan dengan doktor, ketika menunggu jururawat menyiapkan kad temujanji, tiba-tiba aunty itu datang duduk di sebelah saya. Dia juga sudah berjumpa doktor.

“Macamana aunty? Semua ok tak result darah aunty?”

Wajahnya ceria tersenyum lagi.

“Hey, you tau aa…doktor sudah discaj saya dari check up di sini. Mereka suruh saya pergi klinik yang dekat rumah saya saja. Tadi result saya semua bagus!” Jelasnya dan ketawa.

“Ya? Bagusnya. Dulu aunty ada masalah apa?” soal saya.

“Dulu saya kena masuk wad sini sebab doktor kata badan saya terlebih kalsium. Dalam buah pinggang pun ada banyak kalsium. Masa itu saya sudah tak boleh makan. Nak bangun pun badan sakit sangat. Teruklah sakit..”

“Selepas saya keluar wad. Saya mula fikir. Saya mahu sihat. Saya tak mahu sakit lagi. Saya pun sudah tua. Jadi saya fikir kalau saya mahu sihat, saya mesti makan yang sihat la.. kan?

Sekarang saya memang banyak makan sayur. Banyak makan buah. Malam saya sudah tak makan sekarang. Mula-mula memang lapar la.. tapi lama-lama OK je. Saya juga sudah berhenti makan ayam. Ikan saya makan kadang-kadang. Saya banyak minum air suam.”

Wow. Saya kagum mendengarnya. Kuat semangat dia untuk sihat.

“Mesti doktor terkejut kan tengok result darah aunty tadi,” kata saya.

“Yaa…doktor tanya apa saya buat? Saya cakap saya hanya jaga diet makan saya.”

“Kita hidup ni kita yang pilih kan. Betul tak?” soalnya.

Saya mengangguk. Senyum.

“Kalau kita mahu sihat, kita makanlah yang sihat-sihat. Senang saja.” Sambungnya lagi.

Insaf sekejap rasa. Pagi semalam waktu menunggu di HKL saya sudah makan nasi goreng dan sandwich. Tiba di Selayang, ngap pula karipap 2 ketul. Huhu.

Betullah kata aunty, hidup ini kitalah yang membuat pilihan. Mahu yang baik, pilihlah yang baik.

Terima kasih aunty. Perbualan yang sangat positif. Saya suka semangat aunty. Malah ada konsep yang patut kita yang Islam ini amalkan.

1. Makan apabila lapar. Bukan dah kenyang pun makan lagi.
2. Kesihatan yang baik, puncanya dari pemakanan yang baik.
3. Sentiasa fikir yang positif. Fikir yang positif mendorong akal yang sihat. Muka pun ceria saja.
4. Hidup kita adalah pilihan kita. Pilihlah yang baik-baik.
5. Sembanglah yang baik-baik dengan orang lain. Walau sedikit, berikan nilai pada orang lain.