Samsung sedang membuat persediaan secara besar-besaran di peringkat global untuk memanggil semula (recall) smartphone terbarunya – Galaxy Note 7, menurut Agensi Berita Yonhap dari Korea Selatan.

Menurut laporan The Korea Herald, Samsung sedang mempertimbangkan keputusan untuk ‘panggilan semula’.

Langkah drastik ini mungkin diambil setelah terdapat laporan pengguna menunjukkan bateri Note 7 meletup ketika sedang dicas.

Semalam, Samsung mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran Note 7 untuk menyiasat dakwaan di atas.

Yonhap mendakwa Samsung sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi yang telah melancarkan Note 7 – iaitu Verizon Wireless – tentang bagaimana panggilan semula akan dilakukan.

Syarikat itu juga dilaporkan telah mengarah sebuah syarikat telekomunikasi UK untuk menghentikan pelancaran Note 7 yang dijadualkan berlaku di rantau itu pada minggu hadapan.

Engadget
Samsung Galaxy Note 7 (Engadget)

“Keputusan penyiasatan dan langkah-langkah tindakan akan diumumkan kepada orang ramai pada hujung minggu ini atau awal minggu hadapan,” menurut seorang pegawai Samsung yang tidak dinamakan.

Menurut beliau lagi, isu bateri ini memberi kesan kepada kurang daripada 0.1 peratus peranti Note 7, tetapi syarikat itu tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Recall secara besar-besaran ini akan memberi impak besar kepada Samsung kerana setelah Galaxy S7 dan S7 Edge, Note 7 menjadi tunjang utama syarikat pada separuh kedua tahun ini, setelah menghadapi kesukaran kewangan pada awal tahun 2016.

Sekiranya recall ini benar-benar berlaku, masa hadapan Samsung tidak begitu indah seperti yang mereka harapkan.