Semasa belajar di Cardiff dulu rumah saya sebaris dengan masjid komuniti Bangladesh. Mulanya rasa macam saya ni lagi bagus sebab saya ni dari Malaysia.

Di situ ada seorang pakcik yang selalu solat di saf depan. Tapi lepas imam bagi salam terus dia bangun dan pergi bersandar di dinding belakang. Kalau di Malaysia ini dikira tak berapa nak cantik. Sekurang-kurangnya saya duduk tunggu imam habis baca doa. Terasa macam saya ni lagi bagus.

Ada juga beberapa pakcik yang solat sunat lepas isya, tapi solat sambil duduk. Oleh sebab saya solat berdiri, terasa macam saya ni lagi bagus.

Ada seorang pakcik ni pula bila keluar masjid, jarang sekali nak tolong tahankan pintu (hold the door) untuk orang belakang. Sekurang-kurangnya saya ni bertolak ansur dan selalu tahan pintu untuk orang di belakang saya. Rasa macam saya lagi bagus.

Di kelas pengajian agama yang kami pelajar Malaysia selalu hadir, ada seorang brother Chinese dari Hong Kong yang baru join. Sebab saya ni lagi lama join kuliah, rasa macam lagi alim dari dia.

Walhal,

Brother dari Hong Kong tu dah selesai pengajian Islam di Timur Tengah, lebih faqih, dan merendah diri. Semasa kuliah, tok guru kami selalu bertanya pendapat beliau tentang sesuatu hukum.

Pakcik yang tak pernah tahan pintu tu rupa-rupanya cacat penglihatan. Saya cuma perasan selepas beberapa bulan.

Pakcik-pakcik yang solat duduk tu, sebenarnya mereka solat sunat witir yang terakhir. Sebelum witir mereka solat sunat selepas isya 4 rakaat (mazhab Hanafi), dan sebelum isya 4 rakaat, berdiri. Konsisten solat sunat 11 rakaat setiap malam, walaupun sudah berusia. Kalau saya pun mungkin terduduk.

Pakcik yang tersandar di belakang tu sebenarnya memerlukan panel pemanas di dinding belakang sebab masjid tu memang sejuk di sepanjang musim sejuk. Dan dia berada di dalam masjid agak lama. Konsisten setiap hari.

Dan masjid Bangladesh itu sebenarnya dulu adalah bangunan gereja yang telah dibeli oleh komuniti Bangladesh. Hasil sumbangan ahli komuniti yang rata-ratanya membuka kedai sendiri atau memandu teksi.

Kesemua mereka ini sebenarnya jauh lebih baik dari saya.

Baca lagi: Pesakit Sindir Banduan, Respon Pegawai Penjara Buat Doktor Ini Rasa Nak Tepuk Tangan