Setelah melihat persembahan ujibakat gadis kecil berusia 12 tahun bernama Grace VanderWaal yang menyanyikan lagu ciptaannya sendiri sambil bermain ukulele di platform ujibakat American Got Talent musim ke 11 baru-baru ini, juri yang terkenal dengan keceluparannya iaitu Simon Cowell lantas memuji gadis kecil itu dan mengatakan bahawa gadis kecil itu bakal Taylor Swift seterusnya.

https://www.youtube.com/watch?v=eNxO9MpQ2vA

Ya. Taylor Swift. Seorang superstar yang baru berusia 26 tahun dan telah menghasilkan lima studio album dengan jualan keseluruhan albumnya diangka 40 juta.

Adakah Ramalan Simon Agak Keterlaluan?

Berdasarkan sejarah American Got Talent, dimenangi oleh persembahan nyanyian bukanlah asing. Malah pada tahun 2006 iaitu pada musim pertama, AGT dimenangi oleh seorang gadis kecil berusia 11 tahun bernama Bianca Ryan.

Dengan vokal luarbiasa, lantunan suaranya mengalunkan lagu berhantu Jennifer Holiday berjudul And I Am Telling You I’m Not Going menjadi persembahan yang paling diingati dan mendapat pujian meluas.

Namun lihat pula apa yang berlaku pada Bianca yang kini setelah berusia 21 tahun. Reputasinya selaku juara AGT dan memiliki vokal hebat bukanlah jaminan untuk meraih sukses dan agak jauh jika ingin diperbandingkan dengan kesuksesan Taylor Swift.

Apa yang kurang pada Bianca yang mungkin ada pada Grace sehingga dilihat Simon sebagai pengganti Taylor Swift?

Untuk pengetahuan semua, pada tahun 2006 selain dari rancangan American Got Talent, di Malaysia juga ada rancangan realiti nyanyian One In A Million (OIAM) musim pertama. Ia diadili oleh beberapa orang juri profesional yang mempunyai kredibiliti masing-masing.

Pada sesi ujibakat OIAM, hadirnya seorang remaja wanita bernama Alis yang mendendangkan lagu Bohemian Rhapsody dari Queen. Dia gagal di peringkat Top 40 kerana suaranya ‘biasa-biasa’ saja pada waktu itu. Namun, Paul Moss yang juga dikenali sebagai juri yang agak pedas kritikannya menyatakan remaja ini mempunyai sesuatu yang istimewa.

https://www.youtube.com/watch?v=cLS7j5cC4Q4

Remaja itu kini merupakan seorang artis bertaraf antarabangsa. Dia ialah Yuna yang mempunyai aura pesona dan kualiti tersendiri. Kini Yuna berada di Amerika Syarikat di bawah label antarabangsa, Verve Records dan album studio terbarunya Chapters sedang memanjat carta US Billboard’s.

Tambah menarik, Yuna masih lagi Yuna yang tiada vokal selantang Christina Aguilera apatah lagi punya whistle voice setinggi Mariah Carey. Tetapi Yuna punya sesuatu yang ada pada Taylor Swift dan juga mungkin ada pada Grace VanderWaal.

Berbakat Mencipta Lagu Di Usia Muda.

Taylor Swift sendiri mula mencipta lagu pertamanya ketika berusia 12 tahun setelah mengetahui tiga kord pada gitar. Begitu juga Yuna yang mula menulis lagu pada usia 14 tahun walaupun hanya mula bermain gitar pada usia 19 tahun. Begitu juga Grace yang sudah mempersembahkan lagunya sendiri untuk ujibakat America’s Got Talent.

Kini, Taylor Swift selayaknya berbangga apabila album Fearless memenangi anugerah album terbaik untuk Grammy Awards. Mana kan tidak, kesemua lagu di dalam album itu adalah dari ilhamnya.

Yuna juga meniti kemanisan apabila album Chapters berjaya menyelinap di tangga ke lapan carta Billboard’s Top 10 R&B album. Dan Yuna terlibat sebagai tunjang ilham untuk semua lagu di dalam album itu.

Mungkin secara perbandingannya, similariti bakat itu yang dihidu oleh Simon pada gadis kecil bernama Grace. Mungkin sahaja Grace akan gagal di pentas AGT tetapi berbakat menghasilkan lagu.

Mencipta lagu di usia semuda 12 tahun adalah sesuatu yang bukan semua mampu lakukan. Malah jika ia digilap dengan identiti serta personaliti sendiri kemungkinan besar Taylor Swift bakal ada pengganti sepuluh tahun lagi.

Yuna dan Swift mencipta lagu sendiri dan menyanyinya dari hati buat ia kedengaran begitu indah. Buat Grace pula, jika bukan pengganti Taylor Swift sekalipun, banyak penyanyi wanita di sana yang telah berjaya dengan karya sendiri seperti Norah Jones dan Adele. Cuma diharapkan kariernya tidak akan berakhir seperti Amy Winehouse.