Kejadian ini berlaku semasa saya sedang bertugas di hospital lama, Alor Setar. Hospital lama itu, masih lagi menempatkan pesakit-pesakit perubatan yang stabil, pesakit paru-paru, dan juga mereka yang bakal menjalani pembedahan kecil.

Hari itu, saya berseorangan di wad I dan wad H, bertugas syif malam, bermakdud saya masuk kerja jam 6 pagi dan balik pada jam 11 malam dan ke atas.

Kerja di wad tidaklah terlalu banyak. Pesakit pun semua stabil, tiada isu. Menyambung antibiotik, menjaga pesakit strok, itu sahaja. Dan jururawat di sana semuanya pakar-pakar belaka bab penjagaan pesakit. Rakan saya, Dr Wafaa Muhammad tiba. Dia on-call malam itu, dan jam 11.45 malam saya berangkat pulang.

Saya memandu kereta BMW Z4 saya pada hari itu, slow dan steady sahaja. Tidak melebihi 90 km/j, maklumlah, di lebuhraya darul aman banyak perangkap laju. Saya dah terkena hampir 4 kali. Yalah, had lajunya 90, saya memandu seperti pelesit, 180 kelajuan yang direkodkan. Tak tahu nak bangga atau menangis.

Terjumpa kemalangan

Sewaktu saya menghampiri simpang ke jalan Hutan Kampung, saya lihat di luar ramai orang berkumpul. 2 buah motorsikal remuk di tepi jalan. Tedapat sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan, dan belakangnya remuk. Bonetnya terbuka menampakkan isi-isi di dalam termasuklah tayar gantinya. 3 orang pemuda terduduk di tepi jalan sambil dikerumuni ramai orang.

Tuan kereta tesebut, seorang lelaki berumur lewat 50-an dan memakai kopiah, berjambang putih dan memakai baju pagoda dan kain pelikat. Saya membuka lampu kecemasan dan meletakkan kenderaan saya di tepi jalan. Orang yang baru sampai ada yang ingat motor tersebut berlanggar dengan kereta saya. Itulah spekulasi masyarakat di Malaysia, mudah menuduh sebelum berfikir.

Di dalam kereta saya, memang tersimpan sedozen air mineral dan kacang, yang selalu saya beri kepada pekerja Bangla sewaktu mereka bekerja di bawah kepanasan, dan juga beg medikal.

Saya panggilnya beg medikal, kerana di dalamnya tedapat pelbagai peralatan seperti kain kasa, kapas, kit jahitan, forsep, pengapit arteri, gunting, pembalut, branula, dan normal saline yang kecil.

Di tengkuk saya pula tergantung stetoskop electronik yang saya beli (saya gila gajet), serta portable pulse oximetry. Semuanya saya beli atas dasar ingin menolong pesakit.

Mula membantu

Terus saya turun dan menghampiri pesakit pertama. Rahman namanya.

Terduduk dan bila saya suruh baring dia tak mahu, mungkin kesakitan. ABC, itulah yang perlu saya nilai, A – airway (saluran pernafasan), B – bleeding (pendarahan) dan C – circulation (peredaran).

Juga melihat ada tidak gejala-gejala 6H dan 6T iaitu 6 penyebab kematian yang boleh ‘diundur’. Hipoksia, hyperkalaemia, hypoglycaemia, hydrogen ion (acidosis), hypovolaemia dan hypothermia. Serta Tension pnemumothorax, Tamponade, Trauma, Thrombosis to heart, thrombosis to lungs dan toxin.

Rahman nampak okay. sPO2nya 98%, luka lelasan di pipi kirinya dan tiada kepatahan saya lihat, equal air entry, anak matanya reaktif kedua-dua belah dan sebagainya. Saya suruh dia berehat, kerana dia nampak okay, sementara menunggu ambulans.

Pesakit kedua, Said, putus jari telunjuk kanannya. Segera saya letak kain kasa untuk menghentikan darah. Jarinya? Orang ramai telahpun mengutip dan meletakkan di dalam ais. Tangan kirinya patah, boleh saya lihat kerana kedudukan tangannya yang agak abnormal.

Pesakit ketiga, Musa boleh berdiri lagi, saya suruh dia duduk sementara saya memeriksanya. Semuanya normal kecuali luka lelasan di tangan dan kaki kanannya, mungkin tejatuh dan teseret di belah kanan badannya.

Saya malas mahu memeriksanya, namun saya buat jugalah, tanda-tanda penting saya periksa kecuali suhu dan tekanan darah tidak saya ambil kerana saya tiada monitor tekanan darah.

Pakcik tuan kereta cuba memberi air kepada Said, namun saya terpaksa menghalangnya, kerana kita seharusnya tidak boleh memberi pesakit apa-apa makanan atau minuman selagi dia belum betul-betul stabil.

Saya juga kepenatan, jam menunjukkan pukul 12.45 malam. Ambulans telah pun mereka hubungi.

Saya memberitahu pakcik tu, esok saya perlu bekerja jam 6 pagi, mereka nampak okay, dan tunggu ambulans datang untuk memberi rawatan seterusnya. Saya masuk ke dalam kereta dan terus memandu pulang.

Tiba di rumah, tak sempat saya tanggalkan stetoskop di leher, terus terbongkang saya tidur kerana kepenatan.

Keesokan harinya

Keesokannya saya terserempak dengan kawan saya di kafeteria. Saya baru sahaja selesai makan sekeping roti Gardenia yang berintikan coklat.

Saya segera tanya dia, “Weh Hani, malam tadi ang kerja zon merah, kan?”

A’ah, sibuk gila wei, ni baru okay sikit.”

Ang ada terima pesakit 3 orang lelaki tak, muda-muda kemalangan di Lebuhraya Darul Aman?”

“Ada, tapi teruk weh. Seorang tu kena masuk wad Ortho, patah tangan, jari putus. Seorang lagi pendarahan subarachnoid (bahagian di antara otak dan tengkorak kepala), tolak masuk dewan bedah Neurosurgery. Seorang lagi DOA (Dead on Arrival – mati ketika dalam perjalanan ke hospital).”

“Hah!!! Siapa nama yang DOA tu?”

“Musa tak silap aku…” jawab Hani..

Saya jadi pucat, serta-merta saya berlari ke sinki memuntahkan semua isi perut saya, jantung saya berdebar-debar.

Ya Allah… Ya Alah, apa yang aku dah buat ni? Muka saya mula cemik. Hani datang ke arah saya, dia ingin menenangkan saya, tetapi dia sendiri pun tak tahu mengapa saya jadi begitu…

Saya betul-betul terkesan dengan kejadian tersebut. Kerana kejahilan, kemalasan saya, pesakit tersebut mati.

Yalah, sebagai seorang Muslim, kita kena menerima hidup dan mati di tangan Tuhan. Saya terbayang-bayang kejadian malam itu, sehingga ke hari ini ketika saya menulis artikel ini, masih meremang bulu roma saya memikirkannya.

“You may suffer, but you cannot make your patient suffer”, itulah kata-kata seorang pakar bedah sewaktu saya di sekolah perubatan.

Pengalaman tersebut mengajar saya supaya perincikan setiap benda. Walaupun nampak normal, cuba perincikan juga, cari ada apa-apa masalah dengan pesakit itu atau tidak.

Or you’ll end up like me… I’m a screw-up.