Seorang lelaki Yaman yang telah menunaikan umrah untuk Ratu Elizabeth II agar  pemimpin Empayar British itu dipermudahkan dalam perjalanannya ke syurga telah ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Peserta umrah itu telah memuat naik video ke media sosial. Dalam video itu, dia dilihat menghampiri Masjidil Haram sambil membawa sepanduk bertulis “[Saya] pergi umrah berdoa untuk Ratu Elizabeth II. Semoga arwah mendapat syurga yang terindah di sisi Allah SWT” dalam bahasa Inggeris dan Arab.

Baca Juga:

Dia ditahan polis pada Isnin tengah hari, setelah video tersebut tular di Arab Saudi. Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, “Petugas keamanan Masjidil Haram menangkap seorang warga Yaman melalui video, yang terlihat membawa sepanduk di dalam masjid. Dia ditangkap kerana melanggar peraturan ibadah umrah. Dia telah diproses secara sah dan dirujuk kepada pendakwa raya,” sambungnya.

Umrah adalah ibadah sunnah bagi umat Islam. Ia ibadah yang tidak diwajibkan, tetapi mendapat pahala kerana mengerjakannya. Semasa umrah, jemaah biasanya akan mendoakan kepada sanak saudara yang telah meninggal dunia.

Jemaah umrah dan haji sering melaungkan slogan, atau bergambar sambil membawa sepanduk yang mengandungi doa ketika beribadat di Mekah. Bagaimanapun, keselamatan di tempat suci itu diperketatkan berikutan laporan bahawa wartawan Israel menyusup masuk ke Mekah untuk membuat liputan aktiviti haji pada Julai.

Ratu Elizabeth II meninggal dunia di Istana Balmoral, Scotland, pada Khamis minggu lalu. Pemergiannya meninggalkan kesedihan, dan menuai kontroversi di seluruh dunia.