Ada satu hari tu saya di dalam kereta sedang membalas beberapa mesej sebelum bergerak keluar untuk ke kedai.

Dari tempat letak kereta saya itu saya melihat kelibat makcik tukang sapu sedang membersihkan sisa sampah yang berterabur di keliling tong sampah yang besar gedabak di rumah sampah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketika itu juga saya melihat seorang lelaki macho yang agak sado menjinjing beg plastik yang saya yakin berisi sampah sedang berjalan ke arah rumah sampah.

Kira-kira dalam 10 langkah sahaja lagi sebelum sampai ke tong sampah, lelaki tadi terus membaling bungkusan plastik tadi ke arah tong sampah dengan gaya ‘slam dunk‘ namun tidak masuk ke dalam tong tetapi jatuh bersepai di tepi tong sampah.

Makcik tukang sapu terpaku tidak terkata dan lelaki macho tadi dengan senyuman paling hensem berlalu pergi ke keretanya di mana isteri dan anaknya sedang menunggu.

Saya yang tengok dengan ternganga tidak mampu berkata apa-apa. Baru buka pintu kereta dan berdiri untuk menegur kononnya namun lelaki tersebut sudahpun masuk ke dalam kereta dan bergerak meninggalkan saya dan makcik tukang sapu termangu seketika sambil melihat sesama sendiri.

Makcik tadi meneruskan kerjanya dan mengutip sampah yang bertaburan di depannya. Saya pula memandu keluar dengan perasaan berdukacita melihat perangai orang sebegitu.

Bagi menghilangkan kedukaan, saya pergi beli goreng pisang dan belanja makcik tadi. Dia cuma senyum keletihan.

sampah

Itu adalah salah satu contoh sikap orang-orang di kawasan apartment saya ini. Ada seorang awek yang kerjanya setiap kali selesai parking kereta maka akan membuang semua sampah dari kereta ditempat parking tersebut.

Ada kakak, yang sering mengajar anaknya supaya sampah dilonggokkan sahaja di tepi tong dan bukannya dimasukkan ke dalam tong. Ada juga yang sampahnya diletakkan sahaja di depan pintu rumah berhari-hari.

Ada ibu bapa yang ketika meneman anak bermain di taman permainan tak ambil kisah bila anak buang pembungkus gula-gula, kayu dan cawan aiskrim, plastik jajan dan sebagainya begitu sahaja.

Itu belum cerita sampah di koridor, di tepi tangga, bawah tangga dan di dalam lif.

Inilah sampah masyarakat.

Sedih sebenarnya hidup di kalangan sampah masyarakat ni. Bagi mereka, kebersihan tidak membawa ke syurga. Yuran penyelenggaraan telah dibayar maka tugas pekerja membersihkannya.

Saya hanya mampu menegur yang muda, namun apabila yang tua melakukannya saya tidak mampu berkata-apa. Orang tua jiwanya sensitif, orang tua egonya tinggi, orang tua juga kalau baran boleh bawa parang ajak bertumbuk dan bertetak.

Dari mencari gaduh, moleklah saya doakan sahaja, walaupun sakit hati dan sakit mata melihatnya.

Di Jepun, anak-anak kecil melambai-lambai hormat kepada pemungut sampah, kita di sini mak bapak menunjuk contoh dengan membaling sisa ke kaki pemungut sampah.

Macamana nak ubah sikap orang yang macam ni saya pun tak tahu. Dah tulis buku, tetapi diorang ni jenis yang tak membaca pulak. Tulis kat Facebook pun cerita ni tak sampai kat diorang sebab tak viral. Nak viral? Cerita macam ni mana ada orang nak share pun.

Hmmm…

Entahlah… I don’t know dah.

Baca lagi: Mentaliti ‘Jamban’ Rakyat Malaysia Yang Acah-Acah Tuan Besar Di Meja Makan