Adakah anda masih ingat tentang seorang lelaki yang memandu sejauh 180 kilometer untuk menghantar ubat kepada orang yang tidak dikenalinya? Kami pernah paparkan kisah perjalanannya di Vocket. Kali ini, kami telah menemubual beliau dengan lebih lanjut bagi mengenali diri dan pekerjaannya. Semoga kisah ini menjadi iktibar dan bermanfaat buat Tuan Puan.

Nama penuh pemuda berjiwa besar ini ialah Ahmad Faizal Murtadza, 25, sudah berkahwin dan mempunyai seorang puteri bernama Aisyah. Pekerjaan beliau adalah menyediakan perkhidmatan penghantar barang atau runner.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apakah yang Tuan fikir sebelum memulakan perkhidmatan ini?

Tuan Ahmad Faizal (TAF): Saya terfikir melakukan pekerjaan ini adalah untuk memudahkan urusan semua org tanpa mengira agama bangsa dan negara. Kalau kita tolong orang inshaAllah Allah tolong kita juga dalam masa cari rezeki untuk anak isteri. Saya tak pandai dalam bidang akademik, jadi inilah kerja yang mampu dibuat untuk sara keluarga. Biar pun tak mewah tapi Alhamdulillah rezeki itu ada sahaja.

f

Bilakah Tuan memulakan perkhidmatan ini? Apakah kawasan yang dilitupi untuk perkhidmatan ini?

TAF: Saya mula perkhidmatan ini dari awal tahun ini. Kemudian ia jadi viral satu Malaysia, Alhamdulillah. Terima kasih kepada mereka yang viral kan terutama pihak The Vocket sendiri dan pihak media lain serta masyarakat. Sebenarnya, kawasan perkhidmatan saya meliputi Selangor/Kuala Lumpur tapi ada juga pelanggan yang minta pergi ke luar kawasan. Kalau ada masa dan urgent yang perlu saya tolong hantarkan, jadi saya pergi la selagi mana saya mampu.

Bagaimanakah sambutan orang ramai dengan perkhidmatan Tuan ini?

TAF: Sambutan Alhamdulillah memang menggalakkan sejak orang mula kenal perkhidmatan ini. Kita pula tak cukup tangan nak buat. Haha. Tapi ada je budak runner lain buat servis macam ni. Jadi, saya beri nombor telefon runner kepada client. Sikit sebanyak boleh la bantu mereka cari rezeki dan memudahkan urusan client juga.

Berapakah caj bagi perkhidmatan ini?

TAF: Caj perkhidmatan saya adalah seikhlas hati nak bagi pun. Tak kisah! Janji anda ikhlas. Itulah rate saya dari mula saya buat servis ini sampai sekarang. Alhamdulillah saya cukup makan anak isteri. Saya tak nak letakkan rate sebab takut nanti client kata mahal, duit itu jadi tak berkat pula. Biar customer rela hati nak bagi berapa pun. Kalau sikit saya dapat alhamdulillah. Kalau banyak saya dapat pun Alhamdulillah juga. Moga yang bagi lebih, rezekinya bertambah dan yang bagi sikit itu mungkin perlu guna duit untuk tujuan lain. Jadi, saya tak kisah.

Apakah cara penghantaran yang disediakan?

TAF: Cara hantar barang, pelanggan boleh WhatsApp atau telefon atau mesej saya dan beritahu maklumat. Kemudian saya akan pergi ambil barang dan hantar ke destinasi. Upah boleh beri di tangan atau bank in. Ia mengikut keselesaan pelanggan.

Apakah barang yang boleh dihantar?

TAF: Apa-apa barang pun boleh dihantar. Tapi sekarang kalau boleh tak digalakkan hantar makanan sebab saya banyak destinasi nak pergi. Takut makanan itu sejuk, rosak dan sebagainya. Risau tak dapat tepati masa pula. Client dah lapar, kita lambat. Takut juga tu. Haha.

Baca: Seorang Wanita Membuktikan Kita Boleh Mula Bisnes Tanpa Modal

Berapa lamakah tempoh penghantaran yang diambil?

TAF: Tempoh hantar barang berdasarkan jarak tempat juga. Kalau dekat, cepat sampai. Kalau jauh, faham-faham lah ambil masa sedikit. Harap client faham lah ya. Saya bukan naik superbike pun. Hehe.

Apakah harapan Tuan untuk perkhidmatan sebegini?

TAF: Semoga saya dapat teruskan perkhidmatan ini dan menolong orang terutama mereka yang sakit dan kurang upaya. Ini sahajalah cara saya nak berbakti untuk masyarakat dan dalam masa yang sama mencari rezeki. Dan harapan saya kepada mereka terutama remaja yang merempit itu, ambillah peluang ini untuk kita bina satu budaya tolong-menolong sambil mencari rezeki. Semua boleh buat, tanpa SPM pun boleh. Yang paling penting kena ada usaha dan rajin untuk berjaya.

Apakah nasihat Tuan untuk mereka yang mahu menjalankan perkhidmatan runner ini?

Kepada mereka yang mahu buat perkhidmatan runner ini, kalau boleh jaga nama baik anda. Tolong jujur dan amanah. Tak pandai tak apa, jangan malu bertanya. Kita buat bersungguh-sungguh. InshaAllah kita berjaya. Bukan senang kita nak dapat kepercayaan pelanggan tanpa ada syarikat. Teruskan usaha.

“Majulah Runner Untuk Negara”

Baca: 9 Bisnes Yang Masyuk Ketika Musim Ekonomi Gawat

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram