Kehilangan anak sendiri menjadikan Sayuti Wan Chik dan Lily Moha tidak mahu orang lain merasa derita yang mereka pernah rasai.

Kalau kau tengok akaun FB dia ni memang nampak macam raja selfie, haha. Jumpa semua orang dia selfie, tangan mesti buat ‘peace’ sambil post status guna tagline ‘Autokacak’.

Cerita belakang dia, mak aih… dalam tangan dia sentiasa ada kes bayi yang perlukan bantuan kewangan untuk jalani rawatan akibat komplikasi kesihatan.

Secara ringkas, anak ketiga pasangan ini, Muhammad Uwais telah kembali kepada Sang Pencipta tidak lama selepas dilahirkan akibat komplikasi jantung.

Kisah mereka menjadi viral pada waktu itu akibat post ‘Warkah Buat Muhammad Uwais’ yang menyentuh hati orang ramai.

“Setiap kali bawa baby pi hospital, sampai sahaja di emergency – perasaan aku sama macam masa bawa Uwais dahulu,” kata Sayuti waktu aku sempat jumpa beliau di Hotel Putra minggu lalu, curi masa sambil dia jalankan projek baby Safwan ke IJN. Dari Kedah ke Kuala Lumpur.

Kini bergerak menggunakan platform ‘Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais’, Sayuti giat menjalankan kempen membantu bayi-bayi yang punya masalah kesihatan kritikal, terutamanya yang datang dari golongan pendapatan rendah.

NatFree Dan Baik Hati Sayuti

Selain itu, mereka buka ‘NatFree’ menggunakan konsep ‘free market’ di Kedah. (Di sana orang panggil pasar sebagai ‘Nat’).

Kau bayangkan macam mana mat Kedah ni yang dulu belajar sama-sama dengan aku di UiTM Arau, nampak biasa-biasa ja dulu, hari ini jadi orang yang buat kerja mulia.

Kemudian bila aku fikir-fikir semula, memang dia sebenarnya ada sifat baik dalam diri dia. Daripada dahulu dia memang selalu kalau nampak kawan-kawan jalan kaki nak pi kelas, nanti dia tumpangkan naik EX5 ‘turbo’ dia.

Aku sendiri pernah tumpang dia.

Akhirnya aku faham.

Tuhan itu Maha Adil. Sayuti ini memang seorang yang biasa di mata aku tapi di jiwa dia memang seorang yang selalu suka bantu orang.

Tuhan berikan satu cabaran melalui Uwais. Beliau lulus cabaran itu.

Lalu dibukakan satu lagi pintu untuk Sayuti, kini bersama isteri dan kawan-kawan untuk terus menabur bakti dengan cara menyelamatkan bayi-bayi yang kisah mereka kita pun tak sangka ada berlaku dalam masyarakat kita.

Daripada kisah baby Siti Khadijah, Safwan dan kini Siraj – Uwais yang sedang memerhati dari atas melihat orang tuanya bertungkus lumus selamatkan ‘sahabat-sahabat’ Uwais yang masih punya peluang untuk terus ada di dunia.

Skim Derma Palsu

Satu prosedur yang aku amat minat pada Sahabat Uwais adalah selain gigih menyelamatkan bayi, mereka juga kuat bersuara untuk elakkan masyarakat kena tipu dengan skim minta derma palsu.

Kalau kau nak tahu cerita panjang, pi sembang dengan depa. Aku tahu sikit aja.

Sebab itulah di Sahabat Uwais, mereka akan buat ground check.

Mereka akan tembual keluarga yang telibat, periksa pendapatan dan yang paling ‘mahal’ – perjanjian untuk tidak mengutip derma sampingan secara sendiri sebaik sesuatu kes dipersetujui untuk diuruskan Sahabat Uwais.

Kalau kau dah tanda tangan perjanjian tapi kau buat pasal, kau tunggu ajalah akibat.

“Kita tak mau usaha ini disalah guna. Hal duit ni aku habaq hang, boleh buat orang kelabu mata sat aja,” jelas beliau dalam loghat Kedah yang maha pekat.

Kisah Adik Siraj

Sekarang, Sahabat Uwais sedang giat kumpul dana untuk adik Siraj Ahmad bin Mansoorali, berumur 3 bulan.

siraj

Lahir pramatang, kekurangan berat badan, dan mengalami Univentricular Heart of LV Morphology with excessive pulmonary blood flow (PBF).

Memerlukan bantuan RM 50,000 untuk pembedahan. Dana terkumpul setakat post ini ditulis adalah RM 20, 800.

Nak kejar lagi RM 29, 200.00 sesegera mungkin.

Ayah Siraj telah menghilangkan diri sejak beberapa minggu lalu. Ibunya sampai kini naik bas awam dari rumahnya ke hospital untuk lihat bayi yang masih dalam inkubator.

Pendapatan ibunya sekitar RM 20 ke RM 30 sehari. Aku sendiri tak tahan tengok waktu Sayuti tunjuk gambar buku bank si ibu. Tapi aku control macho lah.

Nak maklumat lanjut, boleh lihat page FB Sahabat Uwais.

Peluang Kita

Ini peluang kita.

Berilah seberapa sahaja yang boleh.

Orang tak tanya berapa kita beri, tapi kitalah yang tanya diri sendiri – apa yang kita boleh buat dengan semampu kita.

Siraj, kau bertahan tau. Uncle-uncle dan auntie-auntie sedang usaha sebaik mungkin.

Sekian.