Seorang wanita ditahan polis Sabtu lalu kerana disyaki terbabit dengan lebih enam kes penipuan perkhidmatan dekorasi belon hari jadi menerusi aplikasi Instagram, lapor Harian Metro.

Suspek wanita tersebut didakwa menggunakan akaun Instagram ‘thepartyfairy.my’, lalu dipercayai memperdaya ramai mangsa membuat bayaran terlebih dulu, namun tidak menyediakan perkhidmatan seperti dijanjikan.

Baca Juga:

Tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek 30 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Shah Alam dalam serbuan di satu unit kondominium di KL Gateway Kerinchi, jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan mendapati suspek terbabit dalam kes yang sedang disiasat oleh pihak BSJK IPD Shah Alam.

“Hasil serbuan itu, polis merampas dua telefon bimbit, satu unit CPU komputer, satu unit monitor, satu unit papan kekunci dan tetikus, sebuah I-Pad Pro.

“Turut dirampas 15 beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut pelbagai jenama, sepasang cermin mata dan sampul surat berwarna putih mengandungi dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dokumen peguam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati suspek menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui Instagram dan menjalankan aktiviti itu sejak Julai lalu.

“Mangsa yang berminat mendapatkan perkhidmatan dekorasi menghubungi suspek dan diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun suspek.

“Bagaimanapun suspek gagal menyediakan perkhidmatan terbabit pada hari yang dijanjikan dan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM700.

“Semakan mendapati suspek juga terbabit dalam enam lagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur. Pihak polis meminta orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa percaya dan yakin dengan perkhidmatan yang disediakan suspek memandangkan pengikut di Instagram berkenaan mencecah 12,000.

“Suspek mendakwa dia membuat dekorasi majlis hari jadi dan akikah tetapi gagal menunjukkan bukti apabila polis minta.

“Gambar-gambar yang dimuatnaik dalam Instagram itu juga seolah-olah ‘copy paste’ saja. Siasatan masih berjalan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru itu Mohd Iqbal meminta orang ramai lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.

Hasil carian ‘thepartyfairy.my’ di laman Twitter mendapati ada netizen yang berkongsi ciapan bahawa mereka pernah ditipu oleh perkhidmatan dekorasi belon hari jadi tersebut.