Filem terbaharu Marvel, Shang-Chi and Legend of the Ten Rings sudah pun ditayangkan. Filem pertama yang menampilkan pemeran utama Asia ini dibintangi oleh pelakon muda dari Kanada Simu Liu. Apa yang menariknya adalah Liu kini yang sedang mendaki anak tangga untuk menjadi antara ikon pawagam Asia rupanya dahulu adalah seorang model biasa.

Kini seluruh media sosial heboh memperkatakan tentang gambar Liu yang nampak segar dalam beberapa koleksi gambar yang ada. Liu juga telah bertindak menciap gambarnya sendiri sambil meraikan kejayaan filem terbaharunya. “Saya ketawakan mereka yang menyangka kita akan gagal,” katanya sambil memuat naik gambarnya sendiri.

Sebelum menjadi salah satu barisan superhero dalam siri animasi Marvel, Liu sering menjadi model dan berada di banyak tempat, dari perhentian bas, pejabat akauntan, laman web syarikat sehinggalah poster acara. Dia pernah membincangkan tentang perkara ini, bahkah dia sendiri menganggap dirinya sebagai model paling hebat untuk laman Stock Photo.

Kejayaannya membintangi salah satu filem Marvel pastinya akan menjadi motivasi buat anak muda atau mereka yang sedang menempa nama dalam industri perfileman. Simu Liu juga memberi mesej yang kuat bahawa semua orang layak bermimpi dan hanya orang yang percaya sahaja yang mampu menukar mimpinya menjadi realiti.

Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings mengisahkan tentang Shang-Chi yang berusaha menjalani kehidupan biasa di Amerika Syarikat sehingga masa lalu kembali menghantuinya dan memaksanya untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran sehingga dipertemukan dengan ayahnya sendiri.

Dilancarkan di pawagam seluruh dunia, ini merupakan filem Marvel pertama yang dikuasai oleh orang Asia. Bagi orang Asia yang bertapak di Hollywood, ini merupakan kejayaan terbesar mereka dalam genre superhero.

Menurut laman web Box Office Mojo, filem ini berjaya memperoleh $ 90 juta di AS dalam masa empat hari, memecahkan rekod box office untuk cuti Hari Buruh yang biasanya dihabiskan untuk berehat di rumah dan mencatat pembukaan kedua terbaik sepanjang musim wabak COVID-19.

Watak Shang-Chi pertama kali diperkenalkan dalam komik Marvel pada keluaran edisi istimewa #15 pada tahun 1973 sebagai Master of Kungfu. Kini ia menjadi salah satu filem yang dinantikan oleh peminat Marvel. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut. 

Marvel Akan Filemkan Shang-Chi Sebagai Watak Adiwira Asia Pertama

Penjahat Dalam Shang-Chi Sudah Wujud Sejak Filem Iron Man Pertama Lagi

Donnie Yen Dan Ludi Lin Dijangka Bakal Membintangi Filem Marvel ‘Shang Chi’

Anda Mungkin Suka