Sudah menjadi kewajipan buat penghuni yang menyewa rumah untuk menjelaskan sewaan bulanan. Kegagalan menjelaskan sewa bulanan memerlukan seseorang penghuni untuk terpaksa membayar lebih pada bulan seterusnya bagi menjelaskan sewa bulanan.

Dalam pada itu, lain ceritanya dnegan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana terdapat penghuni yang sudah menetap lebih sedekad secara ‘percuma’.

Lebih mengejutkan, tidak semua yang gagal menjelaskan sewa bulanan rumah PPR ini terdiri daripada golongan tidak berkemampuan sebaliknya terdapat antara mereka yang memiliki kerjaya yang tetap, bergaji empat angka serta memiliki kenderaan mewah.

Situasi yang didakwa ‘sengaja’ dilakukan golongan ini nyata memberi kesan besar buat DBKL di mana sehingga kini jumlah tunggakan sewa sudah mencecah RM50 juta.

Menurut laporan, terdapat penyewa yang sudah 12 tahun tidak membayar sewa bulanan meskipun pihak DBKL mengenakan kadar sewa bulanan yang rendah iaitu serendah RM124 sehingga RM240 sebulan.

Mengulas mengenai alasan tidak menjelaskan sewa bulanan, jurucakap DBKL memaklumkan terdapat segelintir penyewa yang memberikan pelbagai alasan dalam mengelakkan sewa dibayar.

Kekangan kewangan serta terkesan dengan pandemik COVID-19 antara yang sukar diterima oleh mereka melihatkan golongan ini tidak menjelaskan sewa bulanan lama sebelum pandemik tiba lagi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. Sumber: NST

Meskipun menanggung jumlah hutang sewa bulanan mencecah 8 angka, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memaklumkan pihak DBKL masih mengambil sikap diplomasi dan berusaha untuk memastikan para penyewa menunaikan tanggungjawab.

Sebuah inisiatif dinamakan sebagai Program Turun Padang turut diadakan dalam bertemu penyewa yang bermasalah serta mempunyai tunggakan sewa tinggi .

“Julat tunggakan penyewa yang dipanggil untuk sesi bersemuka ini adalah antara RM9,325 dan RM46,742.90 yang tertunggak antara tempoh lapan tahun hingga 12 tahun.

“Program dilakukan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) DBKL melalui Program Turun Padang Sesi Bersemuka bersama beberapa penyewa ‘bermasalah’ di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini, Selasa lalu.

Berdasarkan laporan dan tinjauan, difahamkan kurang daripada 50 peratus penyewa di PPR komited membayar sewa bulanan manakala selebihnya mengalami masalah untuk menjelaskannya mengikut jadual sewa yang ditetapkan.

Sehingga kini, pihak DBKL dilaporkan cuba bertolak ansur malah tidak menghalau penyewa terbabit secara drastik kerana enggan mereka kehilangan tempat berteduh.

Berdasarkan rekod, jumlah tunggakan sewa di PA/PPR DBKL pada tahun 2018 berjumlah RM58.5 juta, 2019 berjumlah RM48.6 juta dan terus menurun pada berjumlah RM46.6 juta tahun 2020 dan RM47.6 juta tahun lalu

Sebagai altenatif, pihak DBKL juga cuba menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu penyewa yang tidak mampu melangsaikan sewa rumah.

Alternatif lain dilakukan DBKL bagi meningkatkan kesedaran penyewa adalah dengan mengaktifkan mekanisme pembaharuan perjanjian kontrak sewa rumah untuk dua tahun dan ia berkesan kerana ada yang tampil melangsaikan tunggakan sewa mereka.

Diharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan baik dalam membantu pihak DBKL dapat meraih hutang tunggakan sewa manakala penyewa yang berkemampuan tampil berusaha untuk membayar hutan sewa bulanan.

Tular pada minggu lalu apabila Pak Cik Shell menjelaskan punca pekerjanya tertidur semasa bertugas di stesen minyak pada waktu malam.

Awal Pagi Perlu Bantu Ibu Berniaga Pasar, Pak Cik Shell Jelaskan Sebab Pekerjanya Tertidur Semasa Bertugas

Video Pendek BBC Papar Wanita Malaysia Menari K-Pop Dikecam Netizen

Sumber