Mengapa kita menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei? Adakah kerana majikan berprihatin dengan pekerja dan memberi pelepasan? Atau sebagai pengiktirafan usaha dan keringat pekerja?

1 Mei bukan untuk merai pekerja yang terperuk dalam pejabat beraircond, ia lebih kepada hari pekerja manual atau buruh.

Sambutan ‘May Day’ ini bermula di Amerika Syarikat pada 1880-an. Ketika itu Amerika berada dalam zaman ‘Gilded Age’ (1865-1900), satu zaman yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi ‘laissez faire’ di mana kerajaan tidak bercampur tangan dalam ekonomi. Dengan amalan tersebut industri berkembang pesat dan Amerika menjadi ekonomi terbesar di dunia.

Kerajaan pusat adalah lemah, membolehkan golongan kapitalis (pemilik kilang) menguasai ekonomi. Untuk memaksimakan untung, pekerja kilang dipaksa untuk bekerja 12 hingga 14 jam, malah ada yang sampai 16 jam sehari. Tiada hari cuti. Pekerja kanak-kanak ialah perkara biasa. Tiada undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak bersekolah.

Maka, para pekerja kilang mula memperjuangkan idea bekerja 8 jam sehari (‘eight hours labor, 8 hours recreation, 8 hours rest’). Untuk memperjuangkan hak tersebut, mereka mogok dan berarak di jalan. Selalunya mereka akan dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis seperti ‘Pinkerton Guards’.

Kemuncak konflik antara kapitalis dan pekerja ialah Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang berlaku pada 3-4 Mei 1886. Semasa pekerja berarak di Haymarket Square (di Chicago) menuntut bekerja hanya 8 jam sehari, golongan anarkis (golongan ekstremis yang ingin menggulingkan kerajaan) meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam. Lanjutan daripada peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan dihukum bunuh.

2 tahun kemudian (1888), Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labor) menjadikan 1 Mei sebagai tarikh peringatan Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes.

Second International (gabungan sosialis sedunia) menyambut tindakan tersebut. Maka pada tahun seterusnya (1889), 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers Day).

Nasib buruh di Amerika hanya berubah dengan munculnya presiden yang bernama Teddy Roosevelt (1901-1909). Roosevelt yang berwatak ‘strongman’ dengan beraninya menguatkuasakan waktu bekerja 8 jam sehari untuk buruh wanita, mengharamkan pekerja kanak-kanak, dan mengenakan kawalan undang-undang ke atas syarikat-syarikat besar (‘trust’).

Presiden Taft yang mewarisi Roosevelt telah memecahkan syarikat-syarikat gergasi seperti Standard Oil (milik John D. Rockefeller) dan U.S. Steel (milik J.P. Morgan) kepada syarikat-syarikat kecil demi membanteras monopoli kapitalis terhadap ekonomi.

Roosevelt dipengaruhi oleh pemikiran progresif ‘New Liberalism’ yang dibawa oleh pemikir seperti Herbert Croly. Berbeza dengan ‘Old Liberalism’ atau ‘Classical Liberalism’ yang melarang kerajaan bercampur tangan dalam ekonomi, pendukung ‘New Liberalism’ melihat kerajaan berperanan untuk menegakkan keadilan di antara kapitalis dan pekerja.

Mereka melihat ideologi liberal yang dogmatik hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem politik demokrasi dan sistem ekonomi pasaran dan memberi ruang kepada gerakan kiri yakni sosialis, komunis dan anarkis untuk ‘menunggang’ (hijack) isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan buruh.

Presiden sebelum Roosevelt iaitu McKinley mati dibunuh oleh pengganas anarkis, jadi tindakan Roosevelt adalah penting untuk membendung pengaruh anarkis.

Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja juga ada kaitan dengan anjakan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehingga 20 Mei 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan sebagai cuti umum.

Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja ditentang kerana kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan ‘ditunggang’ oleh golongan kiri (sosialis dan komunis). Lihat keratan akhbar Berita Harian bertarikh 25 Februari 1960 di bawah.

Pengumuman Tun Dr. Ismail dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak (Perdana Menteri 1970-1976) berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman. Semasa Tun Razak belajar di London, beliau menghadiri kuliah Harold Laski di London School of Economics dan menyertai Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party).

Pengalaman Tun Razak mendedahkan beliau kepada idea-idea sosialisme. Walaupun Tun Razak bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme mengenai keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat pada Tun Razak dan mempengaruhi halatuju pemerintahan beliau (rujuk Abdul Rahman Abdul Aziz, Pembangunan 1960-an: Daripada Kata-kata Tun Abdul Razak Hussein, 2014, halaman 10-11).

Maka tidak hairanlah Tun Razak lebih akomodatif dengan tuntutan sambutan Hari Pekerja yang dikaitkan dengan gerakan kiri.

Jadi, anda dapat bercuti pada hari ini bukan kerana ihsan golongan kapitalis, tetapi atas perjuangan golongan buruh terdahulu untuk membela nasib diri. Kerana merekalah pekerja menjadi golongan yang mempunyai pelbagai hak, bukan setakat hamba kapitalis.

Rujukan:
Eric Arnesen (2007), Encyclopedia of U.S. Labor and Working-Class History
Abby Peterson & Herbert Reiter (2016), The Ritual of May Day in Western Europe: Past, Present and Future

Artikel di atas disumbangkan oleh Ayman Rashdan Wong. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤