Baru-baru ini industri muzik negara terutamanya arena hip-hop gempar dengan kemunculan lagu terbaru penyanyi rap terkenal Malaysia Altimet bertajuk ‘Mambang’. Lagu ini sangat menarik perhatian dengan menampilkan elemen nusantara serta patah-patah rap yang sangat jelas daripada Altimet. Namun yang menjadikan lagu ‘Mambang’ ini trending adalah apabila ada pendengar merumuskan bahawa lirik lagu ‘Mambang’ ini ditujukan kepada lagenda rap Malaysia iaitu Malique.

Sejak daripada itu, pelbagai ‘kod-kod rahsia’ berjaya dicungkil keluar daripada lirik lagu ‘Mambang’ ini untuk membuktikan bahawa lagu ini sememangnya ditujukan untuk Malique. Hal ini berlarutan sehingga berlaku perbalahan di ruangan komen-komen Youtube, Twitter & Instagram sehingga mewujudkan #TeamAltimet dan #TeamMalique.

Tidak lama kemudian, melalui akaun Twitternya Altimet tampil memberikan penjelasan bahawa lagu ‘Mambang’ adalah monolog antara dirinya sahaja dengan dirinya yang terdahulu dan segala fakta yang mengaitkan lagu ini dengan orang lain adalah satu kebetulan sahaja.

Kisah ini bertambah hangat apabila dua orang penyanyi rap Malaysia iaitu Kmy Kmo dan Luca Sickta muncul dengan lagu bertajuk ‘Gong Nekara’. Kmy Kmo adalah salah seorang anggota kumpulan Nukilan (dalam Nukilan Kmy Kmo menggunakan nama Agenda) di bawah naungan Qarma Musiq milik Malique. Antara lagu-lagu hit kumpulan Nukilan ialah Rindu (Nukilan feat Shae), Aduh Neng dan Bukan Mudah (Nukilan feat Malique).

Hubungan rapat antara Kmy Kmo dengan Malique ini membuatkan para pendengar merumuskan bahawa lagu ‘Gong Nekara’ ini adalah jawapan kepada lagu ‘Mambang’ bagi pihak Malique. Seperti juga lagu ‘Mambang’, pelbagai “kod-kod rahsia” berjaya dicungkil keluar oleh pendengar bijaksana untuk membuktikan lagu ‘Gong Nekara’ ini sememangnya ditujukan kepada Altimet. Namun seperti Altimet juga, Kmy Kmo menjelaskan bahawa lagu ‘Gong Nekara’ ini dihasilkan untuk dirinya sendiri.

Budaya sindir-menyindir dalam arena hip-hop bukanlah suatu perkara yang baru dan asing. Di Malaysia sendiri, fenomena ‘rap beef’ yang membawa kepada ‘diss track’ telah wujud dari tahun 90-an lagi. Mari kita lihat antara “rap beef” yang terawal di Malaysia.

1. Krash Kozz vs KRU (1993)

Kumpulan Krash Kozz yang dianggotai oleh Fauzi, Albert & DJ Najee telah mengeluarkan sebuah album bertajuk New Jack The Streetbeat yang memperkenalkan irama New Jack Swing kepada pendengar Malaysia untuk pertama kalinya. Album ini menampilkan lagu-lagu hit mereka antaranya Give It All You’ve Got, Berhati-Hati Di Jalanraya serta Pada Kasih Cinta Berbunga. Krash Kozz juga dilihat telah memberi penghargaan kepada kumpulan 4U2C apabila merakamkan semula lagu berhantu 4U2C iaitu Fiona dalam bahasa Inggeris.

Pada masa itu, 4U2C dikatakan ‘bermusuhan’ dengan kumpulan KRU. Dengan merekodkan lagu Fiona, pendengar membuat rumusan bahawa kumpulan Krash Kozz berpihak kepada kumpulan 4U2C. Di dalam inlay album New Jack The Streetbeat juga, Krash Kozz telah menulis ayat “You don’t have to call yourself Kumpulan Rap Unggul to be the leader.” Ramai yang meneka bahawa ‘Kumpulan Rap Unggul’ itu ditujukan kepada KRU, kerana huruf pertama setiap perkataan itu membentuk KRU. (Sehingga kini KRU tidak pernah menjelaskan apakah maksud sebenar di sebalik huruf K, R & U). DJ Najee telah meninggal dunia di usia 50 tahun pada April 2017.

Pada tahun 1994, KRU kemudiannya menerbitkan sebuah mini-album bertajuk Awas. Terdapat sebuah lagu Inggeris di dalam mini-album ini yang dikatakan ditujukan kepada kumpuan Krash Kozz iaitu lagu ‘E’nuff Eez E’nuff’ (Enough Is Enough). Antara bait lirik yang dilihat mengaitkan kumpulan Krash Kozz ialah :

Back to the subject hip-hop and new jack,
another day another rapper another concept,
So what? you can call it what you want it to be,
but stop shooting us down, we’re all the same you see

Norman (Kini Dato’) juga pernah menyebut “eat this Double K!” apabila selesai menyanyikan lagu E’nuff Eez E’nuff pada persembahan pentas mereka.

2. Naughtius Maximus vs KRU dan 4U2C (1995)

Naughtius Maximus atau lebih dikenali sebagai Notimaxx merupakan gabungan daripada empat buah kumpulan rap berbeza iaitu kumpulan Ruffugeez, Whyness, Deceased dan Under Pressure. Antara nama-nama besar dalam gabungan ini ialah Spit, Mista Rem, Lady D, Illegal, G-Soul dan DJ Jungle Jerry. Keempat-empat kumpulan ini bergabung dan menerbitkan sebuah album bersama dan menampilkan lagu Here Comes Trouble sebagai single pertama mereka.

Lagu Here Comes Trouble turut menyelitkan sindiran kepada kumpulan KRU apabila mereka menggunakan korus lagu Awas iaitu “Awas… pa ra rap Awas!” kepada “Trouble… pa ra rap Trouble!” serta bait lirik “we aim, to be the ONLY one!” yang menyindir lagu kumpulan 4U2C iatu 2BD#1 (To Be The Number One). Lagu ini mungkin kurang dikenali kerana ia telah di-banned dari siaran radio oleh pihak berkuasa pada waktu itu kerana disifatkan terlalu kebaratan. Kumpulan KRU dan 4U2C juga dilihat tidak pernah memberikan maklum balas dalam apa-apa bentuk kepada lagu ini. Mungkin mereka tidak pernah dengar lagu ini kot?

3. Too Phat vs Poetic Ammo (1999)

Ini mungkin merupakan ‘rap beef’ yang paling diingati di Malaysia. Too Phat dan Poetic Ammo merupakan “heavyweights” dalam arena hip-hop di Malaysia dan mempunyai pengikut tegar masing-masing. Pada tahun 1999, Too Phat telah muncul dengan album pertama mereka berjudul Whuttadilly? dan terus menjadi fenomena di Malaysia. Di dalam album itu, Malique & Joe Flizzow telah merakamkan sebuah lagu berjudul Bo-M.O.-H (Disebut Bomoh atau Boo-Ammo?) yang dikatakan penuh dengan sindiran tajam kepada kumpulan Poetic Ammo.

Lagu ini sarat dengan luahan Malique & Joe Flizzow tentang kononnya Poetic Ammo telah berubah sikap sejak menjadi terkenal (Poetic Ammo terlebih dulu mengeluarkan album daripada Too Phat) Lagu ini kemudiannya menjadi lagu yang paling diminta oleh peminat setiap kali Too Phat mengadakan persembahan pentas.

Poetic Ammo kemudiannya telah “menyahut cabaran” Too Phat dengan menampilkan lagu bertajuk We Hit Em Up Too. Lagu ini terkandung dalam album mereka bertajuk The World Is Yours yang diterbitkan pada tahun 2000. Lagu ini menyelitkan pelbagai rujukan kepada kumpulan Too Phat, antaranya:

You dissed my album cover bein’ clownish but yours be worse
Cos your s**t be lookin’ something straight from the circus
For real though now you phat with that lady in your clique
Fake hellos and Dallas like drama now that’s your trick
Remember the time we use to chill chattin’ on the pc
But now it’s just a messed up memory
Now shit went down ain’t that a pity
Well it’s just too bad baby, nuff said

Namun yang menjadi tanda tanya ialah adakah perbalahan ini benar atau hanya sekadar gimik pemasaran kerana kedua-dua kumpulan ini bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu Positive Tone. Malah di dalam inlay album Too Phat iaitu Whuttadilly? juga turut memberikan terima kasih mereka kepada kumpulan Poetic Ammo di dalam ruang penghargaan.

4. Duality Of Stylez (Singapore) vs Too Phat (2002)

Duality Of Stylez merupakan sebuah kumpulan rap ‘Underground’ yang berasal dari Singapura. Pada tahun 2002, kumpulan ini telah merakamkan sebuah ‘diss track’ yang ditujukan khas kepada Kumpulan Too Phat. Lagu ini dirakamkan secara amatur dan liriknya sangat provakatif serta dipenuhi kata-kata cemuhan ‘tahap dewa’ kepada kumpulan Too Phat terutamanya Malique.

Tidak ramai yang pernah mendengar lagu ini kecuali mereka yang terlibat di dalam dunia hip hop dan rap underground di Malaysia dan Singapura sahaja kerana lagu ini tidak pernah diputarkan di mana-mana stesen radio di kedua-dua negara. Usaha mencari lagu ini di Youtube juga gagal namun di bawah ini ialah salah satu lagu dari Duality Of Stylez, supaya para pembaca dan pendengar boleh membayangkan style dan cara mereka menyampaikan lagu mereka.

Too Phat terutamanya Malique nyata terkesan dengan lagu ‘diss track’ dari Duality Of Stylez itu, lalu pada tahun 2003 Too Phat telah merakamkan sebuah lagu bertajuk Where My Love At yang dimuatkan di dalam album Too Phat yang bertajuk 360. Menariknya, walaupun lagu ini dimuatkan di dalam album Too Phat, namun hanya Malique sahaja yang menyanyikannya seratus peratus. Dalam lagu ini Malique dilihat melepaskan geram dan amarahnya kepada kumpulan Duality Of Stylez serta ramai lagi ‘haters’ Too Phat dengan menyebut nama mereka tanpa berselindung. Dalam lagu ini juga, Malique mengesahkan bahawa lagu bo-M.O.-h adalah sememangnya ditujukan kepada kumpulan Poetic Ammo. Antara baris lirik yang terkandung di dalam lagu ini ialah:

Duality of Styles’ diss track was garbage,
Illustrait… garbage, Souljah Boo… fat garbage,
and praise the lord the mentions are kept minimal,
and when I diss I say names fuc* bein’ subliminal

Begitulah serba sedikit info ‘perbalahan’ kumpulan rap atau hip hop di Malaysia. Ini hanya sekadar bacaan dan terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak. Tetapi perlu ingat. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?

Artikel di atas disumbangkan oleh Shaha Al-Fayed. Beliau merupakan seorang yang aktif di dalam bidang seni tanah air. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤