Sebut sahaja nama Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pasti semua rakyat Malaysia mengenali nama berkenaan memandangkan beliau adalah angkasawan pertama negara. Oktober mempunyai makna tersendiri buat Sheikh Muszaphar kerana pada tarikh 10 Oktober 2007, beliau bersama 2 lagi angkasawan dari negara Amerika Syarikat dan Rusia berlepas ke angkasa.

Setelah 11 tahun berlalu, beliau berbesar hati untuk berkongsi gambar dan video throwback beberapa detik istimewa yang belum pernah didedahkannya kepada umum sebelum ini. Beliau berjanji untuk berkongsi lebih banyak perkara mengenai solat, makanan, eksperimen, Al-Quran di angkasa dan banyak lagi sepanjang minggu ini.

Sheikh Muszaphar memuat naik video yang menunjukkan beliau sedang menjalani latihan Centrifuge. Menurut penjelasan beliau, latihan tersebut adalah sebahagian daripada simulasi situasi roket berlepas dan mendarat. Latihan tersebut telah cuba dilepasi oleh 11,425 calon yang lain sehingga menjadi 4 orang sahaja yang berjaya ke StarCity untuk menjalani latihan selama sebulan sebelum akhirnya hanya 2 orang sahaja yang terpilih.

Selain itu beliau juga memuat naik satu gambar yang menunjukkan Al-Quran yang dibawanya terapung dalam kapal angkasa Soyuz TMA-11. Baginya, Al-Quran tersebut sangat bermakna buatnya memandangkan ianya adalah pemberian daripada ibu tersayang. Beliau sempat mengucapkan rasa syukur dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada kedua ibu bapanya.

Semalam beliau memuat naik satu lagi video menunjukkan latihan berskala besar oleh calon-calon angkasawan dalam persekitaran yang sejuk bersuhu hampir -20°C.

Gambar terkini yang dimuat naik menunjukkan beliau membawa logo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama beliau ke angkasa dan menjelaskan keadaan badan setelah 3 hari berada di angkasa. Menurutnya, wajah beliau kelihatan agak melebar disebabkan tekanan udara yang menyebabkan darah mengalir ke bahagian atas badan menyebabkan perkara tersebut terjadi.

Teruskan mengikuti laman Instagram Sheikh Muszaphar kerana banyak lagi momen beliau di angkasa yang akan dikongsikan sepanjang minggu ini.

Buat anda yang berkeinginan untuk menjadi angkasawan, ini adalah antara latihan intensif yang anda perlu lalui sebelum bergelar seorang angkasawan. Anda sanggup?