Sejak semalam netizen bercakap tentang insiden seram yang dialami penyampai radio Fazziq Muqris yang menerima panggilan daripada seorang wanita misteri. Kejadian itu turut dirakam secara live ketika Fazziq bersiaran di platform TikTok.

Pemanggil wanita itu bercerita dia sedang memandu kereta dan kemudiannya menangis kerana berkata dirinya telah jatuh gaung dan sempat membaling keluar beg dibeli untuk ibunya keluar dari kereta.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malah, pemanggil tersebut mahu meminta bantuan Fazziq untuk memberikan beg terbabit kepada ibunya sebelum mengakhiri panggilan dengan hilaian yang menyeramkan para pendengar.

Justeru itu, netizen telah menularkan kembali satu video rakaman sebuah kereta yang sedang ditarik keluar dari gaung. Kejadian itu dikatakan berlaku pada tahun 2019 dan kejadian kemalangan itu mirip seperti apa yang diceritakan oleh pemanggil wanita misteri tersbut.

Dalam rakaman video itu, dapat dilihat satu ‘tangan’ dilihat sedang membuat satu objek, kemungkinan beg ke luar tingkap. Menurut perakam asal video berkenaan, awalnya beliau tidak perasan perihal perkata itu dan cuma mengetahuinya apabila rakan-rakan menegur tentang perkara itu.

Namun rata-rata netizen berkata video ini mungkin hanya kebetulan kerana ia mirip dengan kejadian yang diceritakan oleh pemanggil wanita berkenaan.

Bukan pertama kali DJ terima panggilan misteri

Insiden ‘sesuatu’ membuat panggilan seram bukan sesuatu yang baharu kerana bekas penyampai radio THR, Isma Halil Hamzah menerima panggilan daripada ‘seseorang’ sekitar tahun 2000. Dan disebabkan ia sudah lama berlaku, terdapat pelbagai versi cerita insiden ini.

Versi yang paling hampir adalah versi di mana Isma Halil menerima satu panggilan misteri itu dan pemanggil berkenaan menceritakan secara terperinci tentang apa yang berlaku pada dia dan keluarganya di mana mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga terjunam ke dalam gaung.

Apa yang pasti, semua mangsa kemalangan itu maut termasuk diri si pemanggil misteri berkenaan.

Sebelum panggilan ditamatkan, kedengaran suara mengilai. Suasana terus menjadi senyap dan sepi seketika. Mungkin penyampai radio berkenaan mengambil masa untuk bertenang sebelum memutarkan lagu rock bagi menghilangkan rasa seram yang menyelubungi diri.

Ada cakap-cakap yang mengatakan, penyampai radio itu cuba memainkan semula rakaman panggilan misteri itu pada keesokan hari. Tetapi isi rakaman kosong.

Tidak beberapa lama selepas kejadian itu, keluar laporan berita yang melaporkan sebuah kenderaan ditemui terjatuh ke dalam gaung dan semua mangsa maut di tempat kejadian.

“Mak saudara aku ada cerita. Masa benda ni terjadi, dia tengah jahit baju. Orang perempuan itu call DJ, cerita dia dan keluarga dia kemalangan. Lepas itu dia beritahu semua ahli keluarga dia mati. Dan DJ tanya, awak macam mana? Dia cakap saya pun mati. Mak saudara aku cakap, lepas dia dengar perempuan itu cakap dia mati, mak saudara aku terus tutup radio dan masuk tidur,” komen salah seorang netizen mengesahkan perkara itu pernah berlaku.

Benar-benar terjadi atau gimik?

Dalam insiden dialami Fazziq Muqris pula, ada netizen yang meragui kesahihan panggilan tersebut dan berkata kemungkian ia sesuatu yang sudah dirancang awal untuk menaikkan rating. Tetapi Fazziq telah berkongsi di Insta Story miliknya penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.

“Ramai yang tanya saya ok atau tidak? Saya baik-baik sahaja tetapi saya rasa ralat kerana ada yang terkejut, berhenti kereta tepi jalan dan banyak lagi. Saya mohon maaf. Saya sendiri tidak ada idea apa sebenarnya yang berlaku malam semalam.

“Ada yang kata semuanya sudah dirancang. Tetapi sebenarnya tidak. Yang menonton live saya di TikTok pasti tahu saya sedang buat kerja saya dan melayan pengikut saya di sana,” terang Fazziq.