Selepas diceroboh pasangan dari Russia pada bulan lalu, puncak menara tertinggi di Malaysia yang masih dalam pembinaan, Merdeka 118 turut menarik perhatian pencipta kandungan YouTube iaitu Driftershoots, yang berkongsi ‘pencerobohan’ mereka pada 30 Disember lalu.

Menerusi video yang berdurasi 7 minit 18 saat itu menunjukkan satu kumpulan yang terdiri daripada empat individu, tetapi dua daripada mereka dikaburkan muka. Mereka kelihatan memakai jaket seperti pekerja binaan ketika menyelinap ke tapak bangunan tersebut.

Baca Juga:

Dalam pada itu, individu tersebut turut mengatakan ia adalah penerbangan antarabangsa yang pertama buatnya ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memanjat bangunan kedua tertinggi di dunia itu.

Sebelum memulakan pencerobohan, warga asing itu sempat berkata di dalam video iaitu dia berharap agar kesemua mereka tidak terkena sambaran kilat dan turut memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk sebelum naik ke puncak.

Menerusi perkongsian video itu juga, kumpulan tersebut mengatakan pendakian mereka memakan masa yang agak lama, malah sangat sukar dan penuh dengan cabaran yang diharungi.

“Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar,” kata mereka menurut video tersebut.

“Ia berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut,” tambah kumpulan itu.

Selain itu, mereka turut menjelaskan tindakan menceroboh menara itu disebabkan luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi ‘cinta’ dan bukan menggalakkan orang ramai mengikut aksi berbahaya itu.

Difahamkan, semasa berada di puncak, mereka mengambil gambar yang cantik seperti jurugambar yang profesional. Selepas menawan menara 118, mereka kelihatan gembira serta meraikan kejayaan yang sukar itu dengan minuman keras setibanya di bilik hotel.

Menerusi laman web peribadinya, Driftershoots atau Isaac “Drift” Wright merupakan seorang bekas askar veteran Amerika Syarikat (AS) yang gemar mengembara ke lokasi menarik di seluruh AS untuk mengambil gambar dari tempat tinggi.

Sebelum ini, pasangan warga asing bernama Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus juga pernah menceroboh dan menyelesaikan misi hingga ke puncak menara kedua tertinggi dunia itu pada bulan lalu dengan memakai hijab untuk menyamar.