Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan sedang berbincang dengan rakan sejawatnya dari Singapura Ong Ye Kung mengenai pembukaan kembali sempadan dua negara yang ditutup sejak wabak COVID-19 melanda rantau ini, kata Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat semalam.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Saifuddin berkata bahawa dia berharap perbincangan yang berlangsung di antara Malaysia dan Singapura akan mencapai kata putus yang positif. Dia turut menambah jika cadangan ini diterima, Malaysia juga bercadang untuk membuka semula sempadan Malaysia dengan negara-negara lain, seperti Thailand.

Tambah Saifuddin lagi, disebabkan situasi COVID-19 di kedua-dua negara masih belum baik sepenuhnya, Malaysia dan Singapura akan terus melaksanakan peraturan kesihatan yang ketat bagi pergerakan rentas sempadan.

“Meskipun kadar vaksinasi bagi kedua-dua negara sudah mencapai lebih kurang 80 peratus, pembukaan semula sempadan melibatkan pelbagai pihak dan faktor-faktor penting lain untuk dipertimbangkan.

“Namun demikian, menjadi keutamaan kerajaan untuk terus berunding dengan Singapura berkenaan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur bergantung kepada situasi kesihatan semasa ini termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian (DCA),” tambah beliau.

Melalui laporan Media Corp, Kerajaan Negeri Johor mengusulkan skim Daily Commuting Arrangement (DCA) yang bakal memudahkan 30,000 pelawat setiap hari antara Malaysia dan Singapura. Kedua-dua negara boleh mengeluarkan pas perjalanan setiap 10 hari dan pelawat boleh menggunakan pas tersebut untuk melakukan perjalanan rentas sempadan sekitar tiga kali sepanjang tempoh tersebut.

Namun Saifuddin berkata, skim yang bakal memberi manfaat meluas kepada pelajar dan juga rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura ini masih lagi “diperingkat saranan” dan “banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia boleh dilaksanakan”.

Dalam perkembangan yang lain pula, Saifuddin berkata bahawa pemilihan Kalimantan Timur sebagai ibu kota baharu untuk Indonesia menggantikan Jakarta mampu menyumbang kepada ekonomi tempatan terutamanya mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Katanya, penempatan semula itu juga diharapkan dapat membuka banyak peluang bagi pelabur Malaysia di Kalimantan Timur kerana pemaju hartanah Malaysia akan mengambil bahagian dalam projek pembangunan ibu kota.

Terdapat 21 sempadan di seluruh dunia yang membolehkan anda melangkau dengan hanya menggunakan kaki. Klik pautan di bawah untuk membaca lebih lanjut.

21 Sempadan Negara Yang Boleh Dilangkau Hanya Dengan Selangkah Kaki

Bakal Jadi Kenangan, Netizen Kongsi Detik Pembukaan Kembali Sempadan Selangor-Perak

Lihat Detik Bersejarah Kim Jong-un Melintasi Sempadan Korea Selatan