1. Senarai Hitam atau ‘blacklist’ lazimnya orang kaitkan dengan individu-individu yang gagal peroleh kelulusan pinjaman bank. Alasannya, nama telah disenarai hitam. Betul ke istilah ini?

2. Istilah senarai hitam ini bukanlah istilah yang digunakan oleh pihak bank, tapi digunakan secara meluas oleh orang awam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

3. Untuk pihak bank melihat kredibiliti si pemohon pinjaman, lazimnya pihak bank akan melihat sistem yang digelar CCRIS (Central Credit Reference Information System) di mana di dalam sistem ini, status kredit pemohon akan dipamerkan, seperti sikap pemohon dalam membayar pinjaman rumah/ kereta/ peribadi mahupun PTPTN. Sekiranya ada tunggakan bayaran bulanan dalam mana-mana pinjaman bank, maka ia akan dipamerkan di dalam CCRIS ini.

4. Selain itu, pihak bank juga lazimnya mengakses CTOS iaitu satu agensi yang melaporkan status kredit seseorang. CTOS merekodkan setiap kes-kes Mahkamah yang melibatkan individu terbabit. Jadi, pihak bank boleh melihat sama ada individu terbabit mempunyai kes-kes tuntutan di Mahkamah terhadapnya secara terperinci, termasuk nombor kes di Mahkamah.

5. Jadi adakah setiap individu yang disaman di Mahkamah akan pasti direkodkan namanya di dalam CTOS? Tidak semestinya. Ia bergantung kepada orang yang menyaman tersebut sama ada mereka melaporkannya kepada pihak CTOS atau tidak. Untuk pengetahuan, firma Peguam juga boleh berdaftar dengan CTOS di mana firma guaman terbabit boleh melaporkan kepada CTOS kes-kes yang dikendalikannya.

6. Secara umum, CTOS akan melaporkan apakah status kes tersebut sama ada sudah selesai/ tidak mahupun tuntutan kes tersebut dibenarkan ataupun tidak. Jadi adakah nama yang direkodkan di dalam CTOS secara umumnya melibatkan individu yang mempunyai rekod hutang yang buruk? Tidak semestinya. Hal ini kerana CTOS tugasnya hanyalah melaporkan status kes tersebut sahaja. Sekiranya orang yang disaman itu menang dalam kesnya, maka CTOS akan melaporkan tuntutan kes beliau di Mahkamah telah ditolak. Itu sahaja.

7. Mengapa hendak merekodkan nama orang yang disaman itu di dalam CTOS? Bergantung kepada nawaitu orang yang menyaman. Berdasarkan pengalaman saya, anakguam lazimnya ingin merekodkan kes mereka menyaman pihak yang lain di dalam CTOS untuk berikan pengajaran/ tekanan kepada orang yang disaman.

8. Sebagai contoh, dalam tulisan saya yang terdahulu (rujuk sini) saya telah memberikan contoh-contoh mengapakah orang yang disaman liat untuk membayar hutang termasuk sikap ‘ignorance’ orang yang disaman. Jadi, kaedah merekodkan nama individu tersebut ke dalam CTOS merupakan salah satu cara orang yang menyaman ingin berikan tekanan kepada individu terbabit untuk segera menyelesaikan hutang mereka. Manakan tidak tertekan, namanya direkodkan mempunyai kes tuntutan di Mahkamah yang pasti memberi imej buruk kepada pihak bank. Maka sedikit sebanyak tekanan pasti akan ada terutama jika individu itu sedang dalam proses mendapatkan pinjaman bank.

9. Kesimpulannya, saya tidak pasti dari mana datangnya istilah blacklist ini dalam mengaitkan kes tuntutan di Mahkamah dengan status kredit seseorang. Pada pandangan saya, istilah ini tidak tepat. Sepertimana contoh yang saya nyatakan di atas, orang yang disaman tidak semestinya bersalah (‘innocent until proven guilty’).