“Memalukan negara.” “Dia yang berlagak dulu.” “Kurang ajar.” “Dengar dari kedua belah pihak.”

Dan pelbagai lagi reaksi tentang kes 3 remaja yang membuat onar di Jepun beberapa hari lepas. Kini menjadi tular. Kesnya adalah 3 orang remaja ini didakwa telah:

1. Melakukan kerosakan ke atas dinding premis. Kerugian 130,000 yen.
2. Melakukan kerosakan ke atas bilik mandi premis. Berak di bilik air. Kerugian masih dikira.
3. Melakukan kerosakan ke atas perabot premis. Kerugian masih dikira.
4. Melakukan keganasan/assault/violence (bouryoku, 暴力) terhadap staff premis. Kesalahan violence di Jepun mempunyai istilah khas dan akan disabitkan kesalahan secara serious bergantung pada kecederaan.

Pada sesetengah kita ia mungkin hanya sekadar masalah 3 remaja ini dengan pemilik premis tetapi sebenarnya lebih dari itu. Tingkah laku kita di luar negara sebenarnya memberi impak kepada diplomasi dan imej negara.

Sama seperti politik domestik, politik luar negara juga adalah permainan persepsi. Sebeb itulah dalam mana-mana acara diplomasi, baik kunjungan, perjanjian antara negara, summit antarabangsa, sidang PBB dsb sangat menekan beberapa aspek termasuk :

1. Bahasa badan

Termasuk cara salam, cara duduk dan lain-lain. Terdapat pakar dalam bidang ini yang akan menasihati duta atau pemimpin negara untuk memberi reaksi dengan betul. Sebagai contoh Obama selalu menepuk belakang lengan seseorang menandakan dia lebih berkuasa, seakan-akan menghantar isharat bahawa “good boy” kepada lawan diplomasinya. Bahasa badan adalah cerminan psikologi seseorang, sebab itu ia sangat penting.

2. Wording (pengunaan kata)

Dalam perjanjian atau bicara, bahasa juga memainkan peranan. Sebahagian teoris menyatakan “power of language and language of power “ antara alat yang sangat berperanan. Tanda seru dan soal sahaja telah membawa makna lain apatah lagi nada dan intonasi.

3. Teknik berunding

Ini antara paling penting. Teknik berunding boleh jadi dalam pelbagai bentuk walau terkadang lucu. Pada tahun 1970an Presiden AS, Nixon menggunakan sukan pingpong sebagai jalan untuk berbaik dengan China dan berunding dengan negara komunis itu.

Sekarang nampak, perkara kecil pun boleh jadi besar dalam diplomasi. Sebab itu diplomasi disebut sebagai seni. Seni juga merujuk kepada maksud halus. Seni mempunyai makna tersurat dan tersirat.

Pelancongan juga adalah hasil dari usaha diplomasi negara. Ia dijalankan oleh para diplomat. Kerana hubungan dan imej baik yang kita tunjukkan, maka Malaysia menikmati kemudahan pelbagai di merata dunia. Menurut passportindex.org negara kita menduduki tangga ke 5 pasport paling ‘berkuasa’ di dunia setangga dengan Ireland dan Kanada.

Pelancongan juga selain hasil dari diplomasi, ia juga menjadi alat diplomasi. Kerana itu kita juga dikenali dengan sikap kita – ramah, sopan, patuh dan teratur. Kerana itu jemaah haji mendapat layanan istimewa dari Arab Saudi. Pelancongan dipemudahkan oleh kerajaan luar negara terutama Kesatuan Eropah.

Masih segar dalam minda semasa kembara saya dan rakan serumah ke Eropah Tengah (Central Europe). Selain menikmati polisi bebas visa, kami juga dipanggil untuk ‘potong barisan’ semasa di Slovakia hanya dek kerana kami memegang pasport Malaysia ditangan.

Namun, sikap samseng, kurang ajar dan sebagainya warga kita bukan hanya akan mencalarkan imej negara bahkan seluruh air muka rakyat Malaysia. Kebelakangan ini anak Malaysia sudah lupa akarnya , sehingga tegar memalukan ibu pertiwi dengan menyertai ISIS , seludup dadah dan terkini yang tular 3 remaja “tahi”.

Apatah lagi Jepun sebuah negara yang terkenal dengan konsep maruah dan kehormatan (尊厳と名誉 Songen to meiyo),maka dimana kita mahu letak air muka kita?

Ingat harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu mengembu. Di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Beringatlah sesama kita.

Saya menyarankan 3 remaja ini memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan Kerajaan Jepun kerana telah mencalarkan imej negara dan melanggar undang-undang Jepun.

Amirul Mukminin
Pelajar Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa, Istanbul.