Nota Editor: Penulisan yang penuh dengan pengajaran ini ditulis oleh Tuan Khairul Hakimin Muhammad. Terima kasih kepada beliau yang sudi menulis dan berkongsi di Vocket. Semoga ia menjadi pengajaran buat kita supaya tidak benci orang lain secara berlebihan.

Sayang Jangan Beriya, Benci Jangan Melebih

"Baca buku Indon ke tu?"

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

"Ha'ah pakcik. Hehe, eh, macamana pakcik tau?"

"Tengok ayat dia pun saya tahu, saya suka! Menantu orang sana," dia pun ketawa kecil.

blangkon
Gambar hiasan: Lelaki Indonesia memakai blangkon . (Deviantart)

Kami bersembang kencang, rupanya pakcik yang beruban halus ini memang peminat tegar buku-buku Indonesia. Sebut sahaja nama penulis Wiwid Prasetyo, Andrea Hirata, Hamka semua dia kenal buku-bukunya. Best pula bersembang!

"Kau, kalau nak sayang sesuatu jangan sayang beriya. Sama juga kalau benci. Jangan benci sangat."

Dia menambah. Katanya masa dia muda dulu dia tak suka betul tengok orang Indonesia. Entahlah, dia tak suka. Sampailah dah nak pencen, dia diuji Tuhan dengan ujian yang sangat besar.

Anak tunggalnya (perempuan), jatuh cinta dengan orang Acheh. Berperanglah satu keluarga, beliau dan isteri bermati-matian tidak merestui. Akhirnya anak kesayangannya dibawa ke Banda Acheh dan berkahwin di sana.

Selang beberapa bulan, anaknya pulang bersama suami dan perut yang sedang membesar. Isterinya menerima dengan hati yang terbuka, manakala dia tak bercakap hingga cucunya masuk dua orang.

Setiap kali bertembung dalam rumah, dia akan elak. Tidak makan semeja, dan langsung tidak mahu lihat wajah anak menantunya. Sungguhpun begitu, anak dan menantunya tetap tak pernah putus asa.

Satu hari, beliau pengsan di bilik air. Strok. Tak boleh bercakap dan sebelah badan tak bergerak. Dan bermulalah satu sesi dimana Tuhan meletakkan kasih sayang yang cukup dahsyat dalam hatinya.

Menantunya setiap hari mengurut kaki, tangan dan anggota badan beliau.

Menantunya juga yang mendukung beliau setiap hari ke tandas, mencuci dan memandikan beliau.

Menantunya juga yang setiap selepas Subuh mengalunkan ayat suci Quran di sisi beliau.

Dan setiap hari juga menantunya mencium tangan beliau dan memberi kata semangat, yang selama ini tak dapat berbuat begitu.

Allah maha menyembuh. Daripada tidak boleh bercakap, boleh bercakap. Dan saat sudah boleh bergerak, setiap pagi Sabtu menantunya ini akan dukung beliau masukkan dalam kereta dan bawa ke Port Dickson. Bermain air laut dan dudukkan beliau di atas pasir pantai. Semua itu terapi yang merawat.

Mata beliau kemerah-merahan. Bibirnya menggeletar.

"Itulah kasih sayang Allah, dulu pakcik benci dia, tak boleh langsung tengok muka dia. Tapi dia tak pernah benci pakcik, semoga Allah beri dia syurga."

Saya senyum dan memandang keretaToyota yang berderetan.

"Itu kereta dialah tu, pakcik dah pencen. Jadi pembantu dialah sekarang ambil ikan sayur semua untuk pasar dia tu, haha!" kami ketawa bersama.

Katanya lagi, setiap tahun dua tiga kali ke Acheh. Bukan itu sahaja, semua buku Indon juga disukainya.

Saya lihat wajah beliau dalam-dalam. Sedang langit menjadi biru, Tuhan ajar saya satu perkara baru hari ini.

Jika mahu memilih untuk membenci, siap sedialah untuk menerima penyesalan paling panjang.

Ya Tuhan, Alhamdulillah.

Khairul Hakimin Muhammad,

Sedang hutan juga menghijau.
Kau lahir 32 tahun lalu, selamat hari lahir kawan.

BACA: Kisah Syukur Seorang Pakcik Yang Sudah Berkahwin 40 Tahun Tetapi Tiada Anak

BACA: Suami Isteri Ini Kuasai Startup Teknologi Di Indonesia

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram