Sudah menjadi kebiasaan di mana orang ramai lebih tertarik kepada mereka yang lebih tampak berjaya dan kaya dalam usaha untuk mengikuti usahanya agar-agar sama-sama memiliki nasib yang sama.

Dalam pada itu, hal ini secara tidak langsung turut membuatkan sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan ‘berkongsi’ kehidupan mewah mereka di media sosial khususnya Instagram dalam menarik lebih ramai individu menyertai ‘bisnes’ yang diceburi beliau.

Situasi seperti ini nampaknya turut berlaku di Indonesia apabila seorang influencer dikenali sebagai Doni Salmanan atau nama sebenarnya Doni Muhammad Taufik yang memiliki 2.3 juta followers di Instagram ditahan oleh pihak Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia.

Menerusi operasi yang dijalankan, difahamkan aset Doni Salmaman bernilai 64 bilion rupiah (RM18.7 juta) berikutan terlibat dengan skim penipuan Quotex.

Lapor Tribunnews, Pengarah Siber badan itu, Asep Edi Suheri berkata, nilai itu melibatkan rampasan sebanyak 97 aset dan barang berharga milik suspek yang dikenali sebagai Doni Salmanan.

Jelasnya, rampasan itu melibatkan wang tunai 3.3 bilion rupiah (RM968,000), dua rumah di wilayah Candra Asih, Kota Baru Parahyangan dan Soreang Banjaran, Bandung.

“Ada dua bidang tanah yang masing-masing mempunyai keluasan pertama 0.05 hektar di Candra Asih, manakala, tanah seluas 0.04 hektar di Soreang Banjaran.

“Pihak polis juga merampas 18 unit kenderaan motosikal pelbagai jenama dan warna seperti Ducati, Kawasaki, Honda dan Yamaha,” katanya.

Menurut Asep, pihak polis menyita enam kenderaan seperti Lamborghini, Porsche, BMW, Toyota Fortuner dan Honda CRV.

“Kita juga menyita 27 dokumen seperti sijil hak milik, buku simpanan bank, kad debit ATM. Turut dirampas adalah 20 alat elektronik seperti telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan IPAD,” katanya.

Asep berkata, sebanyak 22 jenis pakaian dari pelbagai jenama mewah seperti Hermes, Dior dan Canali turut dirampas.

Berikutan penahanan yang dibuat oleh pihak polis, Doni Salmanan nampaknya turut membuat permohonan maaf kepada seluruh warga Indonesia serta berharap agar orang ramai mengampuninya.

Dilaporkan ‘skim pelaburan’ yang dijalankan secara besar-besaran ini telah merugikan sejumlah besar orang ramai di mana terdapat individu yang kehilangan sehingga 380 juta rupiah (RM111,500) berikutan terpedaya dengan skim penipuan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.

Malah, terdapat juga wanita mengandung yang kehilangan berat badan sehingga 12 kilogram berikutan terjerat dengan pinjaman dalam talian kumpulan ini.

Sebelum ini, Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia turut merampas aset mencecah 57.2 bilion (RM16.7 juta) seorang influencer, Indra Kesuma atau lebih dikenali sebagai Indra Kenz melibatkan kes penipuan pelaburan menerusi aplikasi Binomo.

Indra Kenz. Sumber: newsdelivers

Berikutan serbuan terhadap Doni Salmaman dan Indra Kenz, Ahmad Saroni selaku wakil polis Indonesia memaklumkan agar pihak polis sedia memburu lebih banyak lagi individu yang terlibat dengan skim pelaburan yang jelas merugikan orang ramai ini.

Ikuti juga kisah mangsa ini yang mendedahkan modus operandi ‘scam’ kerja sambilan yang membuatkan beliau rugi hampir RM16,000.

Mangsa Ini Dedah Modus Operandi ‘Scam’ Kerja Sambilan Selepas Rugi Hampir RM16,000

Finalis Miss Malaysia Dikecam Kerana Tidak Bangga Lahir Di Malaysia, Berharap Lahir Di China

Sumber