Mungkin ramai dalam kalangan kita yang mempunyai kenalan atau keluarga yang dilahirkan dengan keadaan pekak atau bisu. Namun tidak ramai antara kita yang mahir atau setidak-tidaknya boleh menggunakan bahasa isyarat asas untuk berkomunikasi dengan mereka ini.

Walaupun ianya nampak seperti perkara remeh kepada orang kebiasaan namun ianya adalah sangat bermakna buat mereka yang tidak berkeupayaan untuk berkomunikasi seperti gadis ini yang berkongsikan kisahnya di Twitter baru-baru ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Gadis berkenaan yang dilahirkan pekak sejak daripada kecil, Anis Farhana Jailani dari Perak baru-baru ini tular di media sosial selepas perkongsian ‘mengajar’ bahasa isyarat mula dikongsikan netizen.

Malah beliau ketika dihubungi The Vocket berharap agar masyarakat di luar sana setidak-tidaknya cuba untuk mempelajari bahasa isyarat kerana menurutnya ianya tidak sesukar seperti yang disangka.

El9w_OnVkAAQ_Zo
Anis Farhana Jailani

“Bagi saya, harap-harap semua orang nak belajar, boleh pergi kelas bahasa isyarat.

“Ciknis (dirinya) banyak belajar dari orang normal, dulu saya ada kawan yang normal dia banyak mengajar Ciknis (bahasa isyarat) ni,” katanya.

Beliau yang baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah institut pengajian tinggi tempatan di utara tanah air juga menjelaskan sebelum ini beliau terpaksa menggunakan cara seperti menulis nota di telefon bila mahu berkomunikasi.

“Kalau Ciknis pergi ke kedai ke apa-apa pun mesti kena tulis nota atau menggunakan telefon,” kongsinya.

Beliau bagaiamanapun bersyukur apabila keluarganya menurutnya tahu menggunakan bahasa isyarat ketika berkomunikasi dengannya.

Walaupun hanya menggunakan bahasa isyarat asas, namun baginya itu sudah cukup memandangkan dia juga berupaya untuk membaca pergerakan bibir dan mulut mereka yang bercakap dengannya.

“Family Ciknis pakai isyarat bukan pro sangat, mak (juga) pakai isyarat.

“(Tetapi) ada ketikanya menggunakan chat WhatsApp tapi Ciknis faham bila baca mulut mak,” kongsinya.

Media sosial untuk mendidik

Tidak mahu masyarakat terutama netizen di luar sana terus memandang sepi akan kepentingan bahasa isyarat, beliau kini dilihat aktif memberikan pengetahuan mengenai bahasa isyarat menggunakan akaun Twitter miliknya.

Bermula dengan perkataan dan ungkapan asas bahasa isyarat, perkongsiannya itu sebelum ini telah mendapat reaksi positif daripada netizen dengan rata-rata memuji apa yang dilakukannya dalam memberi kesederan mengenai kepentingan bahasa isyarat.

Namun jelas Ciknis, segalanya bukanlah seperti apa yang dilihat ketika ini malah dia pernah mengalami detik duka apabila menerima reaksi negatif dan kritikan daripada netizen sebelum ini bila memuat naik video di YouTube dan Instagram.

“Pernah buat (video) tapi masa tu Ciknis down teruk (kecewa) dan sudah lama tak buat video.

“Ada yang beri (pandangan) negatif pon, nasib baik Ciknis pekak.

“Tapi hati Ciknis terasa sebab boleh baca (komen) dari orang yang negatif,” luahnya.

Justeru itu, beliau sebelum menamatkan temubual bersama The Vocket sempat memberikan pesanan yang mungkin boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat di luar sana.

Malah pesanannya itu juga bukan sahaja khusus buat orang kebiasaan namun turut dititipkan buat golongan OKU yang masih belum mempunyai keberanian untuk mempelajari bahasa isyarat.

“Saya berharap semua orang boleh belajar dari golongan pekak atau bisu. Ada yang buat kelas bahasa isyarat boleh join.

“Ciknis doakan orang OKU dan orang normal beranikan diri dan tak boleh rasa rendah diri (dengan) kekurangan ini.

“Kita perlu bersyukur apa yang Allah bagi,” pesannya.

Baca juga kisah jurubahasa isyarat ini yang sering muncul di penjuru kaca TV anda melalui pautan di bawah. 

Sering Menemani PM Ketika ‘Live’, Ini Kisah Jurubahasa Isyarat Di Kanan TV Anda

Starbucks Buka Cawangan Pertama Khas Ambil Pekerja Pekak Sebagai ‘Baristas’ Di Bangsar