Setelah hampir 64 tahun membangunkan dan mengembangkan model Skyline, akhirnya Nissan Motor akan menamatkan produksi model kereta tersebut tidak lama lagi.

Model Skyline merupakan kereta buatan Nissan (sebahagian pasaran menggunakan nama Infiniti) yang paling ikonik di seluruh pasaran dunia lebih-lebih lagi dikalangan orang muda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Walaupun masih mempunyai permintaan dari orang ramai, tetapi Nissan memilih untuk menggunakan sumber mereka pada pengeluaran segmen SUV, EV dan beberapa segmen berkembang yang lain, sambil memperbaiki struktur perniagaan mereka.

Skyline dilancarkan pada tahun 1957 oleh pembuat kereta bernama Fuji Precision Machinery, yang kemudian menjadi Prince Motor Company. Model ini telah menjadi lambang pertumbuhan pesat ekonomi Jepun pada tahun 1960an hingga 1970an.

Di mana ketika itu pemilikan kereta persendirian negara tersebut berjaya membentuk semula struktur sosial, budaya kehidupan seharian, serta mengubah persekitaran dan landskap bandar Jepun.

vocket-nissan-tamatkan-pengeluaran-skyline-1
Nissan Skyline C110 ‘Kenmeri’ | Sumber Gambar: Motorbiscuit

Antara beberapa kejayaan yang dicapai semasa era kegemilangan Skyline ialah model generasi keempat ‘C110’ yang dilancarkan pada tahun 1972. Model kereta ini dikenali sebagai ‘Kenmeri’ disebabkan pasangan barat bernama ‘Ken dan Mary’ telah mempromosikan kereta tersebut dalam satu siri iklan television.

Pada tahun 2002, Nissan telah menamatkan model tertinggi Skyline GT-R. Namun pada tahun berikutnya bekas Presiden Nissan, Carlos Ghosn mengumumkan rancangan untuk menghidupkan semula jenama simbolik ini dengan menjadikannya sebagai sport car berprestasi tinggi Nissan GT-R pada tahun 2007 dengan ‘membuang’ nama Skyline.

Sehingga kini, model Nissan GT-R masih memegang gelaran ‘supercar-killer’ kerana kemampuan kereta tersebut menyaingi model-model kereta berspesifikasi tinggi dari negara barat pada harga yang jauh lebih rendah.

vocket-nissan-tamatkan-pengeluaran-skyline-2
Charlos Ghosn melancarkan Nissan GT-R R35 tahun 2007 | Sumber Gambar: Wikimedia Commons

Walaupun Skyline mempunyai peminat setia, model kereta baharu dilengkapi dengan teknologi canggih pemanduan autonomi dan mempunyai sebuah muzium Skyline di Nagano Prefecture, permintaan model tersebut telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana para pelanggan mula beralih kepada kenderaan segmen SUV.

Menurut MarkLines, sebuah syarikat penyelidikan pasaran kenderaan Jepun, model Skyline hanya terjual 3,900 unit sahaja pada tahun 2020, berbanding sebanyak 150,000 Skyline telah dijual setiap tahun pada era 1970an.

Salah seorang wakil Nissan menyatakan keputusan untuk menghentikan pengeluaran Skyline dilancarkan pada tahun 1957 adalah langkah yang sukar. Namun ia perlu dilakukan dalam usaha syarikat untuk terus kekal relevan dan kompetif dalam pasaran jangka panjang.

Kini, Nissan menumpukan perhatian pada bajet R&D pada kenderaan EV dan menghentikan pembangunan kesemua model sedan untuk pasaran domestik seperti model mewah Fuga dan Cima.

Siapa sangka model Skyline yang telah berada di pasaran dunia selama 64 tahun akhirnya terkubur akibat ‘dimamah’ oleh peredaran zaman dan teknologi masa kini.

Walaupun sudah berusia lebih 20 tahun, model Nissan Skyline GT-R R34 tetap menjadi buruan orang ramai dari seluruh dunia.

Nissan Skyline R34 GT-R, Legenda JDM Yang Semakin ‘Mahal’ Walaupun Cecah Usia 20 Tahun

Persis Model Paul Walker, Pemilik Skyline R34 Ini Mahu Menjualnya Pada Harga RM750,000