Seorang warganegara China akhirnya bertemu kembali dengan keluarganya setelah diculik selama 32 tahun lalu di wilayah Shaanxi. Dia yang diculik ketika berusia 2 setengah tahun akhirnya kembali dan kini berusia 34 tahun.

Mao Yin diculik pada 17 Oktober 1988 ketika berada di depan sebuah hotel. Bapanya Mao Zhenjing ketika itu telah bertanggungjawab membawanya pulang selepas bermain. Kerana Mao Yin dahaga dan ingin minum, ayahnya berhenti di hadapan pintu masuk sebuah hotel.

Ketika ayahnya sedang mencari air. Mao Yin telah diculik dan kemudian dijual kepada keluarga angkat yang tidak dapat melahirkan anak dan mereka telah bertanggungjawab membesarkannya.

Selepas kejadian tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan melakukan pencarian di sekitar 10 wilayah dan bandar bagi mencari Mao Yin.

Pada hari Isnin lalu, Mao Yin akhirnya bertemu dengan ibu bapanya di pejabat biro keselamatan awam di bandar Xian, ibu kota provinsi Shaanxi. Li Jingzhi, ibu Mao Yin berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ribuan orang yang telah membantu kami.”

Pengorbanan ibu Mao Yin berhenti kerja dan mengedarkan lebih daripada 100,000 risalah sejak 32 tahun akhirnya membuahkan hasil. Dia juga turut dibantu oleh para sukarelawan yang berjaya mengumpulkan maklumat mengenai kanak-kanak yang diculik di China.

Atas kerja keras tersebut, dilaporkan 29 kanak-kanak yang diculik kini telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kisah pertemuan Mao Yin dan keluarganya bermula pada akhir April lalu, polis di bandar Xian telah menerima laporan bahawa seorang lelaki di wilayah Sichuan telah mengambil anak angkat dari wilayah Xian dengan bayaran 6 ribu yuan.

Setelah menjalankan pelbagai siasatan, polis akhirnya menemui seorang lelaki yang mempunyai nama keluarga Gu. Dia tinggal di bandar Mianyang di provinsi Sichuan dan menyerupai Mao Yin yang diculik.

Identiti sebenar kemudian menjadi lebih jelas melalui ujian DNA. Li jingzhi mengatakan bahawa dia masih tidak percaya bahawa dia masih sempat untuk bertemu anaknya dan turut membantu mencari 29 anak-anak yang dipisahkan dari keluarga mereka.

Dia turut menambah bahawa dia akan terus berjuang untuk memerangi jenayah penculikan kanak-kanak yang masih kuat berlaku di China.

Mao Yin mengatakan bahawa dia akan tinggal bersama keluarga asalnya di Xian selama beberapa hari sebelum kembali ke Chengdu, ibu kota provinsi Sichuan bagi menyelesaikan beberapa perkara.

Dia kini memiliki perniagaan menghias rumah dan dijaga dengan baik oleh keluarga angkat.

Selama beberapa dekad, penculikan dan penjualan bayi adalah salah satu masalah besar di China.

Melalui laman web Baby Come Back Home, terdapat 14,893 siaran mencari budak lelaki yang hilang, dan 7,411 siaran mencari gadis yang hilang. Pada tahun 2015 terdapat kira-kira 20 ribu kanak-kanak yang diculik setiap tahun di sana.

Pada tahun 2009, Kementerian Keselamatan Awam China telah membina pangkalan data, sejak itu, ia telah membantu mencari lebih dari 6,300 kanak-kanak yang hilang menggunakan ujian DNA.

Untuk membaca laporan lain, klik pautan di bawah.

Tasawuf Underground, Tempat Hijrah Anak Punk Untuk Lebih Kenal Tuhan

Tonton Iklan Raya PETRONAS ‘Antara Dua Jendela’ Tampil Dengan Animasi Yang Kreatif Dan Unik

Warner Bros Umum Justice League Versi Zack Snyder Akan Ditayangkan Tahun Hadapan